Showing posts with label Kami Prihatin... Show all posts
Showing posts with label Kami Prihatin... Show all posts

Sunday, February 22, 2015

Bayi perempuan maut dipatuk ular ketika tidur bersama ibunya dirumah


Bayi perempuan maut dipatuk ular ketika tidur bersama ibunya dirumah | Seorang bayi perempuan Orang Asli berusia setahun tiga bulan maut akibat dipatuk seekor ular tedung senduk ketika sedang tidur bersama ibunya di rumah di Kampung Paya Badak, Seberang Temerloh awal hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh Superintendan Zundin Mahmood berkata, dalam kejadian 8.30 pagi itu, Puteri Mia Mazila a/p Ramesh dilaporkan tidur bersama ibunya berusia 34 tahun di ruang depan rumah tanpa nombor. "Ibu mangsa tersedar sebaik sahaja mendengar anaknya menangis kuat dan melihat ada kesan lebam di kakinya dipercayai akibat dipatuk ular.


"Dalam masa yang sama ia ternampak seekor ular tedung senduk berwarna hitam sedang menjalar keluar dari rumah," kata Zundin ketika dihubungi di sini. Ibu mangsa, katanya, segera mengejar untuk menangkap ular berkenaan, tetapi gagal. Ibu itu berpatah balik ke rumah, dan terkejut bila mendapati bayinya sudah tidak bernyawa. Kejadian itu kemudian dilaporkan di Balai Polis Temerloh. - Bernama




.

Friday, February 13, 2015

Video Bapa Ikat Bayi Pada Stereng Kereta Dihentam Hebat


Video Bapa Ikat Bayi Pada Stereng Kereta Dihentam Hebat | Apa agaknya yang difikirkan oleh lelaki ini apabila dia mengikat bayi kecil yang berusia sebulan ke stereng kereta dan kemudiannya menggerakkan steering tersebut. Adakah dia fikir ia satu gurauan? Dalam rakaman video berdurasi 15 saat itu, ayah bayi berkenaan, Yong Liao, 39, dilihat memusingkan stereng dengan perasaan gembira selepas mengikat bayinya pada stereng kereta yang dipandunya.

Lebih malang ibu kepada bayi, Xia Lung sempat merakamkan aksi yang disifatkan sebagai gurauan dan kemudiannya memuat naik rakaman video tersebut ke laman sosial hingga mengundang kemarahan orang ramai. Kejadian itu berlaku ketika dia berada di stesen minyak di Miao. Selepas tindakan mereka dikritik oleh orang ramai, barulah wanita berkenaan membuang video itu dari internet. Meskipun berdepan dengan kemarahan orang ramai, namun jabatan kebajikan memaklumkan tiada tindakan akan diambil terhadap pasangan tersebut.

Ini kerana ia tidak menunjukkan bahawa ibu bapa bayi tersebut mendatangkan kecederaan kepada bayi berkenaan. “Berdasarkan video ini, tidak kelihatan berlaku penderaan kanak-kanak namun apa yang boleh dikatakan ialah ibu bapa budak ini adalah contoh buruk kepada ramai serta aktiviti berkenaan adalah bahaya,’’ kata pengarah jawatankuasa penambahbaikan kanak-kanak, Wang Wei Jun. -metro




.

Wednesday, February 11, 2015

Budak 11 tahun didakwa atas tuduhan membunuh bayi berusia 2 bulan



Budak 11 tahun didakwa atas tuduhan membunuh bayi berusia 2 bulan | Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun didakwa di sebuah mahkamah di sini atas tuduhan membunuh seorang bayi berusia dua bulan. Dia dikatakan memukul bayi itu sehingga mati semasa mangsa bermalam di rumahnya. Menurut Ketua Polis Wickliffe, Randy Ice, semasa kejadian kira-kira pukul 3 pagi Jumaat lalu, bayi malang itu, Zuri Mhitehead (gambar kecil) berada di atas sofa di tingkat bawah, manakala ibu kepada kanak-kanak itu pula dilaporkan tertidur di biliknya.

Menurut Ice, selepas ibu kepada kanak-kanak itu yang terjaga daripada tidur, dia mendapati anaknya sedang mendukung bayi itu yang mengalami kecederaan serius dan menemui kesan darah. Menyedari perkara ter­sebut, wanita itu segera menghubungi talian kecemasan sebelum bayi itu dibawa ke unit kecemasan kanak-kanak di Cleveland, namun dia disahkan telah meninggal dunia.

“Ibu kepada kanak-kanak itu bersama ibu mangsa, Trina Whitehead yang juga memiliki tiga lagi anak telah mengenali antara satu sama lain sejak lima hingga enam tahun lalu. “Mereka bagaimanapun tidak mempunyai sebarang ikatan persaudaraan,” kata Ice yang tidak mendedahkan nama kanak-kanak itu bersama nama ibunya kerana faktor usia suspek. Statistik jenayah FBI di Amerika Syarikat menunjukkan terdapat 20 kanak-kanak berusia bawah 12 tahun telah berhadapan dengan tuduhan membunuh pada 2012.

Menurut Ice, kanak-kanak itu yang sedang disoal siasat bersama ibunya tidak menunjukkan sebarang penyesalan ke atas apa yang telah dilakukan terhadap bayi tersebut dan suspek kini dalam pertimbangan untuk dirujuk kepada pakar kaunseling. “Kami sedang berhadapan dengan masalah yang sukar untuk mencari individu yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan bayi ini,” kata Ice. – AP




.

Friday, February 6, 2015

Ayah belasah anak dengan kejam hanya kerana gagal membeli dua batang rokok



Ayah belasah anak dengan kejam hanya kerana gagal membeli dua batang rokok | Kedua-dua pipinya ditumbuk, pinggangnya dipukul dengan tali pinggang dan dadanya ditendang hanya kerana gagal membeli dua batang rokok. Demikian nasib yang menimpa seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun yang menjadi mangsa belasahan dipercayai oleh bapa kandungnya sendiri yang sebelum itu menyuruhnya ke kedai membeli rokok di Taman Jujur, Sikamat, dekat sini semalam. Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, suspek yang berusia 36 tahun tidak memberikan wang kepada mangsa menyebabkan kanak-kanak itu gagal membeli rokok seperti yang diminta oleh suspek.

“Suspek kemudian menumbuk kedua-kedua pipi, memukul pinggang menggunakan tali pinggang dan menendang dada mangsa. Selepas itu, suspek menghalau mangsa lalu dia melarikan diri ke rumah pengadu,” katanya di sini hari ini. Menurutnya, suspek ditahan polis di hadapan rumahnya pada malam tadi dan kini direman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan. Kata beliau, suspek juga sering mengarahkan anak keduanya itu membeli rokok, meminta wang daripada penduduk sekitar termasuk dikerah membeli minyak motosikal.


Mangsa yang juga murid sebuah sekolah di Sendayan dekat sini kini menerima rawatan di wad kanak-kanak, Hospital Tuanku Ja'afar Seremban. Difahamkan, bapa mangsa tidak bekerja manakala isteri suspek meninggal dunia pertengahan tahun lalu. Menurut Muhamad Zaki, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum 10 tahun penjara atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Sementara itu, pengadu kes itu yang juga jiran mangsa, Razak Yusof, 52, berkata, kanak-kanak malang itu adalah anak kedua daripada tiga beradik dan abangnya berusia sembilan tahun manakala adiknya berumur tiga tahun.

Walau bagaimanapun, katanya, hanya mangsa yang dipercayai sering didera bapa kandungnya. “Semasa saya berada di rumah sekitar pukul 10.50 pagi semalam, seorang kanak-kanak lelaki muncul, sambil menangis dan memberitahu dipukul oleh bapanya. Beberapa jam kemudian saya membuat laporan polis,” katanya. Menurutnya, suspek seorang yang panas baran dan sering meminjam wang daripadanya sejak empat tahun lalu. “Dia pernah meminta bantuan saya agar menghantar tiga anaknya di bawah jagaan Pusat Dakwah Islamiah, Paroi selepas kematian isterinya. Bagaimanapun, dia mengambil semula anak-anaknya itu,” katanya. -Utusan




.

Wednesday, January 21, 2015

Mayat bayi baru lahir ditemui dalam mangkuk tandas Universiti Putra Malaysia (UPM)



Mayat bayi baru lahir ditemui dalam mangkuk tandas Universiti Putra Malaysia (UPM) | Mayat seorang bayi yang dipercayai baru dilahirkan dijumpai dalam mangkuk tandas di Blok H, Universiti Putra Malaysia (UPM), Kampus Bintulu di sini hari ini. Mayat bayi yang belum dikenal pasti jantina dan cukup sifat itu ditemukan kira-kira pukul 8 pagi Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu ketika dihubungi di sini berkata, mayat bayi malang tersebut telah berjaya dikeluarkan dari mangkuk tandas dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. - Utusan




.

Monday, January 12, 2015

Gempar! Dua janin disyaki kembar ditemui di Sandakan



Gempar! Dua janin disyaki kembar ditemui di Sandakan | Orang awam di sini panik apabila terjumpa dua janin dipercayai kembar di Kampung Air Jalan Bokara awal pagi Isnin. Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Supritendan Fadzil Mohd Ali dalam satu sidang media memberitahu kedua-dua janin ditemui oleh orang awam di lokasi berbeza dalam kampung yang sama. "Janin pertama ditemui terapung di atas air laut di bawah jambatan 5, Kampung Air Sandakan, manakala satu janin lagi ditemui di persisir pantai Jambatan Simen 1 kampung yang sama." Katanya, pihaknya menerima panggilan telefon dari orang ramai pada 9.20 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.

"Kita menganggarkan kedua-dua umur janin antara lingkungan enam hingga tujuh bulan, dan jantina keduanya adalah perempuan," katanya. Menurutnya, janin-janin itu telah dibawa ke Hospital Duchess Of Kent Sandakan untuk bedah siasat. Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini agar menyalurkannya kepada polis untuk membantu siasatan. Orang ramai boleh menghubungi terus Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan di talian 089-212222 atau 089-242222. -Awani



.

Saturday, January 3, 2015

Kejam! Bayi mati kelaparan angkara ibu dan ayah tiri



Kejam! Bayi mati kelaparan angkara ibu dan ayah tiri | Seorang bayi berumur 22 hari ditemui mati kelaparan di dalam sebuah kereta ketika ibu dan ayah tirinya sedang menikmati bufet di sebuah restoran. Ibu tersebut, Ruby, 33, dan ayah tiri kepada bayi tersebut, Roy, 48 didakwa di atas tuduhan membunuh bayi berusia 22 hari tesebut. Bayi tersebut, Betsey Kee Stephens hanya berat 1.8 kilogram ketika ditemui mati minggu lepas, kurang lebih dari sekilogram ketika dia dilahirkan.

 "Pada pendapat saya, bayi tersebut terseksa semenjak dilahirkan sehinggalah dia meninggal dunia," kata Penolong Ketua Polis Mike Link. Pegawai kesihatan mengisytiharkan Betsey maut 3 jam sebelum ibu dan ayah tirinya memanggil nombor kecemasan. Pasangan tersebut memberitahu bahawa mereka meninggalkan bayi tersebut bersama dua beradiknya di dalam kereta ketika mereka pergi makan di Golden Corral, sebuah restoran yang menghidangkan makanan ala bufet.


Mereka memanggil nombor kecemasan selepas mendapati kaki Betsey sejuk sekembalinya ke kereta, lapor mirror.co.uk. Adik beradik Betsey, berumur satu dan dua tahun berkeadaan sihat dan sedang dijaga oleh pihak kebajikan. "Kalau kamu tidak mahu anak tersebut, berikan anak tersebut kepada orang lain (untuk dijadikan anak angkat)," kata Mike. "Kamu tak perlu biarkan dia mati kelaparan," tambahnya. -AP




.

Tuesday, December 30, 2014

Ibu rela serah bayi kerana tidak mampu bagi makan



Ibu rela serah bayi kerana tidak mampu bagi makan | Seorang ibu menyerahkan bayinya berusia tiga bulan kepada orang tidak dikenalinya kerana tidak mampu memberinya makan disebabkan sudah mempunyai enam anak lain. Bayi perempuan yang hanya memakai baju serta topi nipis itu diserahkan kepada Jennifer Argo di bangunan apartmennya ketika dia kebetulan lalu di situ pada jam 7 malam Sabtu lalu. Anggota polis Phoenix James Holmes berkata, wanita berusia 39 tahun itu memberitahu Jennifer dia tidak mampu memberi makan atau pakaian untuk bayi berkenaan kerana mempunyai enam anak lain.

Sementara itu Jennifer berkata: “Saya melihat wanita itu dan terfikir ‘mesti dia tidak akan kembali ke sini’ dan nyata ramalan saya itu benar. “Saya kemudian dimaklumkan wanita itu tinggal tidak jauh dari sini. Perbuatannya menjijikkan. Saya mempunyai tiga anak dan tidak dapat membayangkan menyerahkan mereka dengan semudah itu,” katanya. -AP




.

Saturday, December 27, 2014

Demi selamatkan suami, wanita rela jual bayi perempuannya di jalan raya



Demi selamatkan suami, wanita rela jual bayi perempuannya di jalan raya | Seorang wanita cuba menjual bayi perempuannya di jalan raya dalam usaha mengumpul wang untuk membayar kos rawatan suaminya yang cedera parah. Wanita berkenaan, Ni Qiong, dilihat melutut berhampiran perhentian bas sebuah hospital di sini sambil memegang poster kecil berbunyi: "Saya ingin jual anak saya: Majikan menghilangkan diri selepas suami saya cedera ketika bekerja. Kami tidak mampu membayar kos rawatan. Saya berharap untuk menjual anak saya untuk menyelamatkan bapanya."

Orang ramai yang lalu-lalang di depannya memberinya wang. Ada juga yang memberinya makanan, tetapi Ni masih menangis sambil menggendong bayi itu di belakangnya sementara dua lagi anak perempuannya berdiri berhampiran. Suaminya, Zhou Guixing jatuh dari bangunan tiga tingkat ketika bekerja Khamis lalu. Majikannya memberikannya wang berjumlah 7,000 yuan (RM3,940) sebelum menghilangkan diri. -AP




.

Friday, December 26, 2014

Mayat bayi lelaki ditemui dalam tandas wanita di kompleks beli belah



Mayat bayi lelaki ditemui dalam tandas wanita di kompleks beli belah | Mayat bayi lelaki yang baru 36 jam dilahirkan ditemui di dalam tandas wanita kompleks membeli-belah di Kepong 3.20 petang tadi. Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, mayat itu ditemui tukang cuci yang terhidu bau busuk ketika masuk ke tandas berkenaan. "Dia kemudiannya menemui beg di hujung tandas sebelum memaklumkan kejadian kepada pengawal keselamatan.

Selepas beg dibuka ada mayat bayi di dalamnya. "Siasatan polis di tempat kejadian mendapati mayat bayi ini diletakkan di dalam beg kanvas berwarna merah hitam," katanya. Beliau berkata, pemeriksaan lanjut anggota forensik mendapati bayi berkenaan cukup sifat namun masih belum dapat dipastikan bangsanya. "Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan," katanya. -Metro




.

Thursday, December 25, 2014

Wanita panik bayi baru dilahirkan menangis, sehingga nekad tinggal bayi dimangkuk tandas


Wanita panik bayi baru dilahirkan menangis, sehingga nekad tinggal bayi dimangkuk tandas | Seorang wanita ditahan selepas didakwa membuang bayinya dalam tandas rumahnya. Polis di bandar Shenyang xiazhuang sebelum itu menerima aduan daripada penduduk sebuah apartmen yang mendengar tangisan bayi itu selama beberapa jam. Bayi itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah dan bogel dalam mangkuk tandas rumah wanita itu. Wanita terbabit ditahan setengah jam kemudian selepas pengurus apartmen membantu mengenal pasti identiti dan membantu polis menjejakinya.


Dia dikejarkan ke hospital selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri kerana kehilangan banyak darah. Wanita berusia 19 tahun itu tinggal bersama teman lelakinya di apartmen berkenaan dan merahsiakan kehamilannya kerana takut dimarahi keluarga. Kerana cemas dan tidak tahu apa hendak dilakukan, wanita itu dan teman lelakinya meninggalkan bayi di tandas berkenaan dan keluar dari apartmen itu. - Agensi




.

Monday, December 15, 2014

Lelaki ni tidak wajar dipanggil bapa...



Lelaki ni tidak wajar dipanggil bapa... | SEORANG bapa dikesan memasukkan anak lelakinya ke dalam mesin basuh serta memutar kanak-kanak itu sehingga mati. Dalam kejadian itu, suspek, Joseph, 28, didakwa telah membunuh anaknya, Koda Blocker, 4, menggunakan mesin di rumah mereka dekat Garland, Texas. Pembunuhan itu disedari apabila suspek menghubungi pasukan paramedik untuk meminta bantuan berikutan keadaan anaknya yang tidak sedarkan diri. Bagaimanapun, siasatan polis mengesan mangsa telah dibunuh dan bukan terjatuh ke dalam mesin basuh.

"Mesin basuh itu bukan jenis automatik dan pintunya juga tidak tertutup secara automatik. Oleh itu, mangsa dipercayai telah dibawa masuk ke dalam mesin basuh oleh suspek yang kemudian menghidupkan mesin berkenaan," jelas polis. Berikutan itu, polis menahan Joseph untuk siasatan lanjut. Siasatan terhadap mayat bayi itu mendapati, kematian berpunca daripada kecederaan parah akibat diputar di dalam mesin basuh.-AP




.

Friday, December 12, 2014

Penemuan mengejutkan objek berupa janin didalam tandas sebuah pasar raya..



Penemuan mengejutkan objek berupa janin didalam tandas sebuah pasar raya.. | Satu objek seakan janin ditemui di lantai tandas pasar raya di Bachang, di sini, malam kelmarin. Kejadian jam 8.30 malam itu disedari seorang pembantu jualan kedai minyak wangi Norhaslia Hafian, 19, sebelum memaklumkan kepada rakannya Fauziah Ismail, 34, untuk mengetahui sama ada objek itu janin atau sebaliknya. Mereka memberitahu perkara itu kepada pengawal keselamatan pasar raya sebelum menghubungi polis.

Menurut Norhaslia, ketika berada di dalam tandas, dia terdengar pintu tandas di sebelah kanannya dihempas kuat, namun tidak mengesyaki apa-apa. "Selepas keluar dari tandas, saya ternampak objek seakan-akan janin itu berada di lantai. Ini adalah pengalaman pertama saya berdepan dengan situasi begini menyebabkan saya panik dan tidak tahu hendak buat apa sebelum memanggil rakan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, malam kelmarin. -Metro




.

Thursday, December 11, 2014

Bayi berjaya diselamatkan selepas ibunya buang menerusi sebuah tandas sebaik dilahirkan



Bayi berjaya diselamatkan selepas ibunya buang menerusi sebuah tandas sebaik dilahirkan | Seorang bayi berjaya diselamatkan selepas dia dibuang menerusi sebuah tandas oleh ibunya sebaik dilahirkan di barat laut China. Seorang pejalan kaki mendengar tangisan bayi berkenaan dari pembetung najis di daerah Suide di wilayah Shaanxi sebelum menelefon pihak berkuasa kecemasan yang kemudian mengesan bayi itu terendam dalam air kotor dalam pembetung itu. Bayi yang dinamakan Xiaoxiao atau 'si kecil' itu hanya calar di beberapa bahagian tubuhnya dan kini dirawat di sebuah hospital sementara polis berusaha menjejaki ibunya.

"Kami terpaksa mengejar masa kerana bimbang ada orang akan mencurahkan lagi air ke dalam pembetung itu atau bayi itu mungkin tertiarap yang akan menyebabkan dia mati lemas," kata ketua skuad jabatan bomba daerah Suide, Li Zhi. Kerana tidak mahu memecahkan pembetung itu bagi mengelak bayi berkenaan cedera atau mati, Li Zhi berkata, anggotanya terpaksa menggunakan pelbagai alat untuk memudahkan Xiaoxiao dibawa ke arah lubang pembetung itu sebelum dia ditarik keluar. -AP




.

Monday, December 8, 2014

Mayat bayi perempuan ditemui di dalam tong sampah Hospital Ampang



Mayat bayi perempuan ditemui di dalam tong sampah Hospital Ampang | Mayat seorang bayi perempuan ditemui di dalam tong sampah di pintu A Hospital Ampang, Pandan Mewah kira-kira 6.30 pagi tadi. Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, bayi yang baru dilahirkan itu ditemui seorang tukang bersih hospital sebelum memaklumkan kepada pengawal keselamatan hospital. Katanya, bayi berkenaan dipercayai dilahirkan 24 jam yang lalu dan mangsa juga sudah dipotong tali pusatnya.

 "Mayat mangsa sudah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk dibedah siasat dan laporan bedah siasat mendapati bayi berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dalaman dan luaran. "Kes ini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan jika sabit kesalahan, seseorang itu boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya. -Metro




.

Friday, December 5, 2014

Ibu saksi bayi lelakinya berusia 16 bulan lemas dalam kolam selepas sejam hilang



 Ibu saksi bayi lelakinya berusia 16 bulan lemas dalam kolam selepas sejam hilang | Serian: Seorang ibu kelu dan terkejut apabila melihat bayi lelakinya berusia 16 bulan lemas dalam sebuah kolam selepas sejam dilaporkan hilang di Kampung Bayor, Balai Ringin, kelmarin. Kejadian berlaku pada jam 11.30 pagi ketika bayi terbabit Matles Marselino berseorangan bermain di belakang rumah yang turut menempatkan sebuah kolam dengan kedalaman 0.3 meter. Sumber polis berkata, kehilangan Matles disedari sejam kemudian selepas wanita itu tidak melihat kelibat bayi terbabit sebelum keluar mencari di sekitar belakang rumah.

"Ibu mangsa cuba memanggilnya, namun tiada sahutan sebelum mencari berhampiran kolam terbabit dan melihat anaknya dalam keadaan keadaan tidak sedarkan diri di dalam kolam itu. "Wanita itu cuba menggerakkan tubuh anaknya, tapi tiada tindak balas lalu memaklumkan perkara itu kepada suaminya. Bayi itu dikejarkan ke Klinik Desa Balai Ringin, namun doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia," katanya. -Metro




.

Pelajar kolej menangis dipenjara 18 bulan oleh Mahkamah kerana buang bayi lelaki oktober lalu



Pelajar kolej menangis dipenjara 18 bulan oleh Mahkamah kerana buang bayi lelaki oktober lalu | Tindakan seorang pelajar diploma pengurusan perniagaan sebuah kolej swasta mengemukakan rayuan sambil mengesat air mata berulang kali tidak membuahkan hasil apabila dia dipenjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyembunyikan kelahiran bayi lelakinya dengan membuang mayat bayi itu ke dalam tong sampah pada Oktober lalu. Tertuduh, Norhidayah Yon, 19, membuat pengakuan salah itu setelah pertuduhan ke atasnya dibacakan pada November lalu di hadapan Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan bagaimanapun hukuman terhadapnya ditangguhkan sehingga semalam sementara menunggu laporan akhlak tertuduh disiapkan untuk dikemukakan kepada mahkamah.

Mengikut pertuduhan, NorHidayah didakwa dengan sengaja menyembunyikan kelahiran seorang bayi lelaki dengan membuang mayat bayi tersebut ke dalam tong sampah secara sulit selepas melahirnnya di Blok C, PV6, Kondo Platinum Hill Park, Jalan Setapak, Wangsa Maju di sini pada pukul empat pagi, 28 Oktober lalu. Pelajar perempuan yang berasal dari Hutan Melintang, Perak itu didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ooi Chean Ling manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela. Chean Ling mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman yang sesuai dan memandai bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam selain mengambil kira masalah pembuangan bayi seperti ini amat berleluasa pada masa kini.

Terdahulu, tertuduh yang dilihat menangis di dalam kandang mahkamah memohon agar hukumannya dikurangkan atas alasan masih belajar dan mempunyai lima lagi semester untuk tamat pengajian selain sudah direman pihak polis selama sebulan di penjara Kajang. Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara dari tarikh tangkap iaitu pada 30 Oktober lalu selain menasihati tertuduh agar tidak mengulangi perbuatan yang sama di masa hadapan kerana tertuduh merupakan pesalah muda dan mempunyai masa depan yang cerah kelak.

Berdasarkan fakta kes, pihak polis menerima panggilan telefon daripada orang awam yang memberitahu salah seorang penduduk menjumpai mayat bayi di tong sampah kondominium berkenaan kira-kira pukul 11 pagi pada hari kejadian. Pihak polis kemudian membuat pemeriksaan di rumah tertuduh yang didiami bersama empat lagi rakan wanitanya sebelum membawa kelima-lima mereka ke balai polis beserta beberapa barang rampasan untuk membantu siasatan. Hasil siasatan yang dijalankan, tertuduh mengaku membuang mayat bayinya di tong sampah tingkat bawah berhampiran lif selain turut menunjukkan tempat dia melahirkan bayi tersebut. - Kosmo!




.

Sunday, November 30, 2014

23% bayi mati akibat luka tali pusat dalam tempoh sebulan


 23% bayi mati akibat luka tali pusat dalam tempoh sebulan  | Seramai 23 peratus bayi meninggal dunia dalam tempoh sebulan pertama selepas dilahirkan akibat kesilapan memotong tali pusat di Pakistan. Malah jumlah kematian itu jauh lebih tinggi di kawasan pedalaman yang kekurangan kemudahan, menyebabkan proses kelahiran dikendalikan golongan kurang berkelayakan. Pengurus program Mercy Corps Shoaib Shahzad yang mendedahkan perkara itu dalam satu seminar semalam berkata, kematian berlaku akibat kesan jangkitan kuman ketika memotong tali pusat.

“Purata kematian neonatal di Pakistan adalah yang paling teruk di Asia Selatan iaitu 55 bayi bagi setiap 1,000 orang. “Malah jumlah ini lebih teruk daripada Afghanistan yang diselebungi peperangan iaitu hanya 36 kematian neonatal daripada 1,000 bayi,” katanya dalam satu kenyataan. Menurutnya, Bangladesh dan Nepal menunjukkan rekod lebih baik dengan purata 24 kematian bagi 1,000 orang, manakala di India 31 bagi setiap 1,000.

Shoaib berkata, 75 peratus daripada bayi yang mati dalam tempoh bulan pertama kelahiran tidak mampu bertahan lebih seminggu. Jumlah kematian kanak-kanak di bawah lima tahun juga paling teruk di catatkan di Pakistan (89/1,000) manakala Sri Lanka paling kurang (12/1,000). Ia satu-satunya negara yang menunjukkan jumlah kematian kanak-kanak lebih teruk sejak 1990 berbanding negara lain di rantau berkenaan yang jauh menunjukkan peningkatan. - Agensi




.

Wednesday, November 26, 2014

Pekerja am masjid terkejut temui mayat bayi dalam almari yang dibungkus kain pelikat



Pekerja am masjid terkejut temui mayat bayi dalam almari yang dibungkus kain pelikat | Seorang pekerja am masjid yang sedang mengemas almari telekung terperanjat apabila membuka satu bungkusan kain pelikat yang berisi mayat bayi perempuan di Masjid Jamek Bandar Tangkak, lewat pagi ini. Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, pekerja am terbabit dikatakan mahu melipat telekung apabila ternampak bungkusan kain pelikat berkenaan dan memeriksanya. Pekerja terbabit segera melaporkan penemuan mayat bayi yang sudah cukup sifat itu kepada noja masjid sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Ledang Superintendan Mohd Salleh Abd Razak berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran di mana sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya. Menurutnya, polis sedang mengesan ibu bapa bayi terbabit dan individu yang bertanggungjawab termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di masjid itu. -Metro




.

Tuesday, November 25, 2014

Janin ditemui dalam tandas sekolah menengah



Janin ditemui dalam tandas sekolah menengah | Seorang remaja perempuan ditahan bagi membantu siasatan penemuan janin dalam tandas sebuah sekolah menengah di Machang Bubok, 3.30 petang tadi. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) negeri Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah mengesahkan kejadian itu. Beliau berkata, janin berkenaan ditemui seorang guru wanita yang menggunakan tandas itu sebelum melaporkan kejadian kepada pihak polis. Janin berkenaan dipercayai berusia tiga bulan dan mati akibat keguguran. "Kes ini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kami juga sudah mengambil keterangan daripada guru dan beberapa individu lain bagi membantu siasatan," katanya. -Metro



P/S - Sekadar gambar hiasan



.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!