Antara usaha hebat bagi membantu mangsa Taufan Haiyan | Kebolehan luar biasa Ainan Celeste Cawley dalam bidang muzik, memberi manfaat besar apabila lagu ciptannnya berjudul 'Renaissance', dipilih menghiasi album amal untuk membantu mangsa taufan Haiyan. Berdarah kacukan Ireland-Singapura/Melayu, Ainan, 14, diundang menjayakan penghasilan album bertajuk 'Composers for Relief' bagi membantu mangsa bencana alam dahsyat yang melanda Filipina itu. Lebih 30 penggubah lagu berbakat luar biasa dari 16 negara berpadu tenaga dalam penghasilan album itu. Bercakap kepada Bernama, Ainan berkata dia mengambil masa tidak sampai setengah jam untuk menghasilkan 'Renaissance' dan ciptaan itu lahir daripada fikiran serta perasaannya.
Kata Ainan, lagu ciptaannya menggabungkan idea tentang kelahiran dan pertumbuhan semula. "Ia mencerminkan kehebatan muzik. Irama lagu ini bermula dengan rentak perlahan dan santai, sebelum beralih ke rentak lebih bertenaga. Bagi saya, ia melambangkan keadaan yang perlu dilalui penduduk Filipina - tempoh pemulihan secara perlahan, disusuli kelahiran semula dengan penuh bertenaga," kata Ainan. Menurut pemuzik istimewa ini, dia menghasilkan muzik setiap masa, termasuk ketika dikelilingi orang ramai.
"Saya sentiasa melagukan irama kepada diri sendiri...kemudian, saya akan duduk dan memainkankannya dengan piano untuk mengembangkan idea asal saya itu," katanya. Laporan sebelum ini menyebut Ainan mula bermain piano ketika berusia 12 tahun dan mengejutkan para hadirin apabila mempersembahkan sebuah lagu ciptaan Beethoven. Kemudian, dia mencipta sebuah lagu latar untuk filem pendek Malaysia bertajuk 'Reflection', yang ditayang di Festival Filem Antarabangsa Vilnius awal tahun ini. Composers for Relief diterbitkan secara dalam talian pada 12 Disember. -Bernama
.
1 Penyokong CHELSEA:
Hi, saya blogwalking kat sini, jemput datang ke blog saya http://ibu2ahmad.blogspot.com. Saya follow sini n kalau sudi follow la saya balik yer...
Post a Comment