Apa maksud 'Perintah berkurung' yang diumumkan oleh Sabah? | Perintah berkurung bakal dilaksanakan di beberapa kawasan berisiko tinggi di perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) bagi mengehadkan pergerakan keluar masuk manakala setiap urusan perlu mendapat kebenaran serta permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Selain itu, pergerakan bot dan kapal juga diwajibkan mengikuti laluan yang dibenarkan dengan dipantau secara terus oleh pasukan keselamatan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di pangkalan hadapan yang bakal diwujudkan di kawasan strategik. Langkah itu merupakan salah satu daripada sembilan langkah drastik diputuskan oleh Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) yang bermesyuarat bagi menangani kes penculikan terbaharu melibatkan seorang rakyat China di Pulau Baik, Silam, Lahad Datu dekat sini awal pagi semalam.
Mesyuarat tergempar JKKN itu dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman (gambar) bagi membincangkan langkah-langkah dan strategi sesuai yang perlu diambil untuk menangkis ancaman berkenaan di Esszone yang meliputi 10 daerah. JKKN juga memutuskan untuk meningkatkan keupayaan logistik Esscom seperti mewujudkan sokongan melalui konsep kapal induk untuk menjadi hab atau platform bagi pengisian minyak oleh bot-bot laju pasukan keselamatan tanpa perlu balik ke daratan yang mengambil masa dan kos," katanya.
Tambah Musa, langkah jangka pendek, sederhana dan panjang bakal dilaksanakan termasuk mewujudkan radar berkeupayaan tinggi dan meningkatkan keupayaan pasukan keselamatan seperti penambahan jumlah bot laju berkeupayaan tinggi. Katanya, JKKN juga bakal mengukuhkan pelaksanaan gerak dan perang saraf bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat supaya menjadi barisan pertahanan di Esscom. JKKN menyeru supaya semua pihak khususnya penduduk di kawasan pantai timur Sabah sentiasa memberi kerjasama berterusan kepada pihak berkuasa dalam usaha menjamin keselamatan negeri ini berada pada tahap tertinggi," katanya. -Utusan
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment