'Kegiatan' seorang pengasuh yang mengendalikan sebuah pusat jagaan harian kanak-kanak terbongkar | KEMATIAN seorang bayi perempuan berumur tiga bulan membongkar 'kegiatan' seorang pengasuh yang mengendalikan sebuah pusat jagaan harian kanak-kanak di South Carolina. Pamela Clark Wood, 49, diberkas pihak berkuasa, selepas satu serbuan dilakukan di rumahnya. Menurut pejabat Timbalan Polis Greenville, mereka menemui anak perempuan suspek bersama 14 kanak-kanak lain disembunyikan di dalam sebuah bilik tingkat bawah kediamannya yang dipenuhi minuman beralkohol. "Kami turut menemui beberapa lagi budak tanpa pengawasan orang dewasa termasuk di bilik tidur utama, di mana sepucuk senapang ditemui pada sebuah rak buku.
"Tujuan asal kami menyiasat kematian bayi tersebut membawa kepada penemuan lebih mengejutkan," kata jurucakap pihak berkuasa. Difahamkan, seramai 23 kanak-kanak ditemui di rumah tersebut walaupun jabatan perkhidmatan sosial hanya membenarkan enam budak ditempatkan di pusat jagaan harian pada satu-satu masa. Susulan daripada itu, Wood didakwa atas kesalahan mengabaikan kanakkanak dan melanggar syarat perlesenan pusat jagaan harian. Siasatan untuk mengetahui punca kematian bayi tersebut masih dijalankan. "Keadaan tempat atau posisi tidurnya ketika itu mungkin antara sebab mangsa mati mengejut," kata koroner, Parks Evans.
Sementara itu, Gary Blackburn yang pernah meletakkan anak lelakinya di bawah jagaan Wood selama empat tahun setengah mendakwa beliau mula mengesyaki sesuatu apabila anaknya berkelakuan pelik secara tiba-tiba. "Bagaimanapun, dia kembali normal selepas kami tidak lagi menghantarnya ke pusat jagaan tersebut sejak Januari lalu," jelasnya. Saluran berita WSPA melaporkan kes melibatkan wanita itu bukan pertama kali dilakukan olehnya kerana dia pernah melanggar peraturan sama kira-kira enam tahun lalu. - DailyMail
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment