Cara baru along ugut peminjam wang.. | Jika sebelum ini ah long sering mengugut mangsa dengan menyimbah cat, namun kali ini seorang ibu menerima ancaman dibaling ular berbisa ke kawasan rumahnya ekoran kegagalan anaknya membayar hutang mereka. Wong See Mooi, 54, berkata, kejadian berlaku apabila anak lelakinya yang berusia 29 tahun meminjam sejumlah wang dengan ah long dan bertindak melarikan diri dari rumah mereka di Kajang dekat sini pada 5 Disember lalu kerana tidak mampu membayar hutang tersebut. "Konco-konco ah long terbabit telah beberapa kali menelefon saya bagi mencari anak bongsu saya. "Pada 19 Disember lalu mereka telah mencampakkan ular tedung di rumah bagi mengugut saya, nasib baik haiwan itu berjaya dibunuh oleh jiran saya," katanya dalam sidang akhbar di Wisma MCA.
See Mooi berkata, selang beberapa hari, konco-konco ah long itu sekali lagi datang ke rumahnya kira-kira pukul 11 malam dan membuat bising sambil menggegarkan pagar rumah. "Apabila saya keluar rumah didapati bahagian luar rumah saya telah disimbah dengan cat merah," ujarnya. Ekoran dua kejadian itu, katanya, dia telah membuat laporan polis di Balai Polis Kajang pada 25 Disember lalu. Sementara itu, dalam sidang akhbar sama, tiga lagi individu membuat aduan di Biro Pengaduan Awam MCA mendakwa mereka turut diugut oleh konco-konco ah long dengan menyimbah cat ke rumah masing-masing. Dakwa dua daripada individu itu, ah long terbabit mengugut demikian setelah konco-konconya gagal mendapatkan hutang daripada anak mereka yang membuat pinjaman manakala seorang lagi disebabkan oleh penyewa bilik di rumahnya lari daripada membayar hutang. -Utusan
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment