Suami terlepas hukuman penjara setelah isteri maafkan selepas dakwaan mengancam dan cederakan isteri | Demi kasih kepada anak-anak, seorang wanita sanggup memaafkan suami yang memukulnya sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian mata pada bulan lepas. Tindakan Aaina Azura Rosli, 30, menyebabkan Majistret Nik Habri Muhamad membuat keputusan untuk melepas serta membebaskan Mohd Zailani Kari, 30, daripada pertuduhan selepas tertuduh membayar kompaun RM100 kepada isterinya. Mohd Zailani, yang bekerja sendiri, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Aaina Azura di rumah mereka di Kampung Alor Mas di sini pada 7 pagi 25 Mei lepas mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Dia turut didakwa mengancam untuk mencederakan isterinya di tempat dan waktu sama mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Bagi kesalahan ini, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,000 dan memerintahkan tertuduh membayar pampasan sebanyak RM2,000 kepada mangsa. Jika gagal, tertuduh berdepan hukuman penjara selama lapan bulan. Mohd Zailani kemudian membayar kompaun, denda dan pampasan berkenaan di depan Nik Habri. Aaina Azura, yang ditemui pemberita selepas itu, berkata dia memaafkan suaminya demi keluarga. "Ini demi anak-anak. Kami berkahwin sudah 10 tahun dan ada enam orang anak berusia antara empat bulan hingga 10 tahun," katanya. Pendakwaan dikendali Pegawai Pendakwa ASP Saiful Nizam Mislah manakala tertuduh tidak diwakili peguam. -Mstar
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment