Saturday, July 19, 2014

Bendera negara dikibarkan separuh tiang di seluruh negara sebagai menghormati kejadian pesawat MH17 terhempas


Bendera negara dikibarkan separuh tiang di seluruh negara sebagai menghormati kejadian pesawat MH17 terhempas | Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan mulai malam tadi sehingga Isnin ini bendera negara dikibarkan separuh tiang di seluruh negara sebagai menghormati kejadian pesawat MH17 terhempas di Timur Ukraine malam kelmarin. Dalam perutusan khas yang disampaikan jam 11.15 malam, beliau turut mengumumkan akan mengadakan sidang Parlimen tergempar bagi membentangkan usul mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan berkenaan. Beliau berkata, kerajaan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan itu dan berharap siasatan dijalankan secara adil dengan kerjasama semua pihak.

“Walaupun MH17 dipercayai ditembak, kita tidak menuding jari kepada mana-mana pihak atas perbuatan itu sehingga bukti sahih dapat disahkan. “Kita kutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak bertamadun, bersifat ganas dan tidak bertanggungjawab itu,” katanya. Menurutnya, seperti diketahui kawasan berlakunya kejadian itu dikuasai dan dikawal oleh pasukan pemberontak dan kerajaan sedang melakukan pelbagai usaha menjalin hubungan baik dan saluran diplomatik supaya pasukan penyiasat dapat menjalankan siasatan.

“Justeru kami meminta keselamatan pasukan penyiasat kita terjamin, kita mendesak pihak berkenaan tidak mengganggu atau mencemar bukti di tempat kejadian supaya siasatan dilakukan dan jika siasatan mendapati pesawat itu ditembak jatuh, Malaysia mahu pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan,” katanya. Beliau berkata, kerajaan sudah menghubungi Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon berhubung kejadian itu serta meminta Presiden Russia Vladimir Putin memberi kerjasama supaya hasrat berkenaan terlaksana. Malah katanya, pesawat khas sudah dihantar ke Ukraine petang semalam membabitkan penyertaan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), kumpulan perubatan serta pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). -Metro





.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!