Inilah senarai skuad Barcelona yang akan datang ke Malaysia 10 Ogos ini | Promoter Jelajah Asia Barcelona 2013, BSC Soccer Malaysia Sdn. Bhd. mengesahkan dua bintang kelab Sepanyol itu, Lionel Messi dan Neymar bakal beraksi dalam perlawanan menentang Pilihan Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil 10 Ogos ini. Pengarah Urusannya, Effendi Jagan Abdullah berkata, dengan pengesahan itu ia menafikan khabar angin bahawa kelab Catalan itu akan tiba di Malaysia tanpa Messi dan Neymar. "Ada khabar angin mengatakan mereka tidak akan datang ke Malaysia. Dengan ini saya mengesahkan bahawa seluruh pasukan Barcelona akan beraksi di Malaysia.
Ini kerana jelajah pra-musim ini sangat penting buat mereka kerana selepas itu mereka akan beraksi dalam Piala Super," katanya dalam sidang media selepas Pelancaran Sistem Aliran Ringan (LRT) dan Bas RapidKL Khas Barcelona di sini, semalam. Selepas menentang Pilihan Malaysia juara La Liga itu akan pulang ke Sepanyol untuk beraksi dalam Piala Super bertemu Atletico Madrid pada 21 Ogos di Vincente Calderon dan 28 Ogos di Camp Nou. Perlawanan Piala Super menemukan Barcelona selaku juara La Liga dan Atletico Madrid pula penyandang juara Piala Raja Sepanyol musim lalu. "Semua pemain akan melapor diri di Barcelona pada 29 Julai ini selepas itu mereka akan berlepas ke Palestin untuk program sosial korporat (CSR) pada 3 Ogos sebelum singgah ke Thailand pada 7 Ogos," katanya.
Mengenai penjualan tiket perlawanan, Effendi berkata, setakat ini 10 ribu keping tiket telah terjual dengan yang paling laris ialah tiket kategori tiga berharga RM208 dan negara paling laris jualan tiket ialah dari Indonesia dan Brunei. "Jualan tiket perlawanan juga laris dari peminat Singapura dan Malaysia. "Peminat paling jauh yang menempah tiket adalah di kalangan rakyat Arab Saudi yang akan datang bercuti di negara ini sambil penonton perlawanan antara Barcelona dan Pilihan Malaysia. "Kami yakin momentum penjualan tiket semakin meningkat menjelang perlawanan nanti, kerana sudah menjadi trend peminat di Malaysia yang membeli tiket pada saat akhir," katanya.
Tiket perlawanan dijual pada harga RM688 (VIP percuma pas latihan), RM388 (Kategori 1 percuma pas latihan), RM288 (Kategori 2 percuma pas latihan), RM208 (Kategori 3), RM168 (Kategori 4), RM98 (Kategori 5). Semua tempat duduk adalah bebas dan pas latihan juga dijual secara berasingan bernilai RM25. Selain mendapatkan tiket secara online di www.ilassotickets.com, mereka yang ingin menyaksikan perlawanan ini boleh mendapatkan tiket di beberapa outlet seperti Rock Corner, Victoria Music Centre, T-Break Cafe, KL Live, PJ Live Arts Sdn. Bhd, Bookmark, dan Bikers Motorsport. - Utusan
.
1 Penyokong CHELSEA:
mak aihhh.. mahalnye tiket... nak kena buat kerja lebih masa la mcm ni..
Post a Comment