Friday, February 20, 2015

Gara gara menipu isteri dengan mendakwa dirinya diculik, lelaki berdepan hukuman penjara lima tahun


Gara gara menipu isterinya dengan mendakwa dirinya diculik, seorang lelaki Mexico berdepan hukuman penjara lima tahun selepas perbuatannya memeras ugut wanita itu dibongkar polis.Eliot Garrido Guido, 36, yang juga seorang penganggur, dengan bantuan rakannya, Carlos Amilcar Martinez Reyes, 42, menyusun komplot rancangan penculikan itu dengan memuat naik gambar dirinya dalam keadaan terikat di akaun Facebooknya. Reyes kemudian meminta isteri Guido supaya membayar seba­nyak AS$450 (RM1,624) bagi membolehkan lelaki itu yang didakwa dilarikan sejauh 1,448 kilometer dibebaskan ataupun lelaki itu akan dibunuh.

“Bila saya melihat mesej dan gambar itu, saya tidak percaya apa yang berlaku. “Penculik minta saya membayar wang tebusan atau suami saya akan diseksa dan dibunuh,’’ kata isteri Guido seperti lapor Mail Online. Pihak berkuasa Mexico percaya, Guido malu kerana isterinya mempunyai pendapatan melebihi diri­nya, apatah lagi dia kehilangan kerja tiga bulan sebelum komplot culik itu dilakukan.

Wanita itu berkata, dia yang risau kemudian menghubungi penculik yang mahukannya meninggalkan wang tebusan itu di Mexico City, sedangkan suspek mendakwa mereka berada di Playa del Carmen. “Saya yang meragui dakwaan penculik menghubungi polis,’’ katanya menambah, polis yang tiba di rumahnya kemudian berjaya mengesan kedudukan penculik. Seorang jurucakap polis berkata, polis menemukan kedua-dua suspek itu di sebuah rumah kira-kira 300 meter dari rumah wanita itu. “Mereka mengaku melakukan peras ugut dan ditahan serta merta di tempat kejadian,’’ katanya. -AP



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!