Thursday, February 13, 2014

Sesuatu yang misteri dalam perut seorang wanita berusia 84 tahun


Sesuatu yang misteri dalam perut seorang wanita berusia 84 tahun | Doktor di sini terkejut selepas menemui bayi yang telah mengeras seperti batu di dalam perut seorang wanita berusia 84 tahun. Kali terakhir wanita terbabit hamil adalah pada 44 tahun lalu dan ketika itu dia tidak melahirkan anak kerana diberitahu janin berkenaan telah mati. Sejak itu bayi terbabit dipercayai mengeras di dalam perutnya dan menjadi Foetus. Foetus itu dikesan oleh doktor selepas melakukan imbasan x terhadap warga emas berkenaan yang mendakwa mengalami kesakitan di dalam perut. Doktor yang melakukan pemeriksaan lanjut meminta pembedahan dilakukan namun wanita terbabit enggan mengeluarkan bayi yang dikandungnya sejak 44 tahun lalu. Doktor selain itu akan turut melakukan pemeriksaan lanjut bagi mengetahui tahap pengerasan bayi itu kerana bimbang akan memberikan komplikasi kesihatan kepada wanita terbabit. -AP




.

Guru tadika percaya pelajar didera kerana kaki ada kesan dicucuh dengan pemetik api


Guru tadika percaya pelajar didera kerana kaki ada kesan dicucuh dengan pemetik api | Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dari Kampung Kubang Puyuh, Rantau Panjang, dipercayai didera ibu angkat dengan kesan luka dicucuh api pemetik api pada bahagian kaki kiri. Kejadian disedari pada jam 8 pagi, kelmarin, apabila guru tadika mangsa terlihat kesan luka tersebut sebelum mangsa memberitahu kakinya luka disebabkan api pemetik api dicucuh suspek berusia 22 tahun yang dipanggil umi. Pemeriksaan lanjut guru berkenaan ke atas tubuh kanak-kanak itu juga didapati ada kesan kecederaan lama dan parut dipercayai terkena air panas di rusuk kiri. Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, berikutan mengesyaki dia mangsa penderaan, beliau kemudian membuat laporan kepada polis sebelum kanak-kanak tersebut dirujuk ke Hospital Lati, Pasir Mas.

“Pemeriksaan awal ke atas mangsa mendapati ada luka lama dan baru di kaki serta kesan akibat terkena benda panas di perut. Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk pemeriksaan lanjut dan polis masih menunggu laporan perubatan untuk tindakan selanjutnya. “Mangsa juga seorang yang aktif dan periang serta tidak menunjukkan kesan trauma, malah, masih mencari suspek serta ingin tinggal bersama wanita itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, semalam. Beliau berkata, rakaman percakapan suspek sudah dibuat dan dia mengaku memukul mangsa, namun, tidak mencederakannya tetapi, bertujuan memberi pengajaran kepada mangsa kerana mendakwa kanak-kanak itu agak nakal.

“Suspek juga memberitahu polis, kesan parut terkena benda panas di perut mangsa pula, akibat daripada berebut air panas dengan sepupunya,” katanya. Bagaimana pun, Jalaluddin berkata, siasatan masih lagi diteruskan dan jika wujud prima facie, maka, suspek akan ditahan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001. "Mangsa adalah anak angkat kepada pasangan suri rumah dan juru kimpal itu dan ibu bapanya tidak diketahui siapa. Cuma dia dijaga dari kecil oleh abang kepada suami suspek sebelum suspek dan suami pula membela mangsa sejak 2011. "Suspek juga mempunyai seorang anak berusia 15 bulan bersama suaminya itu," katanya. -SH



P/S - Sekadar gambar hiasan




.

Gambar terkini mengenai banjir di daerah Keningau dan beberapa daerah di Sabah


Gambar terkini mengenai banjir di daerah Keningau dan beberapa daerah di Sabah | Sebanyak 28 sekolah termasuk sebuah sekolah menengah di daerah Keningau, Beaufort, Tenom, Nabawan dan Sandakan, diitutup kerana terjejas akibat banjir, hari ini. Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Jame Alip, berkata ia membabitkan seramai 5,493 murid dan 652 guru.


 Bot bomba terbalik, 17 terselamat 


Sementara itu sebuah bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang sedang memindahkan mangsa banjir di Kampung Mempikit, terbalik menyebabkan kesemua 17 orang di atasnya terjatuh ke dalam sungai dalam kejadian di Keningau, hari ini. Bagaimanapun, menurut jurucakap bomba, kesemua mereka iaitu 14 mangsa banjir dan tiga anggota bomba berjaya diselamatkan dalam kejadian 10.33 pagi itu.


 Akan tetapi seorang kanak-kanak berusia dua tahun terpaksa dikejarkan ke Hospital Keningau selepas tidak sedarkan diri akibat kejadian, katanya ketika dihubungi di sini. Beliau berkata kejadian berlaku ketika bot itu dalam perjalanan ke pusat pemindahan. Insiden dipercayai berlaku apabila mangsa banjir yang berada di atas bot itu berdiri selepas panik melihat arus Sungai Pegalan yang deras, menyebabkan bot tidak stabil lalu terbalik, katanya. Bernama difahamkan paras air Sungai Pegalan melimpah ke kawasan perkampungan sekitar, menyebabkan banjir kilat. -Bernama





.

Kemalangan ngeri di India


Kemalangan ngeri di India | Kesemua 16 penumpang jip maut selepas kenderaan dinaiki berlanggar dengan sebuah lori yang dipercayai dipandu laju di lebuh raya di timur India, semalam. Pegawai polis di ibu negeri Bengal Barat, Kalyan Mukhopadhyay berkata kepada Al Jazeera, ketika kejadian mangsa dikatakan menaiki dua jip berbeza dan sedang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis perkahwinan di Sahapur. "13 orang meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga yang lain meninggal dunia di hospital,"katanya. India merupakan negara yang terkenal dengan struktur jalan raya teruk sekali gus menjadi antara faktor utama menyumbang peningkatan kadar kemalangan di negara tersebut. -AP



.

Gambar pelakon Rabecca Nur Al-Islam yang sudah mula berhijab



Gambar pelakon Rabecca Nur Al-Islam yang sudah mula berhijab | Pelakon Rabecca Nur Al-Islam sudah pun berhijab sejak menunaikan ibadah Umrah di Mekah pada 31 Januari lalu bersama suami serta 38 ahli keluarganya yang lain. Rabecca, 28, berkata, sepanjang berada di Mekah, dia cukup selesa dengan pemakaian hijabnya sehinggalah ketika pulang ke tanah air, dia nekad mahu kekal dengan imej tersebut. "Sepanjang menunaikan Umrah, saya rasa cukup selesa dengan berhijab dan ketika pulang ke tanah air pada Isnin lalu, rasa pelik pula apabila tidak berhijab. "Kemudian saya nekad mahu kekal berhijab. Lagipun memang dari dahulu lagi saya berniat mahu menutup aurat. Alhamdulillah, Allah memberi hidayah kepada saya ketika di Mekah," katanya.


Tambah Rabecca, dia kini berasa lebih tenang selepas melakukan penghijrahan dalam hidupnya selain sudah menutup aurat. Dalam pada itu dia juga bersyukur apabila suaminya turut memberikan sokongan terhadap perubahannya dalam menjadi seorang wanita Muslim yang lebih baik. Sementara itu, ditanya pula mengenai komen-komen negatif beberapa pihak yang menyifatkan dia sengaja mahu menunjuk-nunjuk kerana memuat naik video-video dia mengaji di Mekah, Rabecca berkata, dia tidak kisah dengan kritikan tersebut


Kata Rabecca, tujuan dia memuatkan pelbagai video dia sedang mengaji kerana begitu teruja apabila dapat melakukannya di Mekah, di mana tidak semua orang berpeluang berbuat demikian."Sedikit pun saya tidak mempunyai niat mahu menunjuk-nunjuk. Perasaan saya teruja apabila dapat mengaji di Mekah di mana selama ini rutin itu hanya dilakukan di rumah. "Rasa teruja itu sama seperti kita bercuti di negara orang, itu sahaja. Bagaimanapun saya langsung tidak kisah dengan kritikan itu kerana sudah lali dengan cemuhan orang," ujarnya. -Mstar




.

Ketua Menteri Sarawak yang baru, Tan Sri Adenan Satem


Ketua Menteri Sarawak yang baru, Tan Sri Adenan Satem | Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada Rabu mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak berkuat kuasa 28 Februari dan akan digantikan oleh Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Tugas-Tugas Khas) Tan Sri Adenan Satem. Beliau berkata surat peletakan jawatannya telah diserahkan kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng hari ini. "Apabila saya memaklumkan kepada beliau (Tun Abang Muhammad Salahuddin) mengenai niat saya (untuk meletak jawatan sebagai Ketua Menteri), beliau tiada bantahan," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadap Yang Dipertua Negeri Sarawak itu di Astana Negeri.

Beliau berkata nama Adenan yang juga anggota Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dicadangkan kepada Tun Abang Muhammad Salahuddin dan beliau bersetuju dan majlis angkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baharu akan diadakan pada 28 Februari. "Adenan mewakili satu bentuk perjanjian antara tiga calon (yang disebut-sebut mengantikan Taib sebagai Ketua Menteri)," katanya. Dua lagi calon ialah Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Opengdan Naib Presiden Kanan PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. Latar Belakang Adenan Satem Bapa kepada lima orang anak ini mempunyai rekod yang cemerlang dalam politik - memenangi kesemua kerusi negeri dan parlimen yang pernah ditandinginya sejak 1979. Beliau berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Tanjung Datu dengan majoriti 4,218 undi pada pilihan raya negeri 16 Mei 2011.

Pernah menjadi Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sarawak dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Kerajaan Pusat dari Mac 2004 hingga Februari 2006. Adenan, 68, juga pernah bertugas sebagai wartawan, guru, majistret dan penasihat perundangan sebelum bertanding pada pilihan raya negeri Sarawak di kerusi Muara Tuang pada Januari 1979. Beliau yang menerima pendidikan undang-undang di Australia dan pernah menjadi naib presiden kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). Adenan kini adalah ketua penerangan PBB. Tokoh politik veteran itu pertama kali dilantik memegang jawatan dalam pentadbiran negeri sebagai Menteri Muda Pembangunan Tanah pada 1985. Dua tahun kemudian beliau dinaikkan pangkat sebagai Menteri Negeri di Kementerian yang sama.

Pada 1992 beliau berpindah ke Kementerian Pembangunan Sosial Negeri dan pada 1998, sebagai Menteri di Kementerian yang baru diwujudkan iaitu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri. Sebagai seorang pentadbir dan pengamal undang-undang, beliau pernah dilantik sebagai pendakwa raya seawal tahun 1969 di Pejabat Pendakwa Raya Adelaide dan pernah berkhidmat sebagai majistret dari 1971 hingga 1972. Adenan menjadi peguam di Mahkamah Tinggi Borneo pada 1975 dan dilantik sebagai pengerusi Yayasan Sarawak pada 1 Februari 1999 selepas Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud melepaskan jawatan itu.

Dan pelantikan Adenan selaku ketua menteri yang baru juga bakal mencatatkan satu sejarah baru untuk negeri Sarawak. Ini kerana beliau bakal menjadi etnik Melayu yang pertama yang bakal menerajui negeri itu selaku ketua menteri. Dua ketua menteri sebelum ini iaitu Tan Sri Stephen Kalong Ningkan dan Datuk Tawi Sli adalah dari etnik Iban manakala Tan Sri Abdul Taib adalah dari etnik Melanau dan begitu juga Tun Abdul Rahman Yakub iaitu bapa saudara Taib. Dengan pelantikan itu juga, adalah dijangkakan yang Adenan bakal mengambil alih jawatan presiden PBB daripada Taib. -Mstar



.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!