Sunday, April 13, 2014

Ini adalah trend baru bergambar ketika sedang melancong



Ini adalah trend baru bergambar ketika sedang melancong | HIDUP dalam era komunikasi masa kini memudahkan orang ramai mengambil gambar ketika sedang melancong, kemudian muat turun gambar tersebut untuk dikongsi di laman web rangkaian sosial. Trend ini mungkin menjadikan mereka berasa istimewa tetapi bagaimana jika gambar yang kamu muat turun itu lebih menonjol daripada gambar lain sehingga dikagumi ramai. Bagi gambar yang tidak menonjol, mungkin kamu sekadar melakukan perkara biasa yang kebanyakan daripada kita hanya mengambil gambar potret yang normal. Untuk lebih menonjol, kamu memerlukan usaha yang lebih daripada itu dan sebagai habuan, kamu mungkin akan menjadi popular di laman sosial seperti yang dilakukan oleh penari b-boy yang lebih dikenali dengan nama Kapstand, 29. Walaupun dia tidak menari dalam setiap gambar yang diambilnya itu, namun aksi berdiri menggunakan sebelah tangan atau lebih dikenali dengan nama handstand yang dipamerkannya kini menjadi kegilaan ramai di laman sosial.


Dalam setiap gambarnya itu, dia tidak mendedahkan identitinya termasuk menunjukkan mukanya untuk memastikan segala-galanya misteri dan setakat ini dia mempunyai lebih daripada 7,000 pengikut di laman Instagram. Sebagai pencetus aksi bergambar secara handstand, gaya yang dipamerkan Kapstand kini mula menjadi ikutan ramai biarpun aksi tersebut bukanlah sesuatu yang baru kerana aksi itu pernah dipamerkan oleh kebanyakan penari muzik hip-hop mahupun rap atau dalam sukan gimnastik. Idea itu sebenarnya telah diilhamkan oleh Murad Osman menerusi projek gambar bersiri Follow Me yang memaparkan gambar seorang gadis membawa teman lelaki melancong ke seluruh dunia. Bagaimanapun, cara Kapstand agak berlainan kerana menerusi projek gambar bersiri The One Handed Handstand, nyata dia lebih menonjol.


Biarpun idea mereka berdasarkan idea yang sama namun gaya yang dipamerkan pemuda itu di hadapan mercu tanda ikonik yang terdapat di sekitar Perancis seperti Menara Eiffel, Arc de Triomphe, Louvre, Notre Dame, Esplanade de La Défense, Palace of Versailles, Place de la Madeleine, Musée d' Orsay, rumah api Capbreton dan banyak lagi di sekitar kota romantis lain menjadi bualan di laman sosial Instagram. Setiap gayanya itu sangat popular dan menjadi sensasi kerana aksi berdiri menggunakan sebelah tangan seperti yang dipamerkannya itu kini menjadi tarikan terbaru pelancong ke Paris. Kapstand berkata, sejak berusia 14 tahun lagi, dia telah mengamalkan kaedah tarian b-boy yang mana salah satu tekniknya memerlukan si penari berdiri menggunakan sebelah tangan dan teknik tarian itu perlu diseimbangkan dengan posisi badan yang stabil.


Katanya, dia berpindah ke Paris lapan bulan lalu dan ketika bersiar-siar di sekitar bandar tersebut bersama rakannya, mereka mula mengambil gambar dengan aksi berdiri menggunakan sebelah tangan di hadapan bangunan terkenal sekadar untuk berseronok. Selepas dia muat turun gambar-gambar tersebut ke laman Instagram, dia terkejut melihat jumlah peminat yang diperolehnya dalam masa yang singkat sehingga aksinya itu menjadi ikutan ramai. Oleh kerana sambutan yang sangat baik diterima daripada peminatnya, Kapstand kini memutuskan untuk menjadikan aksi tersebut sebagai salah satu projek bersiri yang diberi nama The One Handed Handstands. Tambahnya, dia tidak menyangka yang aksi itu diminati ramai kerana pada awalnya ia dirakamkan sekadar suka-suka.


"Ketika saya tiba di Paris, saya mengambil kesempatan melawat beberapa destinasi menarik dengan rakan-rakan dan pada masa yang sama, kami mengambil beberapa gambar mengikut gaya kegemaran saya (handstand). "Kini, gambar itu disukai ramai di akaun Instagram sehingga tidak putus-putus komen yang saya terima daripada mereka yang melihat gambar tersebut. Saya berharap pada masa akan datang, saya berpeluang melancong dan mengambil gambar di seluruh dunia, lebih-lebih lagi di lokasi kegemaran saya iaitu New York, Amerika Syarikat dan Machu Picchu, Peru," katanya. -AP




.

3 Penyokong CHELSEA:

Unknown on April 13, 2014 at 10:43 AM said...

stylo !

Che Akak on April 13, 2014 at 6:31 PM said...

hahaha..tak nak ah...maunyer kalau akak buat muntah jelanak dibuatnya

Unknown on April 14, 2014 at 10:01 AM said...

aiyark..xlela tiru..susah ni..huhu

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!