Sunday, January 5, 2014

Terlibat dalam kemalangan ngeri, dia selamat dalam kesakitan dan masih mampu senyum



Terlibat dalam kemalangan ngeri, dia selamat dalam kesakitan dan masih mampu senyum | Seorang penunggang basikal masih mampu mengukir senyuman, walaupun terpaksa menahan kesakitan apabila dia terperosok selama lebih 30 minit di bawah kereta selepas terlibat dalam kemalangan yang hampir meragut nyawanya di selatan Britain, hari ini. Lebih mengejutkan apabila lelaki itu, Justin Futers hanya mengalami luka kecil dan lebam, walaupun kepalanya berada beberapa milimeter daripada tayar depan kereta berkenaan. Ketika menceritakan detik-detik cemas itu, Futers berkata, kemalangan itu berlaku ketika dia melintasi persimpangan di Worthing, West Sussex apabila kereta berkenaan tiba-tiba melanggarnya sehingga menyebabkan dia terperosok di bawah kenderaan itu. "Saya tidak memejamkan mata ketika dilanggar dan saya fikir ajal saya telah tiba, namun bukan itu yang berlaku.


 "Apabila terperosok di bawah kereta, bahu kanan saya berasa sakit akibat dihimpit enjin kenderaan itu," katanya. Beberapa orang yang kebetulan berada di lokasi kejadian menghulurkan bantuan kepada Futers sebelum pasukan kecemasan tiba tidak lama kemudian. Lelaki berusia 47 tahun itu kemudiannya dibawa ke Hospital Worthing dan ujian imbasan mendapati dia tidak mengalami sebarang patah tulang, manakala pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan. Futers berharap gambar kejadian itu dapat disebarkan agar pengguna jalan raya lebih berhati-hati. - AGENSI




.

(Gambar) Curi dan Sumbat Empat Ekor Lembu Dalam Proton Wira


(Gambar) Curi dan Sumbat Empat Ekor Lembu Dalam Proton Wira | Dua lelaki berputih mata selepas empat ekor lembu yang mereka curi terpaksa ditinggalkan di dalam kereta Proton Wira selepas kenderaan yang mereka naiki bersama haiwan itu mengalami kerosakan di Kampung Siam, Sungai Seluang, Lunas dekat sini Ahad. Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, DSP Chin Soo Song berkata, kesemua lembu itu ditemui semula pada 7 pagi Ahad iaitu kira-kira 15 kilometer dari lokasi kandang ternakan haiwan itu dicuri, di Sungai Lembu, Bukit Mertajam. "Keempat-empat ekor lembu itu disumbat di bahagian but dan tempat duduk penumpang belakang yang telah dibuang bagi membolehkan kesemua lembu itu diisidi dalam kereta itu," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Pemilik ternakan melaporkan kejadian itu di Balai Polis Lunas pada 5 pagi ini, katanya. "Polis dengan kerjasama orang awam menjumpai semula ternakan itu yang ditinggalkan (dalam kereta) di tepi jalan di Kampung Siam, dekat sini," kata Chin. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua suspek diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim, Asisten Supt C. Tharmalingham di talian 04-4906222 atau balai polis berhampiran. - Bernama



.

Iker Casillas, penjaga Gol Real Madrid dan kelahiran bayi lelakinya



Iker Casillas, penjaga Gol Real Madrid dan kelahiran bayi lelakinya | Bintang penjaga gol Real Madrid dan Sepanyol, Iker Casillas semalam menyambut kelahiran anak pertamanya, bayi lelaki yang diberi nama Martin hasil perkongsian hidup bersama wartawan penyiaran, Sara Carbonero. "Saya mahu berkongsi dengan anda perkara paling penting dalam kehidupan saya dengan kelahiran anak lelaki ini," kata Casillas, yang menggalas tugas ketua pasukan Sepanyol ketika muncul juara Piala Dunia dan Eropah. Menurut Casillas, Martin yang dilahirkan dengan berat 3.85 kilogram dan ibunya berada dalam keadaan sihat. - AFP

Cipta sejarah, Gunung Sinabung meletus 30 kali dalam satu hari


Cipta sejarah, Gunung Sinabung meletus 30 kali dalam satu hari | Kerajaan Indonesia terpaksa memindahkan lebih 20,000 penduduk di sekitar Gunung Sinabung dekat sini selepas gunung berapi yang aktif sejak beberapa bulan lalu itu mula meletuskan abu gunung berapi sebanyak 30 kali hari ini. Gunung yang terletak di bahagian selatan pulau ini itu telah menghasilkan aliran lava di zon pemindahan dan juga menyebabkan berlaku awan volkano setinggi 4,000 meter, kata jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho.

 "Lava yang panas keluar dari gunung berapi itu sebanyak 60 kali setakat ini, mencecah sehingga lima kilometer di bahagian tenggara kawah. Limpahan lava hari ini merupakan yang terbesar berlaku," katanya. Pihak berkuasa telah memberitahu penduduk di dalam lingkungan lima kilometer kawasan gunung itu agar berpindah segera dan berkemungkinan akan meluaskan lagi zon kawasan pemindahan. - AFP




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!