Wednesday, August 6, 2014

Lelaki gila talak bertindak ganas



Lelaki gila talak bertindak ganas | Seorang lelaki dipercayai gila talak bertindak ganas apabila menyerang suami bekas isterinya menggunakan serpihan kaca tingkap dalam kejadian di Kampung Chubadak, Sentul di sini, kelmarin. Dalam kejadian jam 6.30 petang mangsa dikatakan berada bersama isterinya sebelum suspek datang bersama seorang lagi rakan dengan menjerit memanggil nama mangsa serta melakukan provokasi untuk mengajak mangsa bergaduh. Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, mangsa berusia 21 tahun tidak mengendahkan suspek selepas dipujuk isterinya agar tidak keluar daripada rumah untuk berjumpa suspek.

“Berang kerana pelawaan untuk bergaduh dengan mangsa tidak dilayan, suspek merosakkan motosikal Yamaha RXZ milik mangsa yang diletakkan di hadapan rumah sebelum mangsa keluar untuk melihat kejadian itu,” katanya. Munusamy berkata, suspek yang bernama Mohamad Syafiq Mohd Alias juga berusia 21 tahun terus menerkam mangsa sebaik melihat mangsa keluar daripada rumahnya dan berlaku pergelutan selama beberapa minit. Beliau berkata, suspek kemudian mengambil serpihan kaca tingkap dan terus menyerang mengakibatkan mangsa cedera di bahagian telinga kanan akibat dikelar.

“Panik dengan kejadian itu suspek bersama rakannya melarikan diri dan isteri mangsa mendapatkan bantuan jiran untuk membawa suaminya ke hospital sebelum isteri mangsa membuat laporan polis,” katanya. Munusamy memberitahu mangsa kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan dilaporkan stabil. Beliau berkata, pihaknya kini giat memburu suspek yang juga lelaki Melayu bagi membantu siasatan. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan. -Metro

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!