Saturday, October 1, 2011

Patah tangan ketika jalani terapi di hospital


Kegembiraan seorang warga emas untuk menerima kaki palsu dari sebuah hospital di negeri ini berakhir apabila wanita tersebut patah tangannya dipercayai terjatuh semasa menjalani terapi di hospital berkenaan, Selasa lalu.

S. Angayee, 81, yang berasal dari Kampung Taman Jaya, Bahau dekat sini dikatakan pergi ke hospital itu untuk menjalankan terapi sebelum menerima kaki palsu.
Anaknya, K. Shamugam, 45, mendakwa, ibunya diminta menjalani terapi secara bersendirian walaupun ia merupakan kali pertama dia menjalankan rawatan tersebut.

"Ketika sesi terapi dijalankan, ada beberapa petugas yang duduk memerhatikan pesakit, namun mereka tidak membantu ibu saya walaupun dia tidak mempunyai kaki sebelah kiri akibat dipotong setelah menghidap masalah kencing manis setahun yang lalu.
"Ibu tiba-tiba tergelincir dan jatuh sehingga menyebabkan tangan kanannya patah," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau mendakwa, pada mulanya pihak hospital telah meminta maaf atas insiden tersebut tetapi kini menafikannya dengan alasan ibu sudah tua dan kemungkinan pernah jatuh dan patah tangan sebelum ini.
"Saya menafikan dakwaan itu kerana saya tahu keadaan kesihatan ibu saya. Ibu tidak pernah mempunyai masalah dengan tangannya. Pihak hospital sudah cuai dan kini mahu menukar fakta pula," ujarnya.
Shamugam berharap pihak pentadbiran hospital itu menjalankan siasatan terperinci terhadap insiden tersebut.

"Warga emas seperti ibu saya seharusnya dijaga dengan baik dan bukan dibiarkan sendirian. Mereka sewajarnya membantu dan bukan duduk memerhatikan sahaja.
"Hari ini ibu saya menjadi mangsa, kita tidak tahu siapa mangsa seterusnya. Saya sudah membuat aduan di Balai Polis Bahau dan tidak teragak-agak mengambil tindakan mahkamah bagi membela nasib ibu saya," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zailan Adnan ketika dihubungi berkata, siasatan secara terperinci mengenai dakwaan itu akan dibuat untuk mengesahkan kes tersebut.
"Siasatan itu akan dilakukan oleh jawatankuasa khas yang mana ahli-ahlinya adalah mereka yang tidak terlibat merawat wanita tersebut," katanya.
Beliau menegaskan, sekiranya hasil siasatan itu mendapati terdapat kakitangan yang cuai sehingga menyebabkan kejadian itu berlaku, tindakan yang sewajarnya akan dikenakan terhadap mereka.







.

2 Penyokong CHELSEA:

Ce'gu JAERA on October 1, 2011 at 4:41 PM said...

kesian warga emas ini. patutnya pihak hospital mengambil berat isu ini, bukannya lepas tangan

zati embong on October 1, 2011 at 7:40 PM said...

huhu,sabar jela.g hospital nk rawat sakit,last2 dapat sakit lain plak.

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!