Saturday, July 26, 2014

Keadaan kereta mewah Fizo Omar yang terbabit kemalangan di Kilometer 69.7 Jalan Kota Bharu-Gua Musang


Keadaan kereta mewah Fizo Omar yang terbabit kemalangan di Kilometer 69.7 Jalan Kota Bharu-Gua Musang | Kurang seminggu digunakan, kereta mewah Audi S5 milik pelakon dan usahawan Fizo Omar sudah ‘dicium’ kenderaan lain apabila terbabit dalam satu kemalangan di Kilometer 69.7 Jalan Kota Bharu-Gua Musang, dekat Kuala Krai, petang kelmarin. Ketika kejadian, Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 29, tidak memandu kereta itu sebaliknya dipandu adik bongsu Wan Normimi Adila, 19, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Selising, Pasir Puteh, dekat sini. Turut berada dalam kereta itu ibunya Hasnah Jidin, 54, dan pembantu peribadi Fizo Rosdi Razak. Fizo berkata, dia sangat terkejut diberitahu ahli keluarganya terbabit dalam kemalangan itu yang turut membabitkan empat kenderaan serentak.

“Saya sedang bermesyuarat bersama pekerja syarikat di Kuala Lumpur dan menerima panggilan telefon daripada pembantu memberitahu mereka terbabit dalam kemalangan. “Terkejut saya dibuatnya apatah lagi ada empat kenderaan terbabit, namun saya bersyukur sebaik diberitahu mama, adik dan pembantu selamat serta tidak cedera, melainkan lebam pada badan kerana beg udara terbuka dan dihempap beg pakaian. “Cuma mama dan adik masih lagi trauma dengan kejadian yang berlaku. Mereka terkejut kerana tidak pernah berdepan kejadian begini, terutama apabila beg udara sudah terbuka dan mereka gagal keluar daripada kereta hingga perlu dibantu orang awam,” katanya. Kejadian jam 1.15 tengah hari itu dipercayai berlaku ketika Wan Normimi cuba mengelak kereta yang keluar daripada simpang secara tiba-tiba sebelum bertembung dengan van dari arah bertentangan dan kereta Proton Iswara dipandu Lim Lee Lin, 31.

Akibat pertembungan itu, kereta Lim berpusing sebelum dilanggar kereta Proton Wira dari arah belakang menyebabkan dia tersepit di tempat duduk pemandu dan parah di kepala. Mengulas lanjut, suami kepada anak pengasas tudung Fareeda, Mawar Abdul Karim, 25, itu berkata, tidak mahu memikirkan mengenai kos pembaikan kereta itu yang mungkin menelan belanja sehingga RM17,000. “Ia memang kereta baru yang saya gunakan tidak sampai seminggu. Saya beli sebagai hadiah kepada diri sendiri sempena gaji pertama saya sebagai usahawan. “Tetapi, kejadian sudah berlaku. Yang penting sekali ahli keluarga saya selamat kerana kereta yang rosak boleh dibaiki, ada insurans, tapi ahli keluarga tiada galang ganti.

“Saya melihat kejadian ini ada hikmahnya apabila keluarga kami berkumpul lebih awal di rumah mama apabila semua adik beradik saya pulang sejak malam tadi (semalam),” katanya yang tiba tengah malam semalam menaiki kapal terbang bersama isterinya. Fizo berkata, akan melawat Lim yang cedera dan menerima rawatan di sebuah hospital swasta, di sini. Aktor filem Kongsi itu turut menasihati pengguna jalan raya berhati-hati ketika memandu bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku, sekali gus boleh membahayakan nyawa pengguna lain.-Metro




.

1 Penyokong CHELSEA:

Yun Sing on July 27, 2014 at 5:53 PM said...

Musim perayaan ni.. hati-hati di jalan raya.. :/

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!