Tindakan berani seorang kakak selamatkan adik dalam kebakaran | Tindakan berani seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun membawa keluar adiknya dari rumah mereka yang terbakar menyelamatkannya dalam kejadian kebakaran di Rumah Murah Beserah di sini hari ini. Dalam kejadian kira--kira pukul 9 pagi itu, Nik Intan Nabila Nik Fauzi Izani mengangkat adiknya, Nik Khairi Aswa berusia lapan bulan yang berada di ruang tamu rumah dan keluar menyelamatkan diri selepas dia mendengar jeritan ‘api’. Kebakaran itu menyebabkan dua rumah yang didiami 11 individu dari dua keluarga musnah menyebabkan mangsa tinggal sehelai sepinggang.
Ibu kanak-kanak berkenaan, Salimah Adam, 33, berkata, kebakaran itu berlaku ketika dia dan suaminya sedang bekerja di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beserah yang terletak tidak jauh dari rumah mereka. Katanya, dia bekerja sebagai tukang cuci manakala suaminya, Nik Fauzi Izani Rahlim, 37, sebagai pengawal keselamatan di asrama sekolah tersebut. “Saya bergegas pulang selepas dimaklumkan tentang kebakaran itu dan hanya memikirkan keselamatan mereka berdua. “Saya menjerit memanggil nama mereka sebelum ada jiran memberitahu melihat Nik Intan Nabila berlari keluar dari rumah sambil mendukung adiknya,” katanya di sini hari ini. Wanita itu yang mempunyai empat anak bersyukur kerana Nik Intan Nabila dan Nik Khairi Aswa terselamat dalam kejadian berkenaan. - Utusan
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment