Friday, January 10, 2014

Tips menggayakan seluar 'palazzo'



Tips menggayakan seluar 'palazzo' | Seluar 'palazzo' juga dikenali sebagai seluar kaki lebar. 'Palazzo' atau seluar lebar ada peminat dan ada juga yang membencinya kerana gayanya yang terlebih ciri-ciri kewanitaan. Namun, jika anda sedang mencari sesuatu yang baru untuk dicuba pada badan anda sendiri, apa kata memulakannya dengan memakai seluar 'palazzo'. 'Palazzo' merupakan satu gaya yang popular di kalangan wanita pada tahun 30-an dan 60-an di Eropah.

Si pemakai 'palazzo' berkemungkinan mudah untuk jatuh, tetapi jika digayakan dengan betul, seluar 'palazzo' boleh menjadi satu aset daripada pakaian wanita untuk meningkatkan kecantikan dan gaya mereka. Ada sesetengah wanita berkata bahawa seluar 'palazzo' tidak begitu feminine kerana saiznya yang lebar tidak akan menonjolkan bentuk kaki. Walaubagaimanapun, dengan memakai seluar 'palazzo' anda sebenarnya boleh menyembunyikan kawasan yang anda tidak mahu ditenung orang lain. Tips memakai 'palazzo'/ seluar kaki lebar:

1) Pakai palazo dengan baju berwarna kosong dan tidak terlalu longgar daripada saiz banda anda untuk kelihatan kasual.

2) Untuk si gadis cilik, anda boleh memakai kasut bertumit tinggi untuk menambahkan ketinggian anda.

3) Jika anda seorang wanita yang bertubuh kurus, anda digalakkan memakai baju berambu-ramba dan tampak lebih cantik dengan kasut yang berhujung tajam.

4) T-shirt atau 'top' yang dipakai bersama 'palazzo' mestilah tidak longgar dan kelihatan rimas apabila dipandang. Cubalah memakai baju yang muat dengan saiz anda supaya ia dapat menonjolkan keseimbangan apabila digandingkan dengan seluar kaki lebar.

5) Jika anda baru menggemari fesyen seluar 'palazzo', carilah pakaian yang cerah dan kosong untuk bergaya. Apabila anda sudah biasa, apa lagi? Cubalah bereksperimen dengannya!

6) Ingat. Pilih dan pakai 'palazzo' yang kainnya selesa di bahagian pinggul.





.

Wanita islam yang menutup muka sepenuhnya di depan khalayak ramai (burqa) akan dikenakan hukuman



Wanita islam yang menutup muka sepenuhnya di depan khalayak ramai (burqa) akan dikenakan hukuman | Mahkamah Perancis kelmarin mensabitkan seorang wanita kerana menutup muka sepenuhnya di khalayak ramai dan menolak usahanya yang mahu memastikan larangan pemakaian burqa di negara itu tidak menepati Perlembagaan. Cassandra Belin, 20, juga disabitkan bersalah menghina dan mengugut tiga anggota polis ketika ditangkap, yang mencetuskan rusuhan selama dua hari di bandar Trappes, berhampiran Paris pada Julai 2013. Beliau dikenakan hukuman sebulan penjara kerana bergaduh dengan polis dan denda 150 euro (RM667) kerana memakai penutup muka.


Cabul kebebasan 

Peguam Belin, Philippe Bataille, berkata larangan pemakaian burqa mencabul kebebasan beragama dan menyasarkan umat Islam secara tidak adil, meminta arahan kecemasan mengenai larangan itu secara berperlembagaan sebelum menjatuhkan hukuman. Namun permohonannya ditolak atas dasar Majlis Perlembagaan sebelum ini sudah mengekalkan undang-undang 2011. Bataille berkata, beliau akan mengemukakan rayuan dan berikrar untuk terus berjuang memastikan larangan itu ditarik balik.

Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah dijangka mengeluarkan arahan lewat tahun ini dalam kes yang dibawa penduduk Islam Perancis yang menegaskan larangan memakai burqa mencabul hak kebebasan beragama, kebebasan bersuara dan kebebasan berkumpul, serta melanggar larangan diskriminasi. Pengkritik berkata, jika keselamatan menjadi pertaruhan, topi keledar juga perlu diharamkan. Secara teori, larangan meliputi semua pemakaian yang menutup muka tetapi tangkapan cuma dilakukan ke atas wanita Islam yang berpakaian demikian. - AGENSI




.

Lagi kes penganiayaan haiwan di Zoo Surabaya. Kali ini lagi sadis


Lagi kes penganiayaan haiwan di Zoo Surabaya. Kali ini lagi sadis | Kisah penganiayaan haiwan di Zoo Surabaya, Indonesia terus menjadi perhatian media apabila laporan terbaharu mendedahkan seekor singa Afrika ditemukan mati tergantung dalam kandangnya. Tragedi terbaharu itu berlaku 24 jam selepas seekor gnu dilaporkan mati dipercayai akibat masalah penghadaman, walaupun pihak zoo cuba berdalih dengan mendakwa haiwan itu mati akibat cuaca basah. Dalam kejadian semalam, Jakarta Globe melaporkan, singa berusia 18 bulan itu, Michael ditemukan mati apabila kepalanya tersangkut pada kabel besi di kandangnya. Namun, bangkai singa tersebut dialihkan dan dipercayai disembunyikan oleh pihak bertanggungjawab sebelum polis sempat menjalankan siasatan.


Ketua Detektif Polis Surabaya, Komander Kanan Farman berkata, sepasukan anggota polis dikerah ke zoo itu untuk mengumpulkan bukti, namun bangkai singa tersebut didapati telah hilang. "Jika bangkai Michael ditemukan, ia akan membolehkan pihak polis menjalankan bedah siasat untuk mengetahui punca kematiannya," katanya. Dalam pada itu, jurucakap zoo, Agus Supangkat menafikan kematian Michael, yang merupakan seekor daripada empat singa Afrika yang masih tinggal di Zoo Surabaya, disebabkan kecuaian petugas zoo. Jelasnya, pihak zoo masih menyiasat bagaimana kepala singa berkenaan boleh tersangkut pada kabel besi. "Kabel itu bersambung pada pintu kandang singa dan sebagai langkah keselamatan petugas supaya tidak membuka pintu menggunakan secara manual.


"Mungkin disebabkan faktor usia, Michael yang masih muda, secara tidak sengaja tersangkut pada kabel itu ketika bermain di sangkarnya," katanya. Supangkat enggan mengulas lanjut tentang lokasi bangkai Michael disimpan, tindakan yang dipercayai mahu menggagalkan siasatan polis. Zoo Surabaya, sebelum ini mencetuskan kemarahan orang ramai, ekoran cara layanan teruk diberikan kepada haiwan-haiwan di situ dengan statistik terbaharu menunjukkan, sebanyak 43 binatang mati dalam tempoh antara Julai dan September tahun lalu. Walaupun mendapat desakan daripada pelbagai pihak, penutupan zoo itu bukan satu penyelesaian disebabkan tiada pusat pemuliharaan lain yang sanggup mengambil haiwan-haiwan yang ada di situ. - AGENSI





.

Mufti letak jawatan selepas jadi mangsa fitnah klip video lucah


Mufti letak jawatan selepas jadi mangsa fitnah klip video lucah | Pegawai Islam tertinggi Kyrgyzstan semalam dilaporkan terpaksa meletak jawatan selepas klip video memaparkan imej seperti dirinya mengadakan hubungan seks terbesar kepada umum. Berita itu turut mendorong kira-kira 60 orang berkumpul di luar pejabat Mufti Besar Kyrgyzstan, Rakhmatullah Hajji Egemberdiyev bagi mendesaknya memberi penjelasan terhadap dakwaan berkenaan. Mereka turut melaungkan kemarahan bagi mendesak Egemberdiyev meletak jawatan. Sebelum ini mufti terbabit berkata, dia mengakui lelaki dalam klip video itu adalah dirinya yang sedang berasmara dengan isteri kedua.

Ketika ini Kyrgyzstan mengharamkan amalan poligami walaupun umum percayai golongan kaya dan bangsawan sebenarnya mempunyai lebih daripada seorang isteri. Beberapa percubaan pernah dibuat untuk menghalalkan poligami di negara berkenaan tetapi belum berjaya. Bekas Presiden Kyrgyzstan, Kurmanbek Bakiyev - yang disingkirkan daripada kuasa pada 2010 juga berpoligami. Klip video itu mula tersebar di YouTube pada 1 Januari lalu dan mencetuskan kemarahan ramai. Penduduk setempat berkata, Egemberdiyev mesti melepaskan jawatannya kerana “tidak mempunyai nilai moral” lagi untuk menjadi mufti. Klip berkenaan sudah dipadamkan dari YouTube.

Egemberdiyev berkata, penyebaran klip video itu mungkin mempunyai motif politik dan didalangi pegawai kanan suruhanjaya agama di Kyrgyztan, Abdulatif Zhumabayev. “Abdulatif berniat menggantikan saya dengan tokoh lain yang sehaluan dengannya serta menguasai agensi pengurusan haji yang membuat pungutan tinggi setiap tahun,” katanya.Sementara itu sumber berkata Egemberdiyev turut disiasat kerana disyaki cuba mengelak cukai serta mengambil rasuah ketika menguruskan sistem kuota haji.

Egemberdiyev menjadi mufti Kyrgyztan pada 2012 dan tokoh keenam disingkirkan dari jawatan berkenaan dalam tempoh empat tahun. Jawatan itu diisi melalui pilihan raya. Sementara menunggu pemilihan baru pada 8 Februari ini jawatan berkenaan dipangku timbalan Egemberdiyev, Maksat Toktomushev. - Agensi





.

Ratusan kambing disuntik air kolam tercemar untuk tambah berat pada dagingnya yang kemudian dijual



Ratusan kambing disuntik air kolam tercemar untuk tambah berat pada dagingnya yang kemudian dijual | Tujuh individu ditahan selepas didakwa menyuntik ratusan kambing dengan air kolam tercemar bertujuan menambahkan berat pada dagingnya. Stesen Televisyen China (CCTV) melaporkan, mereka dipercayai menyuntik air kolam mengandungi 6 kilogram bakteria pada 100 kambing sehari. Daging itu kemudiannya dijual di pasar, gerai dan restoran di Guangzhou dan Foshan.

 “Pihak berkuasa menyerbu rumah penyembelihan haram itu dan mendapati 30 kambing mati akibat suntikan manakala 335 kambing siap sedia untuk disuntik,” menurut laporan itu kepada Daily Mail. Skandal makanan di China makin serius selepas pihak berkuasa mengenal pasti terdapat pengusaha mengitar semula air longkang bagi menghasilkan minyak masak dan terdapat campuran daging musang pada daging lembu di pasaran. -DM




.

Panggung Wayang Kartun Pertama Dibuka Kepada Orang Ramai



Panggung Wayang Kartun Pertama Dibuka Kepada Orang Ramai  | Panggung wayang khas untuk tayangan kartun yang pertama di Vietnam mula dibuka kepada orang awam pada Khamis. Panggung wayang Thanh Giong yang baru siap dibina itu dan dikendalikan oleh Vietnam Cartoon Ltd. Company, dilengkapi teknologi digital moden dengan kapasiti 150 tempat duduk. Ia turut akan menawarkan tayangan percuma kepada orang awam pada Sabtu dan Ahad selama dua minggu sebelum penonton dikenakan bayaran tiket pada harga rendah.

Tayangan pada hari biasa akan diberikan kepada sekolah-sekolah dengan kontrak borong. Pengerusi Lembaga Pengarah, Vietnam Cartoon Ltd. Company, Dang Vu Thao berkata, syarikat itu menghasilkan ratusan filem animasi beberapa tahun lalu tetapi hanya 50 dikeluarkan dalam bentuk DVD manakala selebihnya masih belum ditayangkan. -AP




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!