Kemalangan ngeri melibatkan mayat sepasang kekasih di Muar | Hajat sepasang kekasih bertunang pada hujung tahun ini tidak kesampaian selepas kedua-duanya maut digilis sebuah treler sejauh kira-kira 40 meter di Kampung Parit Buah Keras 2, Jalan Temenggong Ahmad sini malam tadi. Kejadian berlaku pukul 11.05 malam semasa pasangan itu yang menaiki motosikal jenis Honda Ex5 sedang memotong treler itu tetapi malangnya bertembung dengan beberapa motosikal dinaiki sekumpulan remaja di laluan bertentangan yang sedang merempit. Difahamkan, terdapat lima hingga tujuh buah motosikal kumpulan remaja itu yang melakukan aksi berbahaya termasuk mengangkat tayar hadapan.
Insiden itu menyebabkan kenderaan mangsa terjatuh lalu kedua-duanya, Mohd. Azamudin Ahmad, 18, dari Parit Limbung dan Wan Hs Norfatihah Wan Pauzi, 16, dari Parit Bakar digilis treler tersebut manakala beberapa remaja berkenaan terbabas dan terhumban ke dalam parit bersebelahan kebun kelapa sawit. Difahamkan, penunggang remaja yang terbabas ke tepi jalan dilarikan rakan mereka kerana cedera ringan dan yang terhumban ke dalam parit dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini kerana patah kaki. Lebih menyedihkan cebisan daging kedua-dua mangsa turut bertaburan di atas jalan dalam jarak lima meter selain ada beberapa anggota badan yang putus akibat digilis treler 28 tayar berkenaan. Kejadian dipercayai berlaku semasa Mohd. Azamudin dalam perjalanan menghantar pulang Wan Hs Norfatihah yang bekerja sebagai jurujual di Pasar Raya Econsave.
Saksi, Faiz Ali, 20, yang berada di belakang kumpulan motosikal remaja itu berkata, semasa kejadian dia sedang dalam perjalanan untuk menjemput kakaknya pulang bekerja lalu berhenti membantu penunggang motosikal yang terjatuh dalam parit. "Semasa dipapah remaja belasan tahun itu tidak dapat berjalan dan terdapat lima hingga tujuh motosikal dalam kumpulan itu. Walaupun tidak dengar hentaman kuat tetapi bunyi mangsa di lenyek begitu jelas," katanya. Pemandu treler itu, Mohd. Isa Hamid, 52, berkata, semasa kejadian dia bersama kelendannya, Musa Muhamad, 45, dalam perjalanan menghantar makanan ayam dari Pelabuhan Klang ke Semerah, Batu Pahat. "Selepas berlaku pelanggaran, saya lihat di cermin sisi motosikal mangsa terseret jauh tetapi tidak nampak penunggang serta pemboncengnya. "Kami ingatkan tiada apa-apa yang serius dan saya memberhentikan treler pada jarak kira-kira 40 meter kerana mahu melihat apa yang berlaku.
"Apabila turun, alangkah terkejutnya ternampak dua mangsa bergelimpangan dalam keadaan putus dan hancur anggota badan di atas jalan raya," katanya. Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Supritendan Sahadan Jaafar ketika dihubungi berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Dalam pada itu, bapa Mohd. Azamudin, Ahmad Semi, 50, berkata, kedua-dua jenazah selamat dikebumikan kira-kira pukul 11 pagi ini di Tanah Perkuburan Islam Masjid Parit Limbung. "Anak sulung saya sudah setahun berkenalan dengan teman wanitanya dan merancang bertunang hujung tahun ini tetapi apakan daya, tidak kesampaian," katanya yang mempunyai lima orang anak. -Utusan
.
3 Penyokong CHELSEA:
Allah...
al fatihah bt kedua2 mangsa...
My cousin....al fatihah
Post a Comment