Cara seorang bapa memberi pengajaran kepada anaknya yang cuai | Seorang bapa di Scotland bertindak menjual bahagian-bahagian sebuah kereta Honda Civic 1.4 miliknya di laman perniagaan Gumtree, hanya pada harga 1 peni (RM0.05) bagi memberi pengajaran kepada anaknya, selepas kereta yang dipandu anak lelakinya itu terlibat dalam kemalangan, baru-baru, ini. Steve Clark, dari Kampung Monikie dekat Angus bertindak demikian bertujuan untuk memalukan dan mengajar anaknya, selain berharap tindakan itu dapat memberi kesedaran kepada ibu bapa lain supaya memastikan anak-anak mereka memandu secara berhemah.
"Oleh kerana anak lelaki saya menganggap dirinya seperti Colin McRae, seorang pemandu kereta rali Scotland, saya mengambil keputusan menjual sebuah kereta Honda Civic 1.4 keluaran tahun 2000 untuk dijadikan alat ganti. Dia mungkin terlalu sukar mengawal kereta itu. Dia hanya pandai bercakap tetapi tidak pandai melakukannya. Dia akan berjalan kaki selepas ini bagi tempoh yang panjang," kata Clark dalam iklan pada laman web itu, sebagaimana dilaporkan Mail Online. Ketika kejadian, anak Clark, Nathanial yang baru berusia 17 tahun dan baru mendapat lesen memandu pada awal bulan ini, memandu kereta itu di Bonnyton Road sebelum terlibat dalam kemalangan, namun dia tidak mengalami kecederaan dalam insiden tersebut.
Clark berkata, dia suka melakukan sesuatu perkara di luar kotak dan merasakan tindakannya memuatnaik iklan itu melalui atas talian merupakan cara terbaik bagi memalukan anaknya. Malah, kata Clark, dia dan isterinya menerima puluhan mesej tanda sokongan daripada ibu bapa lain atas tindakannya itu. Tindakan itu hanya bagi menyedarkan orang ramai dan memaklumkan kepada mereka tentang perkara sebenar, terutamanya bila anak masing-masing keluar memandu dan bagaimana perasaan ibu bapa yang duduk di rumah menunggu mereka atau tertanya-tanya sama ada mereka akan pulang ke rumah atau tidak,'' katanya.
Abang Nathanial, Nicholas, 27, ketika menunjukkan iklan itu kepada adiknya selepas lima jam dimuatnaik berkata, adiknya begitu terkejut dan malu selepas iklan tersebut mendapat perhatian banyak pihak. Clark berkata, sejak iklan itu dimuatnaik kelmarin, dia menerima banyak panggilan termasuk daripada individu yang menawarkannya beberapa kotak biskut sebagai pertukaran dengan bahagian-bahagian kenderaan itu, malah dia turut ditawarkan wang sebanyak 250 pound (RM1,361) dan 370 pound (RM2,015) bagi membeli bahagian-bahagian kereta tersebut. -AP
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment