Wednesday, October 23, 2013

Kisah Allahyarham Noreen Noor sebelum meninggal dunia



Kisah Allahyarham Noreen Noor sebelum meninggal dunia | Pelakon, penyanyi popular era 1980-an, Noreen Noor meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang, jantung “Ibu pandu kereta ke hospital kira-kira jam 10 pagi. Saya tidak sangka ibu mampu memandu dalam keadaan dirinya yang sakit,” kata Daniel Baharuddin, 22, anak penyanyi dan pelakon, Allahyarham Noreen Noor yang meninggal dunia di Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang, akibat komplikasi buah pinggang dan jantung, kira-kira jam 5.50 pagi semalam. Daniel berkata, ketika diserang sakit, ibunya hanya ditemani adik angkat, Diyana Tihani Abdullah, 11, di rumah. “Saya tidak berada di rumah ketika kejadian. Ibu pandu sendiri kereta ke hospital. Saya hanya mendapat tahu apabila dihubungi pihak hospital pada sebelah petang.

“Ibu kemudian dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada jam 12 tengah malam kelmarin kerana difahamkan keadaan kesihatannya bertambah teruk,” katanya yang ditemui selepas upacara pengebumian Allahyarham Noreen di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulai, Serkam, dekat Jasin, semalam. Daniel yang bersedih dengan pemergian ibu tercinta tanpa disangka, memberitahu sempat menjaga Allahyarham sepanjang malam. “Saya berada di hospital sepanjang malam sehingga ibu menghembuskan nafas terakhir," katanya. Allahyarham Noreen atau nama sebenarnya, Noraini Mohd Nor, 54 meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang dan jantung, kira-kira 5.50 pagi semalam.

Jenazahnya disembahyangkan di Masjid Ar-Rahman Kampung Pulai sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Pulai, Serkam, pada jam 1.40 tengah hari semalam. Antara rakan artis yang hadir pada majlis pengebumian Allahyarham ialah komposer Eddie Hamid, Norshila Amin, Siti Fairuz dan Azizul Khamis.


Ambil berat keluarga, suka bantu orang susah 

Abang sulung Allahyarham, Rosli, 56, berkata, pemergian Allahyarham amat dirasai kerana dia sering mengambil berat masalah keluarga, terutama ketika ibu bapa mereka sakit, beberapa tahun lalu. "Saya mendapat tahu mengenai kematian Noreen jam 6 pagi tadi (semalam). Sejurus itu, saya memutuskan untuk mengebumikan jenazah di Kampung Pulai selepas solat zohor. "Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan jenazah adik saya," katanya.

Seorang penduduk Kampung Pulai, Ibrahim Jebah, 66, berkata, Allahyarham seorang yang periang, suka bergurau dan gemar membantu orang susah. "Sepanjang hidupnya, Allahyarham banyak membantu orang kampung yang miskin dan sakit. Setiap kali pulang ke kampung, ada saja duit ditinggalkan kepada saya untuk diagihkan kepada golongan berkenaan. “Kami terhutang budi dengan Allahyarham. Semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya," katanya. -BH




.

5 Penyokong CHELSEA:

Unknown on October 23, 2013 at 10:31 AM said...

Moga arwah dicucuri rahmat..amin..

Entry Terbaru : My Baby Girl

Unknown on October 23, 2013 at 10:44 AM said...

Al-fatihah. moga arwah ditempatkan di kalangan org2 yg dikasihi oleh Nya..amin

mselim3 on October 23, 2013 at 11:14 AM said...

Assalammualaikum...lulu,

Al-fatihah buat arwah... moga di tempatkan dikalangan orang-orang yang beriman..

mselim3

Abam Kie on October 25, 2013 at 12:30 PM said...

Al-Fatihah..saya suka melihat lakonan arwah masa thn 80an dulu..

KamilSalleh on October 30, 2013 at 7:47 AM said...

Takziah buat semua keluarga arwah...Al-Fatihah buat arwah Noreen Noor. Semoga roh beliau dicucuri rahmat.

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!