Monday, October 7, 2013

Terkini : Kemalangan parah membabitkan bas ekspres yang membawa 17 penumpang


Terkini : Kemalangan parah membabitkan bas ekspres yang membawa 17 penumpang | Seorang pemandu bas ekspres maut selepas kenderaan membawa 17 penumpang itu terbabas lalu merempuh sebuah papan tanda di Kilometer 21, Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dekat sini awal pagi ini. Dalam nahas pukul 2 pagi itu, mangsa, Ibrahim Ahmad, 58, sedang memandu dari Singapura ke Pulau Pinang sebelum hilang kawalan setibanya di lokasi kejadian dan merempuh penghadang jalan. Bas itu kemudian terbabas ke bahu jalan sebelum melanggar dua tiang konkrit papan tanda di situ mengakibatkan kenderaan tersebut remuk di bahagian hadapan, manakala mangsa pula tersepit di tempat duduk.

Berikutan itu juga, dua penumpang iaitu Loh Ah Yuen, 51, mengalami kecederaan di kepala dan seorang warga Amerika Syarikat (AS) Ronald Morris, patah kaki kiri serta kecederaan di perut manakala yang lain cedera ringan. Mangsa dihantar ke Hospital Putrajaya, Hospital Serdang dan Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan. Sementara itu, Ronald Morris ketika ditemui di Hospital Serdang berkata, dia bernasib baik kerana telah menukar tempat duduk asalnya iaitu dari hadapan ke belakang ketika perjalanan baru dimulakan di Singapura untuk berehat. "Saya minta kebenaran dengan pemandu bas terlebih dahulu dan ternyata keputusan ini adalah tepat. Jika tidak kecederaan saya mungkin lagi teruk apabila melihatkan keadaan bas itu," katanya yang pertama kali melancong seorang diri ke negara ini.

Ronald Morris memberitahu, kejadian tersebut juga adalah kali pertama menimpanya walaupun telah melancong di banyak negara Asia termasuk Korea dan Jepun. Dalam pada itu, adik Ibrahim, Yunus, 46, tidak menyangka abangnya terlibat kemalangan kerana sudah berpengalaman memandu bas lebih 10 tahun. "Dia kalau memandu sangat berhati-hati sampai saya dan adik-beradik lain bising kerana terlalu perlahan. Dia juga tidak mempunyai penyakit kronik seperti sakit jantung," katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Serdang di sini. Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritendan Nordin Manan berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan kes berkenaan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987. "Pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) juga akan menyiasat kes ini, manakala Kedutaan Amerika Syarikat telah dimaklumkan tentang salah seorang warga asing yang terlibat dalam kemalangan ini," katanya. -Utusan




.

1 Penyokong CHELSEA:

mselim3 on October 7, 2013 at 9:42 AM said...

Assalammualaikum.. lulu,

banyak nyer kemalangan sekarang nie.

mselim3

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!