Saturday, November 16, 2013

Ini memang benar-benar pelik..


Ini memang benar-benar pelik.. | Janji seorang anak kepada mendiang ibunya supaya dia tidak lagi mengambil minuman keras membuatkan seorang lelaki Croatia memilih untuk hanya minum minuman berkarbonat, Coca-Cola sejak empat dekad lalu. Menurut Pero Ajtman, 75, dari kampung Karanac, dia memilih Coca-Cola bagi menggantikan minuman beralkohol. ''Ibu saya tidak suka saya minum arak semasa saya remaja apatah lagi dia seorang yang kuat pegangan agamanya. ''Dia membuatkan saya berjanji untuk tidak minum arak lagi dan saya memilih Coca-Cola untuk menggantikannya,'' katanya.

Ajtman yang mengaku ketagihan minuman berkarbonat itu berkata, dia minum beberapa gelas Coca-cola setiap hari. ''Saya akan minum segelas Coca-Cola pada waktu pagi, sebelum dan selepas makan tengah hari, makan malam serta sebelum tidur. ''Saya tidak akan minum minuman lain daripada Coca-Cola,'' tegas lelaki itu. Doktor menasihatkannya supaya mengurangkan minum minuman berkarbonat secara kerap kerana kandungan gulanya yang banyak boleh merosakkan kesihatan. Bagaimanapun, kata lelaki itu, dia masih belum mengalami sebarang masalah serius ekoran minum minuman tersebut dan akan terus meminum Coca-cola sehingga dia mati. - AGENSI





.

Sebab paling aneh untuk berhenti sekolah


Sebab paling aneh untuk berhenti sekolah | Kerana terlalu pintar, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di daerah ini berhenti sekolah setelah tahap kepandaiannya melebihi rakan sebayanya. Muhammad Rizki Ramadan hanya sempat bersekolah rendah selama enam bulan selepas dia dikatakan sering mengganggu proses pembelajaran murid-murid lain. Menurut ayah Rizki, Mayunis, pada usianya yang masih muda, anaknya sudah fasih berbahasa asing antaranya bahasa Inggeris, India dan Mandarin. Katanya, semua bahasa yang dikuasai Rizki dipelajarinya sendiri tanpa bantuan guru. "Dulu dia bersekolah di tadika Simpang Balai, semasa kami tinggal di Cangkiang dan menamatkan pelajarannya sehingga habis.

"Namun setelah memasuki Sekolah Rendah Cangkiang, dia hanya belajar selama enam bulan. Hal ini kerana, Rizki tidak mahu menerima penerangan tentang sesuatu subjek lebih dua kali dan sekiranya lebih, dia terus mahu keluar dari kelas,'' kata Mayunis kepada okezone.com. Mayunis berkata, kepintaran Rizki mula dikesan sejak dia mula pandai bercakap pada usia dua tahun.

"Dia belajar daripada buku dan televisyen. Sekiranya stesen televisyen menyiarkan filem, Rizki tidak mahu menontonnya kerana dia lebih menggemari rancangan berita, politik dan bola sepak. "Sejak kecil lagi, Rizki sudah petah berbicara, membaca, melihat televisyen sekali lalu dan memahami perkara yang disampaikan serta membaca begitu sahaja tanpa belajar atau diajarkan,'' katanya. Ketika ini, Rizki ingin kembali bersekolah, namun keadaan ekonomi keluarganya menghalang niat murninya itu. - AGENSI





.

Penyanyi Ahmad Dhani meluahkan usahanya bagi menangani kemalangan jalan raya anaknya


Penyanyi Ahmad Dhani meluahkan usahanya bagi menangani kemalangan jalan raya anaknya | Komposer dan penyanyi tersohor Indonesia, Ahmad Dhani mengakui beliau sudah membelanjakan wang sebanyak dua bilion rupiah (RM580,000) sejak hari pertama anaknya, Abdul Qodir Jaelani terlibat dalam kemalangan jalan raya. Ahmad Dhani berkata, jumlah itu digunakan bagi membiayai rawatan perubatan 13 mangsa yang terselamat dalam kemalangan itu dan sumbangan derma kepada tujuh mangsa korban nahas pada awal pagi 8 September lalu. "Kemalangan jalan raya yang disebabkan oleh anak saya menyebabkan saya sudah mengeluarkan wang simpanan sebanyak dua bilion rupiah. Saya lakukan semua ini kerana mahu bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku dan bukan kerana mahu melarikan diri daripada menerima hukuman," katanya.

Walaupun dikenali sebagai seorang artis yang memiliki kekayaan hasil daripada kerjaya seninya, Ahmad Dhani mengeluh wang simpanannya sudah habis digunakan untuk menangani kes anaknya itu. Ahmad Dhani mengakui, dia tanpa malu meminta ihsan daripada stesen televisyen RCTI untuk memberikan wang pendahuluan pembayaran sebagai juri Indonesian Idol sebelum musim baru program pencarian bakat itu bermula. "Saya menghubungi pengurusan RCTI untuk meminta mereka membayarkan wang pendahuluan untuk Indonesian Idol kerana saya perlu menggunakannya untuk mangsa kemalangan jalan raya yang perlu menjalani pembedahan," kata Ahmad Dhani.

Kes kemalangan jalan raya pada 8 September lalu itu mencetuskan tanda tanya kerana anak Ahmad Dhani itu, Abdul Qodir hanya berusia 13 tahun tetapi sudah memandu kereta dengan kelajuan berbahaya. Kereta yang dipandu Abdul Qodir melanggar tiga kereta lain dari arah bertentangan menyebabkan tujuh orang meninggal dunia. Ahmad Dhani juga memberitahu, berikutan terpaksa membiayai rawatan perubatan mangsa-mangsa yang terselamat dalam kemalangan jalan raya itu, rawatan untuk Abdul Qodir terpaksa dilupakan buat sementara waktu. "Saya sudah tidak punya wang untuk memberikan rawatan perubatan yang selanjutnya pada anak saya. Seandainya dia perlu dimasukkan ke penjara, saya tidak boleh melakukan apa-apa," kata Ahmad Dhani. - Utusan



.

Guru rogol pelajar diperintah menjalani hukuman penjara 12 tahun dan tujuh sebatan


 Guru rogol pelajar diperintah menjalani hukuman penjara 12 tahun dan tujuh sebatan | "Kamu telah mengambil kesempatan terhadap pelajar kamu," kata seorang anggota panel Mahkamah Rayuan kepada seorang bekas guru yang diperintah menjalani hukuman penjara 12 tahun dan tujuh sebatan kerana merogol serta menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan seorang murid berusia 12 tahun pada 2009. Datuk Azahar Mohamed, yang mengetuai panel tiga hakim, berkata hukuman yang dijatuhi Mahkamah Sesyen Kota Baharu ke atas Yek Hock Soon adalah setimpal dengan kesalahan yang dilakukan tertuduh. Menyifatkan kesalahan itu sebagai serius, Azahar yang bersidang bersama-sama Datuk Mohtaruddin Baki dan Datuk Rohana Yusuf, membuat keputusan sebulat suara untuk menolak rayuan terakhir Yek berhubung sabitan, hukuman penjara dan sebatan yang dijatuhkan ke atasnya.

"Kami telahpun mempertimbang hukuman yang dijatuhkan terhadap kamu dan sependapat dengan Mahkamah Sesyen bahawa kesalahan yang kamu lakukan adalah serius lebih-lebih lagi ketika kamu merogol mangsa, kamu adalah seorang guru. Kamu telah mengambil kesempatan terhadap pelajar kamu," katanya. Yek, 30, dari Setiawan, Perak dihantar ke penjara hari ini untuk memulakan hukuman kerana sebelum ini, dia dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu rayuan. Pada 26 Januari tahun lepas, Mahkamah Sesyen memutuskan tertuduh bersalah merogol seorang pelajar yang ketika itu berusia 12 tahun 3 bulan di makmal sains sebuah sekolah di Pasir Putih, Kelantan antara 8 pagi dan 3 petang bulan Ogos 2009.

Yek turut didapati bersalah menggunakan kekerasan jenayah bagi mencabul kehormatan pelajar itu di tempat dan pada masa sama.Dia dihukum penjara sembilan tahun dengan lima sebatan bagi kesalahan merogol serta penjara tiga tahun dengan dua sebatan bagi kesalahan mencabul kehormatan dan diarah menjalani hukuman secara serentak. Yek kemudian mengemukakan rayuan namun ditolak Mahkamah Tinggi pada 19 Februari lepas. Dalam penghakimannya, Azahar berkata Mahkamah Sesyen membuat keputusan yang tepat apabila menerima penjelasan mangsa mengapa beliau tidak menyebut tentang insiden rogol dalam laporan polisnya. "Penting untuk kita ambil perhatian bahawa mangsa ketika itu berusia 12 tahun serta dalam keadaan trauma, dan penjelasan bahawa beliau malu untuk memaklumkannya kepada polis (kejadian rogol) adalah munasabah," katanya.

Azahar berkata Mahkamah Sesyen berpeluang mendengar keterangan mangsa dan menilai sama ada beliau saksi yang boleh dipercayai. Oleh itu, katanya, sabitan terhadap Yek adalah selamat dan Mahkamah Rayuan tidak mempunyai sebab untuk mengganggu keputusan Mahkamah Sesyen. Terdahulu, Yek, yang diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Sukri Mohamad, mendakwa mangsa bukanlah seorang saksi yang boleh dipercayai kerana tidak menyatakan kejadian rogol itu dalam laporan polisnya. Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi pula berhujah mangsa memang tidak menyebut tentang kejadian rogol dalam laporan polisnya namun memberi keterangan berhubung perkara itu di mahkamah. Beliau berkata mangsa juga memaklumkan kejadian itu kepada seorang guru lain dan ibunya sebelum membuat laporan polis. -Bernama





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!