Wednesday, December 31, 2014

#QZ8501 : Reaksi sanak saudara selepas penemuan mayat begitu meruntun hati



#QZ8501 : Reaksi sanak saudara selepas penemuan mayat begitu meruntun hati | Sanak saudara penumpang dan anak kapal pesawat AirAsia gempar apabila berita tentang penemuan beberapa mayat di Laut Jawa disiarkan di televisyen. Kaum keluarga mangsa pesawat QZ8501 mula menangis seperti orang diserang histeria dan ada yang pitam selepas televisyen Indonesia menyiarkan rakaman satu mayat ditemui terapung di laut semasa rakaman itu diambil dari udara ketika usaha mencari dan menyelamat dijalankan oleh pihak berkuasa Indonesia dengan dibantu negara-negara jiran.

Dua orang keluarga penumpang pesawat tersebut dibawa keluar menggunakan pengusung dari bilik menunggu di lapangan terbang Juanda di Surabaya, sekali gus menamatkan misteri kehilangan pesawat itu sejak ia terputus hubungan dalam cuaca buruk, kelmarin. “Jantung saya luluh jika berita itu betul. Saya akan kehilangan anak lelaki saya,” kata Dwijanto, 60, kepada AFP. Selepas lebih 48 jam pesawat Airbus A320-200 membawa 162 penumpang dan anak kapal putus perhubungan dengan menara kawalan udara ketika dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura, kelmarin, pasukan mencari dan menyelamat mula mengesan serpihan kapal terbang di Laut Jawa yang didakwa 95 peratus adalah rangka pesawat yang hilang itu.


Tidak lama kemudian pasukan mencari dan menyelamat mula menemui berpuluh-puluh mayat. Mayat pertama ditemukan terapung di laut dan ketika penemuan mayat itu disiarkan di televisyen, sanak saudara penumpang dan anak kapal itu mula menangis dan berpeluk-pelukan antara satu sama lain. Ketika itu ambulans tambahan dipanggil bagi menghadapi sebarang kemungkinan, lapor wartawan AFP di lapangan terbang itu. Seorang lelaki menutup mukanya dan ditenangkan oleh dua orang lelaki sebelum dia pengsan dan dibawa keluar dari bilik itu menggunakan pengusung. Seorang wanita tiba-tiba menjerit dan menangis teresak-esak dan ditenangkan oleh Datuk Bandar Surabaya.

Sementara itu, seorang pegawai wanita AirAsia menjerit ke arah wartawan televisyen kerana menyiarkan mayat yang terapung di laut itu, manakala kira-kira 200 wartawan dilarang memasuki bilik menunggu yang menempatkan sanak-saudara mangsa nahas pesawat itu. “Tidak bolehkah kamu tidak menyiarkan gambar orang yang sudah meninggal? Tolonglah jangan siarkan gambar mayat orang yang sudah mati,” kata pegawai wanita itu, sambil menambah kata: “Ini kerja gila”. Munif, 50, yang menemani Siti Rahmah yang mempunyai adik lelaki bongsu di dalam pesawat itu berkata, dia cuba menenangkan sanak saudara yang lain selepas berita penemuan mayat itu disiarkan.


“Tetapi keadaan berubah serta-merta dan menjadi tidak terkawal apabila berita penemuan mayat pertama itu disiarkan di televisyen. Sanak-saudara mangsa pesawat itu seperti diserang histeria,” katanya. “Ini kerana semua orang terlalu terkejut dan sedih, Saya tidak mampu berbuat apa-apa, lalu saya keluar dari bilik menunggu itu,” katanya. Di Malaysia, kaum keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang pada Mac lalu mendoakan supaya mayat-mayat penumpang dan anak kapal AirAsia QZ8501 dapat ditemui dan dikebumikan. “Sekurang-kurangnya kaum keluarga penumpang dan anak kapal AirAsia QZ8501 kini boleh berasa tenang kerana sudah menerima berita penemuan pesawat itu,” kata Selamat Omar, yang kehilangan anak lelakinya berusia 29 tahun yang merupakan salah seorang penumpang MH370 yang masih tidak ditemui hingga sekarang. -Utusan





.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!