Thursday, November 28, 2013

Info : Tidak dibenar daftar haji kedua dalam tempoh lima tahun


Info : Tidak dibenar daftar haji kedua dalam tempoh lima tahun | Mereka yang baru pulang daripada mengerjakan ibadah haji tidak dibenarkan mendaftar untuk menunaikan haji buat kali kedua dalam tempoh lima tahun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Beliau berkata mereka sebaliknya dicadangkan supaya mengerjakan umrah bagi memberi laluan kepada orang lain menunaikan ibadah haji. "Apabila sudah dibenarkan mendaftar untuk mengerjakan haji selepas lima tahun pun, mereka yang sudah mengerjakan haji, tidak akan diberi keutamaan. "Namun kelonggaran akan diberikan kepada mereka yang menghadapi masalah ketika mengerjakan haji buat pertama kali seperti tidak sempat menunaikan perkara tertentu dan sebagainya," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Jamil Khir menambah kata, pada masa ini terdapat 1.3 juta pendeposit Tabung Haji yang sedang menunggu untuk menunaikan ibadah haji dan daripada jumlah itu 14,000 merupakan warga emas mengikut takrifan Tabung Haji iaitu berusia lebih 75 tahun. Kepada soalan tambahan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas), beliau berkata kerajaan Arab Saudi menetapkan wanita yang berumur 45 tahun ke atas tidak diwajibkan untuk membawa mahram.

Dalam jawapan kepada soalan asal Che Mohamad Zulkifly, beliau berkata jumlah jemaah haji Malaysia bagi tahun 2013 ialah sebanyak 21,960 dan jumlah jemaah tertinggi ialah dari Selangor iaitu 4,372 orang diikuti Johor (2,814 orang) dan Kedah (2,158 orang). "Sebanyak 8,689 jemaah atau 40 peratus berumur 50 hingga 59 tahun disusuli oleh jemaah yang berumur 60 hingga 69 tahun berjumlah 5,575 orang atau 25 peratus dan yang berumur 40 hingga 49 tahun berjumlah 4,604 orang atau 21 peratus," katanya. - BERNAMA





.

Lelaki tertembak anak sendiri hingga mati kerana disangka penyamun



Lelaki tertembak anak sendiri hingga mati kerana disangka penyamun | Seorang peniaga makanan, tertembak anak sendiri yang disangkanya penyamun yang memasuki kawasan rumahnya di Kampung Baru Balakong, dekat sini malam tadi. Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab Wahab berkata dalam kejadian 10.16 malam itu, peniaga berkenaan yang berusia 76 tahun, dikatakan terdengar jeritan minta tolong pekerjanya seorang lelaki warga Myanmar dari sebuah pondok di belakang rumahnya. Tersentak dengan jeritan pekerjanya itu, peniaga berkenaan terus mengejutkan anak lelakinya, berusia 51 tahun, dan segera mendapatkan selaras senjata api jenis semi auto dipercayai untuk menembak penceroboh itu.

 "Kedua-dua beranak itu terus keluar dari rumah mereka untuk melihat apa yang berlaku di kawasan pondok pekerja mereka. "Dalam keadaan gelap itu, anak peniaga berkenaan yang bersenjatakan sebilah parang terus meluru ke hadapan tanpa disedari bapanya," kata Ab Rashid pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, dekat sini hari ini. Ab Rashid berkata peniaga itu, yang kemudian terlihat kelibat seseorang, terus melepaskan tiga das tembakan. Satu daripada tembakan itu mengenai kepala anaknya dan menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian. katanya. Beliau berkata peniaga itu ditahan untuk membantu siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis hari ini. - Bernama




.

Khabar dan gambar terkini Jimmy Shanley. Benarkah dia kini sudah bergelar suami?



Khabar dan gambar terkini Jimmy Shanley. Benarkah dia kini sudah bergelar suami? | Selebriti popular yang tidak sudah-sudah dengan kontroversi, Jimmy Shanley masih belum bersedia berterus terang mengenai status dirinya kini sama ada dia bergelar suami orang atau bukan. "Doa-doakan. InsyaAllah. Hidup saya sekarang lebih teratur...", kata Jimmy Shanley lantas terus mematikan kata-katanya, ketika ditemui pada majlis pelancaran radio Ultra.FM bertempat di hotel Concorde, Kuala Lumpur, semalam. Pemilik nama sebenar Jimmy Shanley Norhajan Saleh, 33, ini berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah akhbar mendakwa dia sudah berkahwin dengan seorang janda beranak satu. "Cerita saya sudah berkahwin seperti yang dilaporkan, bukanlah datang dari mulut saya. Tunggulah bila masanya nanti saya akan beritahu.

Yang penting, saya tak kahwin kat Siam", ujarnya yang masih enggan mengesahkan perkara tersebut. Bagaimanapun, Jimmy berkata dia akan mengadakan satu sidang media dalam masa terdekat ini bagi menjelaskan segala spekulasi yang timbul. "Saya akan buat sidang media tak lama lagi bagi menjawab segala persoalan. Lagipun banyak hati yang perlu dijaga", ujarnya sambil cuba terus berahsia. Dalam pada itu, Jimmy memberitahu pada 12 Disember ini dia perlu menjalani semula proses mahkamah ekoran tuntutan bekas isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy, yang mahukan hak penjagaan sepenuhnya ke atas anak mereka. "Saya ingat semuanya dah selesai tapi rupanya belum lagi.

Sebelum ni mahkamah putuskan saya dapat hak penjagaan tiga hari dua malam. Tapi pihak sebelah sana berkeras tuntut hak penjagaan sepenuhnya. Demi anak saya, saya tetap akan lawan", katanya.Tambah bapa kepada Zahrah Rania, 2, ini pengalaman lalu cukup mematangkannya. Bahkan dia kini selesa dan gembira dengan 'kehidupan baru' "Saya tak malu nak cakap yang dulu tu saya yang gagal. Tapi pengalaman yang saya lalui sebelum ini ajar saya lebih matang dah lebih menghargai hidup saya sekarang. "Sekarang saya dah move on dan saya rasa adalah lebih baik kalau saya ada keluarga baru. Yang baru ni lebih memahami dan dia seorang wanita bertudung", katanya. - mD




.

Pasangan kahwin muda yang ketika itu berusia 12 tahun, tak sampai setahun, cerai talak 3


Pasangan kahwin muda yang ketika itu berusia 12 tahun, tak sampai setahun, cerai talak 3 | Kurang seminggu sebelum sempat menyambut ulangtahun pertama perkahwinan, pasangan muda Nor Fazira Saad, 13 dan Mohd Fahmi Alias, 20, disahkan bercerai dengan talak tiga pada 11 November lalu di Mahkamah Syariah Kulim. Nor Fazira berusia 12 tahun ketika dinikahkan dengan pasangannya, Mohd Fahmi yang ketika itu berusia 20 tahun. Memetik laporan Harian Metro, bapa Nor Fazira, Saad Mustafa, 43, berkata, beliau menerima kenyataan berkenaan walaupun pahit dan menganggap bukan jodoh anaknya untuk kekal di alam perkahwinan. Saad turut memberitahu bahawa dia tidak mengetahui punca sebenar keretakan rumah tangga anaknya itu kerana Nor Fazira tidak banyak bercakap mengenai nasib yang menimpa dirinya.

 Buat masa ini, Nor Fazira tinggal bersama bapa saudaranya di Padang Serai untuk menenangkan fikiran. Harian Metro turut melaporkan kegagalan untuk menghubungi keluarga Mohd Fahmi untuk mendapatkan maklum balas. Nor Fazira mendirikan rumah tangga dengan pasangannya pada usia 12 tahun selepas mendapat perintah mahkamah mengikut Seksyen 18 (1) (a) Enakmen Undang Undang Keluarga Islam Kedah 2008. Majlis pernikahan pasangan itu dilangsungkan di Masjid Kampung Padang Cina dengan mas kahwin RM1,500 serta wang hantaran RM4,552 pada 17 November 2012 selepas mendapat perintah kebenaran untuk bernikah di bawah umur daripada Mahkamah Rendah Syariah Kulim pada 7 November 2012.

Berdasarkan statistik Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), terdapat kira-kira 1,165 permohonan untuk berkahwin pada 2012 dan Mahkamah Syariah telah meluluskan 1,022 daripada permohonan terbabit. Ia merupakan peningkatan berbanding rekod 2011, iaitu kira-kira 900 perkahwinan. Sehingga Mei tahun ini, JKSM menerima 600 permohonan perkahwinan, di mana 446 telah diluluskan. Di Malaysia, undang-undang umur minimum perkahwinan adalah 18 tahun, tetapi 16 tahun untuk anak gadis Muslim dan mereka yang berusia di bawah 16 tahun boleh berkahwin dengan keizinan Mahkamah Syariah. -SH




.

Apa reaksi anak-anak Che Ta mengenai perkahwinan Che Ta dan Zain Saidin?


Apa reaksi anak-anak Che Ta mengenai perkahwinan Che Ta dan Zain Saidin? |  Kira-kira dua minggu saja lagi, pasangan selebriti popular lagi kontroversi Rozita Che Wan (Che Ta) dan kekasih hatinya, Zain Saidin bakal disatukan sebagai suami isteri. Penantian satu Malaysia berakhir jua apabila di satu sidang media khas baru-baru ini, Zain dan Che Ta mengumumkan tarikh pernikahan mereka iaitu pada 11 Disember depan, di Gazebo, Pusat Konvensyen Setia City (SCC) Shah Alam, jam 7.30 malam. Segala persiapan hari pernikahan yang disebut-sebut sebagai 'Wedding of The Year' ini telah pun dibuat sejak tiga bulan lalu. Bagi Che Ta, debaran bakal menjadi pengantin tidaklah terlalu dirasai kerana aktres ini punya pengalaman sebelum ini berbanding Zain yang pertama kali akan bergelar suami.

Namun dalam mereka teruja menantikan hari bahagia tersebut, Che Ta mendedahkan yang anak-anaknya ada meluahkan rasa bimbang mereka. Kata Che Ta, kedua-dua anaknya itu rapat dengan bakal bapa tiri mereka itu namun Ammar Effendy, 17, dan Aniq Ezzra, 15 risau kalau-kalau kasih sayangnya dilebihkan pada Zain berbanding mereka. "Anak-anak, mereka ada cakap mereka takut kasih saya saya berbelah bagi. Sekarang ni tumpuan saya hanya pada mereka. Selepas ini saya sudah bersuami. Tapi saya ada terangkan pada mereka, kasih seorang ibu kepada anak dan antara kasih sayang isteri kepada suami berbeza dan mereka tak perlu risau. Alhamdulilah mereka faham", kata Che Ta ketika di temui di Pusat Konvensyen Setia City (SCC) Shah Alam.


Elak Berjumpa 

Dalam pada itu, Che Tah dan Zain memberitahu sebagai mahu mengikut pesanan orang tua-tua, mereka sepakat untuk tidak mahu berjumpa mulai Isnin lalu hinggalah tiba hari pernikahan nanti. "Kami percaya juga pada pantang larang orang tua-tua. Jadi hari ni hari terakhir lah kami berjumpa sehinggalah hari nikah nanti. Tapi tak tahu lah dia (Zain), saya okay saja. Dia ni yang nak jumpa saya hari-hari", ujar Che Tah sambil tergelak memandang Zain yang hanya senyum sambil mengangguk. Dalam itu Che Tah berkata selepas berkahwin, dia mungkin akan mengurangkan aktiviti lakonan tetapi akan tetap meneruskan tugas sebagai hos program Primadona.

"Lakonan mungkin saya akan kurangkan tapi saya masih lagi hos Primadona. Sebab lepas ni tumpuan saya dah bertambah. Selain anak-anak, saya ada tanggujawab baru, tanggungjawab kepada suami. Masak? Saya cakap pada Zain saya akan masak bila saya ada masa saja (gelak). Tapi Zain minta hujung minggu, kalau boleh saya kena masak untuk kami sekeluarga", ujarnya sambil ketawa. Ditanya mengenai perancangan cahaya mata, kata Che Ta dia berharap agar dikurniakan dua orang lagi zuriat. "Saya nak dua jer. Kalau boleh sepasang lah, lelaki dan perempuan", tuturnya sambil memandang Zain yang duduk di sebelahnya. - mD




.

Pelakon kena saman fitnah



Pelakon kena saman fitnah | Bekas pemandu peribadi kepada pelakon Zahida Rafik memfailkan saman fitnah terhadap aktres itu di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu. Noor Azman, 39, selaku plaintif mengemukakan saman tersebut selepas pelakon berkenaan gagal membuktikan tuduhan yang dia telah melarikan wang tunai berjumlah RM200,000 yang didakwa milik Zahida pada tahun lalu. Peguam kepada Noor Azman iaitu Latheefa Koya ketika ditemui berkata, pihaknya pada 4 April lalu telah menghantar satu surat tuntutan kepada Zahida supaya menarik semula laporan polis, memohon maaf dan membayar ganti rugi kepada plaintif namun dia gagal berbuat demikian. Disebabkan kegagalan Zahida itu jelas Latheefa, pihak plaintif terpaksa memfailkan saman selain menuntut satu perintah injunksi bagi menghalang Zahida daripada terus memfitnah plaintif secara lisan, menerusi media atau pun Internet.

"Selain itu kami turut menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi tauladan dan apa-apa yang difikirkan sesuai oleh mahkamah terhadap defendan," katanya. Bagaimanapun pihak plaintif tidak menetapkan sebarang jumlah terhadap saman yang dikemukakan terhadap Zahida. Nama Noor Azman sebelum ini menjadi kontroversi apabila dia mendakwa Zahida mempunyai hubungan intim dengan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal selama beberapa tahun.Dia turut mendakwa telah dibayar oleh menteri terbabit untuk menjadi pemandu kepada pelakon itu. Noor Azman meletak jawatan sebagai pemandu Zahida pada 29 Februari tahun lalu dan membuat laporan polis untuk membersihkan namanya selepas dituduh melarikan wang RM200,000 kononnya milik Zahida. Dalam pada itu, Noor Azman berkata, ekoran fitnah berkenaan dia gagal mendapatkan pekerjaan baharu selepas dipecat oleh Zahida selain reputasinya tercalar.


Jelasnya, perbuatan Zahida yang sengaja mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya kepada pemberita disifatkan sebagai berniat jahat. "Saya telah berulang kali dipanggil untuk temu duga kerja namun tidak berjaya kerana fitnah yang dilemparkan kepada saya. "Akibat daripada kejadian itu juga saya terpaksa menanggung malu kerana telah disoal siat polis dan ditahan reman dalam lokap polis selama empat hari," katanya. Sementara itu, ibu saudara kepada Noor Azman iaitu penyanyi Dayangku Intan yang turut menemani anak saudaranya itu berkata, dia dan keluarganya turut menanggung malu besar akibat kejadian tersebut. Dayangku Intan yang juga seorang ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR), berkata, nama Noor Azman perlu dibersihkan kerana dia berkenaan tidak bersalah dan fitnah itu telah memberi kesan kepada kehidupannya. -Mstar



.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!