Perut dimasuki dua ekor lintah ketika mandi di sebuah kolam ikan terbiar | “Waktu tengah seronok mandi tiba-tiba saya rasa tali perut seperti dicucuk-cucuk jarum,” kata Yahya Musa, 12, yang berdepan detik ngeri apabila perutnya dimasuki dua ekor lintah ketika sedang mandi di sebuah kolam ikan terbiar di Bandar Seri Bandi, dekat sini. Kejadian luar jangkaan itu sekali gus menghancurkan keseronokan musim cuti sekolah bagi mangsa yang juga murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bandi II itu. Gara-gara kejadian kira-kira jam 3 petang pada Isnin lalu itu, mangsa mengalami pendarahan teruk pada bahagian dubur dan nyaris pengsan sebelum dikejarkan ke klinik berhampiran.
Yahya berkata, dia berasa sakit yang keterlaluan dalam perutnya selepas kira-kira 10 minit mandi di kolam terbiar itu bersama beberapa lagi rakannya sebelum keluar darah dari punggungnya. “Semasa mandi saya dah perasan ada lintah dalam kolam tu...jadi lepas terasa sakit perut saya syak lintah tu dah masuk dalam perut. “Lepas itu saya terus pulang ke rumah, saya jalan pun dah terhuyung-hayang sebab rasa macam nak pitam dah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Seri Bandi, semalam.
Kolam terbiar itu terletak kira-kira 500 meter dari rumah mangsa dan bersebelahan dengan SK Seri Bandi I. Sementara itu, ibu mangsa, Fuziah Salleh, 38, berkata, ketika Yahya pulang ke rumah dia terkejut melihat seluar yang dipakai anaknya itu dipenuhi darah. “Saya panik seketika kerana secara tiba-tiba dia pulang dalam keadaan begitu. Kemudian saya dan suami hantarnya untuk dapatkan rawatan segera di Klinik Kesihatan Seri Bandi sebelum dirujuk di Hospital Kemaman di Chukai. “Sebaik tiba di hospital, doktor beri ubat tahan sakit dan air garam kepada anak saya. Alhamdulillah selepas makan ubat serta minum air garam, dua ekor lintah yang ada dalam perut anak akhirnya keluar,” katanya. Katanya, dia juga bersyukur kerana selepas dilakukan imbasan x-ray doktor mengesahkan anaknya tidak mengalami luka dalaman. -SH
P/S - Sekadar gambar hiasan
.
1 Penyokong CHELSEA:
bahaya nya
Post a Comment