Monday, March 31, 2014

Suami isteri ditemui mati dalam keadaan tragis di kediaman mereka


Suami isteri ditemui mati dalam keadaan tragis di kediaman mereka | Sepasang suami isteri ditemui mati dengan kesan kelar di leher di kediaman mereka di Blok C, Projek Perumahan Rakyat Muhibbah, Kampung Muhibbah di sini malam tadi. Pasangan suami isteri itu hanya dikenali sebagai Selvam dan Anita. Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, si suami terlebih dahulu mengelar leher isterinya dan membunuh dua ekor anjing mereka sebelum mengelar diri sendiri. Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, pada mulanya, pihaknya menerima maklumat daripada orang ramai terdapat seorang lelaki cuba membunuh diri di lokasi tersebut. Beliau berkata, pihaknya yang bergegas ke tempat kejadian menemui mayat lelaki itu dan seorang wanita di sebuah bilik tidur dalam keadaan tertiarap serta berlumuran darah. "Turut ditemui di bilik sama ialah dua ekor anjing yang telah mati," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohan Singh berkata, pihaknya menemui sebilah pisau berhampiran mayat lelaki terbabit yang dipercayai digunakan untuk membunuh diri. "Pemeriksaan terhadap mayat mendapati ada kesan kelar pada leher kedua-dua mangsa sepanjang antara 10 ke 15 sentimeter, begitu juga dengan kedua-dua anjing tersebut," ujarnya. Mohan berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah berlaku dan mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat. "Ketika ini siasatan masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut," ujarnya.

Sementara itu, menurut seorang jiran yang enggan dikenali, dia mendengar bunyi bising seperti orang bergaduh dari rumah pasangan itu kira-kira pukul 10 malam. "Tidak lama selepas itu, saya diberitahu jiran-jiran lain memaklumkan pasangan itu ditemui mati," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. Menurut jiran tersebut, pasangan tersebut tidak mempunyai anak dan telah tinggal di situ sejak beberapa tahun lalu. Katanya, lelaki terbabit mengendalikan perniagaan pengangkutan manakala isterinya bekerja sambilan sebagai juru dandan. Seorang lagi jiran memberitahu, dia tidak pernah melihat pasangan itu bergaduh sebelum ini. -Utusan




.

1 Penyokong CHELSEA:

Rizziela on March 31, 2014 at 8:52 AM said...

oh..sedihnya

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!