Lagi kes penganiayaan haiwan di Zoo Surabaya. Kali ini lagi sadis | Kisah penganiayaan haiwan di Zoo Surabaya, Indonesia terus menjadi perhatian media apabila laporan terbaharu mendedahkan seekor singa Afrika ditemukan mati tergantung dalam kandangnya. Tragedi terbaharu itu berlaku 24 jam selepas seekor gnu dilaporkan mati dipercayai akibat masalah penghadaman, walaupun pihak zoo cuba berdalih dengan mendakwa haiwan itu mati akibat cuaca basah. Dalam kejadian semalam, Jakarta Globe melaporkan, singa berusia 18 bulan itu, Michael ditemukan mati apabila kepalanya tersangkut pada kabel besi di kandangnya. Namun, bangkai singa tersebut dialihkan dan dipercayai disembunyikan oleh pihak bertanggungjawab sebelum polis sempat menjalankan siasatan.
Ketua Detektif Polis Surabaya, Komander Kanan Farman berkata, sepasukan anggota polis dikerah ke zoo itu untuk mengumpulkan bukti, namun bangkai singa tersebut didapati telah hilang. "Jika bangkai Michael ditemukan, ia akan membolehkan pihak polis menjalankan bedah siasat untuk mengetahui punca kematiannya," katanya. Dalam pada itu, jurucakap zoo, Agus Supangkat menafikan kematian Michael, yang merupakan seekor daripada empat singa Afrika yang masih tinggal di Zoo Surabaya, disebabkan kecuaian petugas zoo. Jelasnya, pihak zoo masih menyiasat bagaimana kepala singa berkenaan boleh tersangkut pada kabel besi. "Kabel itu bersambung pada pintu kandang singa dan sebagai langkah keselamatan petugas supaya tidak membuka pintu menggunakan secara manual.
"Mungkin disebabkan faktor usia, Michael yang masih muda, secara tidak sengaja tersangkut pada kabel itu ketika bermain di sangkarnya," katanya. Supangkat enggan mengulas lanjut tentang lokasi bangkai Michael disimpan, tindakan yang dipercayai mahu menggagalkan siasatan polis. Zoo Surabaya, sebelum ini mencetuskan kemarahan orang ramai, ekoran cara layanan teruk diberikan kepada haiwan-haiwan di situ dengan statistik terbaharu menunjukkan, sebanyak 43 binatang mati dalam tempoh antara Julai dan September tahun lalu. Walaupun mendapat desakan daripada pelbagai pihak, penutupan zoo itu bukan satu penyelesaian disebabkan tiada pusat pemuliharaan lain yang sanggup mengambil haiwan-haiwan yang ada di situ. - AGENSI
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment