Friday, November 7, 2014

Rumah kecil yang mendedahkan rahsia besar..


 Rumah kecil yang mendedahkan rahsia besar.. | Pembekal rokok seludup yang bertindak sebagai ‘stokis’ kepada penjual rokok di negeri ini dikesan menjadikan sebuah rumah di Kampung Simpang Sepayang, Rompin sebagai gudang menyimpan pelbagai rokok yang tidak mendapat pelepasan kastam. Aktiviti mereka terbongkar apabila Pasukan Polis Marin (PPM) menyerbu sebuah banglo di ladang sawit kira-kira jam 2 petang kelmarin dan merampas kira-kira 4,000 karton rokok seludup bernilai lebih RM500,000. Komander PPM Wilayah Tiga Asisten Komisioner Azmi Ibrahim berkata, kumpulan pembekal rokok terbabit berselindung di sebalik banglo itu yang kelihatan seperti rumah didiami penduduk setempat.

Menurutnya, pihaknya melakukan intipan selama beberapa bulan sebelum serbuan dilakukan selepas mendapat maklumat awam dan mendapati dua lelaki tempatan bertindak sebagai pembekal rokok berkenaan. “Ketika serbuan, kita mendapati rumah berkenaan tidak berpenghuni dan terpaksa memecahkan pintu utama untuk masuk. Bagaimanapun, dua suspek melarikan diri ke ladang sawit selepas menyedari kehadiran polis. “Hasil pemeriksaan di rumah itu menemui beberapa karton rokok diletakkan di bilik dan ruang tamu, malah pemeriksaan lanjut menemui beberapa karton rokok diletakkan dalam kotak besar di sebuah rumah kecil bersebelahan banglo berkenaan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Katanya, pihaknya mendapati suspek sengaja memilih lokasi terpencil untuk menempatkan rokok seludup pelbagai jenama itu bagi mengelak aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa. “Kita percaya suspek sudah menyewa rumah berkenaan sejak enam bulan lalu dan kebiasaannya akan berpindah dari satu tempat ke tempat lain apabila aktiviti mereka mulai dikesan. “Kita tidak menolak kemungkinan rokok berkenaan dibawa masuk melalui jalan laut bagi mengaburi pihak berkuasa dan ia untuk pasaran di sekitar Pantai Timur,” katanya. Beliau berkata, serbuan berkenaan rampasan kesembilan dilakukan membabitkan rampasan rokok dan ia yang terbesar sepanjang tahun ini.




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!