Pelajar maut selepas jadi mangsa buli rakan sekelas | Seorang remaja Rusia maut selepas menjadi mangsa buli rakan sekelasnya yang dikatakan kurang senang dengan hasrat pelajar itu untuk membuat persembahan di atas pentas. Sergei Casper, 17, maut di dalam kelasnya selepas mengalami masalah kesukaran bernafas setelah dia terjatuh dan lehernya mengenai sebuah meja, menyebabkan saluran makanannya tersekat. Lebih menyedihkan, pembuli Casper hanya ketawa ketika melihatkan keadaannya yang sedang nazak sehinggalah kumpulan pembuli itu sedar bahawa remaja tersebut mengalami masalah yang serius.
Namun, semuanya sudah terlewat apabila pelajar malang Kolej Politeknik Nombor 8 di Jalan Dmitrov Shosse itu didapati tidak bernyawa sebelum ambulans sempat dihubungi. Tambah menyedihkan, kejadian itu berlaku di hadapan seorang guru kelas yang difahamkan langsung tidak berbuat apa-apa bagi menghalang insiden berkenaan. Satu klip video berdurasi kira-kira 50 saat yang disiarkan portal Mail Online menunjukkan Casper diikat sehingga dia tidak boleh menggerakkan kaki dan tangannya selepas kepalanya dimasukkan ke dalam mangkuk tandas sebelum itu.
Casper seorang pelajar yang terkenal dan rajin di sekolah lamanya sebelum dia memasuki kolej tersebut yang menyaksikan dia mula dibuli kerana minatnya kepada seni dan keinginannya untuk membuat persembahan dalam satu konsert. Seorang rakannya yang dikenali sebagai Alexander berkata, Casper merupakan pelajar yang baik dan tidak pernah melakukan perkara buruk kepada rakannya, namun rakan-rakan sekelas sering membulinya. Sementara itu, penyiasat yang melihat video itu menyatakan geng pembuli itu bertanggungjawab dalam kejadian tersebut, dan mendakwa siasatan berhubung kes itu masih dijalankan. Pihak kolej dalam pada itu menafikan mereka sedar berlaku masalah buli di institusi berkenaan, namun menegaskan kesemua pelajar yang terlibat dengan kes buli tersebut telah dibuang.-AP
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment