Lihat reaksi nenek berusia 73 tahun yang tercabar dengan gelagat dan kepintaran cucu | Tercabar dengan gelagat dan kepintaran cucu bermain komputer, seorang nenek berusia 73 tahun nekad untuk mengikuti kelas komputer, bagi memastikan dirinya seiring perkembangan teknologi. Pesara guru, Khadijah Awang berkata, dia mengambil keputusan untuk mengikuti kelas komputer setelah lama memendam rasa kerana mengakui, kemahiran komputer akan memudahkannya melakukan urusan kerja. Ketua Wanita Umno Bahagian Kuala Nerus dan bekas senator ini berkata, kemahiran komputer akan memudahkannya mencari sebarang maklumat di internet. “Saya langsung tidak tahu komputer, apatah lagi teknologi sekarang yang semakin canggih, sedangkan anak dan cucu sangat mahir menggunakannya. Jadi daripada saya terlalu bergantung kepada mereka, lebih baik jika saya mahir memanfaatkan teknologi.
“Zaman sekarang, budak-budak kecil pun tahu macam mana nak guna, kita pun kalau boleh nak belajar juga, apabila persatuan adakan kursus macam ini walaupun dua hari, saya cuba mengambil peluang ini,” kata nenek 35 cucu ini. Khadijah berkata demikian ketika mengikuti Kursus Celik IT Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Terengganu Siri I/2013 yang diadakan di Pusat ICT Negeri Terengganu, di sini. Bagi pesara polis, Mansor Endut, 70, pengalaman berada di hadapan komputer amat menggentarkannya. “Di rumah ada komputer, anak punya tapi pakcik tak berani sentuh takut rosak, maklum tak pernah guna. Pakcik tak tahu langsung nak guna komputer, dari dulu masa kerja sehinggalah pencen pada 1999, komputer tidak ada lagi (di rumah). “Sehingga sekarang pun, pakcik tak tahu macam mana hendak guna, hendak buka komputer pun tak tahu. Tapi sebab minat nak belajar, saya ikuti juga kelas ini,” katanya.
Seorang lagi pesara polis, Yusof Omar, 72, dan isteri, Rabiah Abdul Rahman, 65, dari Kampung Ladang Titian berkata, keputusan untuk menyertai kursus itu amat mengejutkan anak-anak, tetapi akhirnya mereka memberi sokongan sepenuhnya. “Sesiapa pun terkejut apabila di usia emas macam kami, masih nak belajar komputer, tetapi saya anggap bidang IT sangat penting pada zaman sekarang sehinggakan cucu berumur tiga tahun pun sudah pandai guna komputer. “Saya hairan macam mana budak kecil boleh belajar, sedangkan kita (warga emas) tidak tahu langsung, dan ini menguatkan lagi semangat saya dan isteri untuk mendalami ilmu IT,” katanya. Dalam pada itu, Yang Dipertua Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Terengganu, Datuk Syed Abu Bakar Abdullah berharap, pesara kerajaan dapat menggunakan peluang yang disediakan itu sebaik mungkin. Kursus dua hari yang pertama kali diadakan kepada pesara kerajaan itu dihadiri hampir 30 orang ahlinya. -SH
.
1 Penyokong CHELSEA:
nenek cyber ni
Post a Comment