MH370 : Pakar penerbangan percaya, pesawat tidak menjunam ke laut | Seorang pakar penerbangan dari Amerika Syarikat (AS) percaya pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang sejak 8 Mac lalu tidak terhempas dengan kuat di Lautan Hindi. Pakar tersebut, David Gallo (gambar kecil) berkata, rumusan itu dibuat selepas sebuah satelit berjaya mengesan beberapa objek bersaiz besar di satu lokasi di Lautan Hindi kira-kira 2,500 dari barat daya Perth, Australia semalam. Gallo merupakan ketua penyiasat AS yang membantu mencari sebuah pesawat Air France yang hilang selepas terhempas di Lautan Atlantik pada 2009. Katanya, berdasarkan gambaran yang diberikan oleh para pegawai Australia, terdapat dua objek besar dengan sebuah objek berkenaan berukuran lebih 20 meter panjang dan dikelilingi beberapa objek kecil terapung di Lautan Hindi. Objek tersebut dipercayai serpihan kapal terbang. Ujarnya, beberapa pakar marin yang mengkaji angin dan ombak memberitahu bahawa keadaan lautan di lokasi objek itu dikesan adalah tenang sejak beberapa hari lalu. "Biasanya serpihan akan bertaburan di lautan tetapi sekiranya keadaan laut adalah tenang kemungkinan serpihan ini berada dekat antara satu sama lain," katanya.
Berdasarkan saiz yang digambarkan oleh pegawai Australia, Gallo meramalkan objek itu kemungkinan sayap atau badan pesawat. "Daripada serpihan yang besar ini kemungkinan pesawat ini mendarat dengan agak perlahan ketika di laut. "Kapal terbang ini tidak terhempas secara menjunam ke permukaan laut," jelasnya. Menurutnya, ketika misi mencari pesawat Air France, ekor kapal terbang adalah serpihan pertama ditemui selepas lima hari pesawat itu dilaporkan terhempas. Beberapa serpihan lagi dan beberapa mayat penumpang pesawat itu hanya dijumpai hampir dua minggu selepas penemuan pertama tersebut. Dalam tragedi tersebut, seramai 228 penumpang dan anak kapal pesawat itu maut manakala kotak hitam kapal terbang itu hanya dijumpai selepas dua tahun tragedi berlaku. "Lautan adalah tempat yang misteri dan sukar untuk kita meramalkan sama ada penumpang pesawat MH370 ini terselamat atau sebaliknya. "Kita hanya akan mengetahui semua itu selepas pesawat ini djumpai," jelasnya. - Agensi
.
2 Penyokong CHELSEA:
bila la misteri ni kan terungkai
assalamualaikum lulu...yer la bilalah nak jumpa MH370 ni kan...:)
Post a Comment