Niat murni seorang remaja pesakit kanser sebelum meninggal dunia tercapai | Seorang remaja yang menghidap penyakit kanser, berjaya dalam usahanya untuk mengumpul satu juta pound (RM5.48 juta) bagi membantu sebuah badan kebajikan, sebelum dia meninggal dunia akibat penyakit yang dihidapinya itu. Portal berita Mail Online melaporkan Stephen Sutton, 19, dari Burntwood, Staffordshire, dikesan menghidap penyakit kanser kolon ketika berumur 15 tahun, namun walaupun barah tersebut telah dibuang daripada ususnya, penyakit itu kembali semula setahun selepas pembedahan.
Selepas dimaklumkan tentang keadaan itu, remaja tersebut membuat satu senarai hasrat yang mahu dicapainya sebelum dia meninggal dunia. Sutton yang pada awalnya berharap untuk mengumpul 10,000 pound bagi membantu badan kebajikan, Teenage Cancer Trust, namun, selepas usahanya itu yang dilakukan melalui laman web Facebook dan Twitter serta membuat diari di atas talian, selain memberi ceramah motivasi tentang penyakit yang dihidapinya itu mendapat perhatian banyak pihak, membolehkannya mengumpul dana berjumlah satu juta pound.
Dia juga mendapat bantuan daripada beberapa selebriti Britain termasuk Piers Morgan, Clare Balding, Robbie Fowler, Alan Davies dan Jimmy Carr. Keadaan Sutton kini terlantar di atas katil di hospital dan keadaan kesihatannya semakin merosot. Sutton dalam Facebook berkata, keadaan kesihatannya semakin buruk, namun dia berpesan supaya semua orang menikmati kehidupan masing-masing dengan berfaedah sebelum ia berakhir.-AP
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment