Saturday, December 28, 2013

Perbuatan kejam terhadap kucing membuatkan dia bakal berdepan hukuman penjara


Perbuatan kejam terhadap kucing membuatkan dia bakal berdepan hukuman penjara | Gara-gara tindakannya menyumbat kucing di dalam sebuah balang sebagai hukuman kerana nakal, seorang pelajar di Taiwan bakal berdepan hukuman penjara setahun dan denda jika didapati bersalah melanggar undang-undang perlindungan haiwan.


 Kiki Lin pelajar Universiti Providence Taichung didakwa melakukan penganiayaan ke atas haiwan selepas dia memuat naik gambar tersebut di Facebook. Tindakan kejamnya itu mengundang kemarahan pencinta haiwan dalam kalangan pengguna laman sosial itu dan mereka turut menggelarnya sebagai pendera haiwan, dipetik dari laporan DailyMail. -AP




.

Pelakon Neelofa nafi dia ditangkap khalwat dengan VIP


Pelakon Neelofa nafi dia ditangkap khalwat dengan VIP | "Ini memang melampau. Artikel tidak masuk akal seperti ini boleh menjatuhkan imej dan kredibiliti seseorang artis," tegas pelakon Noor Neelofa Mohd Noor berhubung laporan media hari ini kononnya dia ditangkap berkhalwat dengan seorang lelaki berstatus VIP, malam Khamis lalu. Neelofa, 24, berkata, tuduhan tidak berasas itu adalah sesuatu yang memalukan dan mencalar maruahnya sebagai wanita muslim. "Sejujurnya saya sendiri tidak tahu-menahu mengenai hal ini sehingga ia tersebar. Jika benar saya ditangkap khalwat, pastinya saya masih berada di Malaysia untuk selesaikan kes ini.

 "Untuk pengetahuan semua, sekarang saya berada luar negara untuk meneruskan pengajian dan berharap pihak yang berkenaan bertanggungjawab atas fitnah dan artikel terbabit," katanya. Menerusi beberapa laporan media hari ini, pengacara program MeleTop itu dituduh ditangkap berkhalwat dengan seorang usahawan berstatus kenamaan (VIP), malam Khamis lalu. Bagaimanapun, tiada butiran terperinci mengenai kejadian itu dilaporkan. -HM




.

Penyanyi, Stacy dan Akim sedia berkahwin


Penyanyi, Stacy dan Akim sedia berkahwin | Bekas juara program realiti televisyen, Akademi Fantasia Musim Keenam (AF6), Stacy mengakui dia dan Afiq Hakim Ahmad atau lebih dikenali sebagai Akim, kini sedang hangat bercinta dan bersedia berkahwin. Stacy atau nama sebenarnya Stacie Angie Anam berkata, dia juga semakin tertarik mendalami Islam dan mengagumi agama itu. "Saya percaya jodoh terletak di tangan Tuhan. Saya memang rapat dengan Akim tetapi kalau mahu memeluk agama Islam, biarlah ia datang sendiri dari hati saya dan bukannya kerana dia (Akim) ataupun sebab lain. Selama ini, saya banyak bergaul dengan kawan beragama Islam.

"Tidak dinafikan susah melawan gaya kehidupan orang Islam yang bagus. Apatah lagi, agama Islam dan Kristian mempunyai sedikit persamaan. Contohnya daripada segi nama kalau Kristian panggil nama Abraham dan dalam Islam namanya ialah Ibrahim. Begitu juga dengan perkara lain," katanya dalam sidang akhbar di Mutiara Damansara di sini semalam. - Utusan




.

Seorang juruteknik dipukul kerana ingkar arahan penyelia cuci sisa kumbahan daripada sumber tidak halal


Seorang juruteknik dipukul kerana ingkar arahan penyelia cuci sisa kumbahan daripada sumber tidak halal | Akibat enggan akur kepada arahan supaya mencuci sisa kumbahan daripada saluran makanan tidak halal, seorang juruteknik sebuah pasar raya di Subang Jaya, di sini, cedera di kepala dan sikunya akibat dipukul penyelianya dalam kejadian 19 Disember lalu. Berikutan kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Azrai, 29, nekad berhenti kerja. Menurut mangsa, beberapa hari sebelum kejadian dia dipukul, penyelianya itu mengarahkannya supaya dia melakukan kerja pembersihan tangki kumbahan yang menyalurkan sisa makanan daripada restoran tidak halal yang terletak dalam pasar raya berkenaan, tetapi dia enggan melakukannya.

 "Sebelum ini, kalau ada paip kumbahan bocor atau kerja pembersihan tangki kumbahan sisa makanan tidak halal, kita akan memanggil kontraktor luar melakukannya. Oleh itu, mengapa dia mahu saya yang melakukan,” katanya. Berikutan itu, katanya, akibat tidak berpuas hati dengan tindakan penyelianya itu, dia memaklumkan hal berkenaan kepada pihak atasan. “Saya tidak berniat untuk menyusahkan atau memalukannya, tetapi tindakannya terhadap saya memang tidak boleh diterima. "Sebagai orang Islam, dia sepatutnya tahu hukum hakam iaitu orang Islam yang tidak boleh menyentuh benda tidak halal. Dia juga tidak membenarkan saya menukar pakaian yang dicemari sisa kotoran itu," katanya. -HM




.

Seorang Doktor gigi menang bicara lawan Majlis Pergigian Malaysia


Seorang Doktor gigi menang bicara lawan Majlis Pergigian Malaysia | Seorang doktor gigi hari ini berjaya dalam rayuannya untuk mengetepikan keputusan Majlis Pergigian Malaysia yang menghendakinya menjalani latihan kerana didapati terbabit dengan salah laku profesional. Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zaleha Yusof meluluskan rayuan Dr Mathew Sebastian dengan alasan wujud unsur pertimbangan berat sebelah dalam kes berkenaan. Zaleha berkata, majlis itu tidak mengemukakan surat aduan, manakala aduan seorang suri rumah, yang juga pesakit Dr Sebastian, turut tidak tepat. Mahkamah memerintahkan majlis itu membayar RM500 sebagai kos kepada Dr Sebastian. Dr Sebastian mengemukakan rayuan terhadap keputusan majlis itu pada 7 Mei yang mendapatinya melanggar tata kelakuan profesional dan memerintahnya menjalani latihan selama enam bulan.

Dalam saman pemula yang difailkan pada 5 Jun, Dr Sebastian mendakwa majlis itu membuat keputusan berkenaan dalam inkuiri yang diadakan selepas suri rumah terbabit mengemukakan aduan terhadap beliau. Dr Sebastian, 63, berkata majlis itu terkilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila mengeluarkan perintah itu kepadaya. Dalam aduannya, wanita itu mendakwa Dr Sebastian melakukan rawatan 'laser, crown dan bridge' tanpa terlebih dahulu memperoleh persetujuannya. Dr Sebastian dikenakan pertuduhan mengikut Seksyen 32(2)(b) Akta Pergigian 1971 berhubung salah laku profesional yang boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 33 Akta berkenaan. Beliau diwakili peguam Qeemnoor Zahreen Zazanee Muhamad Noh, manakala peguam Lee Sok Wah mewakili Majlis Pergigian Malaysia. - Bernama





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!