Thursday, November 21, 2013

Ibu tunggal rugi RM209,000 ditipu kenalan Facebook


Ibu tunggal rugi RM209,000 ditipu kenalan Facebook  | Seorang ibu tunggal bukan sahaja sanggup membuat pinjaman bank untuk diserah kepada kekasih yang dikenali melalui laman sosial Facebook, malah wanita itu sanggup mencagarkan rumahnya. Tindakan penjawat awam berusia 50 tahun itu yang percaya kepada lelaki rakyat asing menyebabkan dia kerugian kira-kira RM209,000 akibat diperdaya sejak Ogos lepas. Menyedari menjadi mangsa penipuan jenayah siber (Nigerian Scam), wanita itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu tengah hari Rabu. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu Supt Koh Ah Tiam berkata selepas dua bulan berkenalan dan bercinta, suspek memberitahu bahawa dia merupakan seorang kontraktor dan mahu memindahkan wang sejumlah US$10 juta (RM31 juta) ke negara ini namun alasannya wang itu tidak dapat dipindahkan.

Beliau berkata suspek kemudian memaklumkan kepada mangsa bahawa dia perlu membuka akaun bank tempatan terlebih dahulu sebanyak RM9,000 dengan alasan sebagai menampung jumlah wang yang akan dipindahkan nanti. "Suspek mengambil masa dan membuat mangsa jatuh cinta sebelum menyakinkan mangsa untuk memasukkan wang ke dalam akaun bank dengan memberikan pelbagai alasan. "Selepas mangsa membuka akaun tempatan dengan jumlah diarahkan, suspek kemudian meminta RM200,000 lagi untuk dikenakan cukai," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Koh berkata wanita itu sanggup membuat pinjaman bank untuk memberikan wang RM200,000 yang diminta kekasihnya ke dalam akaun yang sama dengan alasan sebagai Bon Sekuriti. Mangsa yang tidak mempunyai wang sebanyak itu kemudiannya mencagarkan rumahnya kepada pihak bank sebelum menyedari dirinya telah diperangkap lelaki yang mendakwa berasal dari United Kingdom itu. Koh berkata sehingga November tahun ini, polis menerima 33 laporan berhubung penipuan jenayah siber di negeri ini yang membabitkan kerugian kira-kira RM1 juta berbanding 15 kes tahun lepas melibatkan kerugian RM200,000. - Bernama




.

Misteri penemuan wang kertas yang banyak di permukaan sungai


Misteri penemuan wang kertas yang banyak di permukaan sungai | Seorang pejalan kaki yang bersiar-siar bersama anjingnya terkejut apabila menemukan beribu-ribu pound wang kertas terapung di permukaan sungai. Individu yang tidak dinamakan itu menemukan £60,000 (RM307,219) di South Drove Drain, Spalding pada bulan lalu, namun sehingga kini tiada siapa tampil menuntut wang berkenaan. Menurut pegawai penyiasat polis, Steve Hull, kebanyakan wang kertas yang dijumpai rosak akibat terendam di dalam air sungai, tetapi masih ada wang yang dalam keadaan baik.

Pemeriksaan forensik ke atas wang kertas tersebut telah dilakukan dan pihak polis turut berhubung dengan Bank of England untuk membantu menentukan dari mana datangnya wang berkenaan. "Bukan setiap hari kita menjumpai sejumlah wang yang banyak seperti ini dan individu yang mempunyai maklumat perlu tampil membantu polis untuk mengesan pemilik sebenar wang berkenaan," katanya. - AGENSI



.

Kisah wanita yang rela bersama mayat suaminya selama hampir setahun kerana tidak mahu berpisah


Kisah wanita yang rela bersama mayat suaminya selama hampir setahun kerana tidak mahu berpisah | Seorang wanita rela tidur bersebelahan mayat suaminya selama hampir setahun kerana mendakwa terlalu sedih dan hilang semangat untuk meneruskan hidup. Mayat Marcel H, 79, dibiarkan terbaring di apartmen pasangan itu di Brussel, manakala isterinya yang berusia 69 tahun setia menunggu tanpa mempedulikan bau busuk dan keadaan mayat yang mereput. Marcel dikatakan mati akibat serangan penyakit lelah pada November tahun lalu, tetapi kematiannya tidak dilaporkan.

Disebabkan jiran tetangga tidak pernah mengadu mengenai sesuatu yang luar biasa, mayat itu hanya ditemui selepas pemilik kediaman berkenaan menyedari pasangan terbabit tidak membayar sewa sejak tahun lalu.Dia kemudian membuat laporan kepada pihak berkuasa. Apabila anggota polis memasuki apartmen berkenaan, mereka terkejut kerana menemui mayat lelaki warga tua itu di atas katil. Ahli patalogi di Pusat Forensik Liege, Philippe Boxho berkata, mayat manusia boleh terawet dalam persekitaran kering dan hangat. “Ia mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu untuk mayat itu terawet. “Walaupun bau mayat yang mulai reput agak busuk, kebanyakan orang menganggapnya sama seperti bau sampah dan apabila mayat semakin reput, bau busuk kian berkurangan,” katanya dalam satu kenyataan. - Agensi





.

Sejauh mana terkenalnya permainan Candy Crush


Sejauh mana terkenalnya permainan Candy Crush | Permainan atas talian terkenal, Candy Crush dilapor telah dimuat turun sebanyak setengah bilion kali oleh pemain di seluruh dunia. Pengumuman itu dibuat menerusi satu kenyataan oleh pereka permainan tersebut, syarikat King.com ketika menyambut ulang tahun pertama keluarannya dalam platform gajet mudah alih, di sini baru-baru ini. "Sehingga kini, terdapat kira-kira 150 bilion pemain Candy Crush di seluruh dunia. "Seorang daripada 23 pengguna laman sosial Facebook adalah peminat Candy Crush," menurut syarikat tersebut. King.com turut menyatakan bahawa tempoh masa yang paling kerap digunakan oleh pemain untuk bermain Candy Crush adalah dari pukul 6 petang hingga 9 malam.

Selain itu, sebanyak 61 peratus pemain Candy Crush di United Kingdom mengakui bahawa mereka sering bermain permainan itu ketika menaiki pengangkutan awam. Hari Ahad juga merupakan hari paling popular untuk bermain Candy Crush, selain sebanyak 78 peratus pemain di Amerika Syarikat (AS) mendedahkan mereka menikmati permainan video tersebut ketika menonton televisyen. Kebanyakan pemain Candy Crush menyatakan, tahap ke-65 merupakan bahagian yang paling sukar untuk dilepasi. Dalam beberapa minggu akan datang, King.com akan memperkenalkan terma terbaharu dalam rangkaian permainan dalam taliannya, termasuk Candy Crush. - AGENSI




.

Khabar dan gambar terkini Tun Mahathir yang sedang di rawat di IJN


Khabar dan gambar terkini Tun Mahathir yang sedang di rawat di IJN | Tun Dr Mahathir Mohamad dimaklumkan memberi tindakbalas yang positif ke atas rawatan sejak dimasukkan ke Wad Umum Institut Jantung Negara (IJN). Mengikut laporan Bernama, satu kenyataan dari pejabat beliau mengatakan, bekas Perdana Menteri itu sekarang sedang menjalani rawatan susulan, fisioterapi dan senaman. "Pasukan perubatan berpuas hati dengan kemajuan beliau" Itu antara isi kandungan kenyataan tersebut. Setakat ini, lawatan dihadkan hanya kepada ahli keluarga terdekat mengikut nasihat doktor.

Di dalam akaun rasmi Facebook Tun Mahathir, beliau dilaporkan semakin pulih dan berada di dalam keadaan stabil. Tun Mahathir turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan beliau. "Alhamdulillah keadaan kesihatan Tun Dr Mahathir bertambah pulih dan stabil. Beliau berterima kasih kepada semua yang mendoakan beliau" Isnin lalu, Tun Mahathir telah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan jangkitan dada.-MD




.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam kemalangan jalanraya


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam kemalangan jalanraya | Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam cedera ringan di bahagian leher apabila kereta yang dinaikinya terbabas di Lebuhraya Utara Selatan di kawasan Pedas-Linggi, malam tadi. Pengerusi MIC Negeri Melaka, Datuk M. S. Mahadevan berkata, ketika kejadian kira-kira 8.30 malam, Subramaniam dalam perjalanan ke Melaka untuk menghadiri mesyuarat membincangkan penganjuran Perhimpunan Agung MIC yang akan berlangsung pada 30 Nov di sini.

Beliau berkata, Subramaniam yang juga Timbalan Presiden MIC kini mendapatkan rawatan di Hospital Alor Gajah dan keadaan beliau adalah stabil. "Setakat ini tahu cedera ringan dan beliau sedang dapatkan rawatan lanjut...jika ada apa-apa serius kita akan bawa beliau untuk rawatan susulan di Hospital Besar Melaka," katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam tadi. - BERNAMA




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!