Kanak-Kanak 18 Bulan Dicampak Dari Tingkat 25 | Satu rakaman memaparkan seorang pelajar perempuan menyerang seorang kanak-kanak lelaki di dalam lif dan mencampakkannya ke bawah dari beranda di tingkat 25 memeranjatkan seluruh negara. Rakaman video pengawasan itu yang menunjukkan pelajar perempuan terbabit memukul dengan kejam kanak-kanak berkenaan selepas menghempas dan menendangnya beberapa kali di dalam lif tersebar luas dalam laman sosial mirip Twitter China, Sina Weibo, mencetuskan perdebatan hangat melibatkan lebih 310,000 perbincangan dalam mikroblog. Portal berita dalam talian BjNews melaporkan insiden itu berlaku pada 25 Nov di bandaraya Chongqing, barat daya China, apabila nenek kanak-kanak lelaki berusia 18 bulan itu yang digelar 'Yuanyuan' keluar dari lif dengan membawa basikal cucunya, pintu lif tertutup dan meninggalkan Yuanyuan bersama pelajar perempuan berumur 10 tahun itu.
Rakaman itu menunjukkan selepas menyerang anak kecil itu dengan kejam, lif tiba di tingkat 25, pelajar perempuan mengangkat Yuanyuan dan mencampakkannya keluar. Setelah mendapati lif berhenti di tingkat 25, si nenek yang amat bimbang berkata dia segera bergegas ke tingkat berkenaan dan berjumpa pelajar perempuan itu. Bagaimanapun, pelajar itu berkata dia tidak nampak kanak-kanak itu dan mendakwa seseorang telah membawanya pergi, tetapi tidak ingat sama ada wanita atau lelaki yang membawanya, kata nenek dan menambah pelajar itu malah menawarkan diri untuk mencari cucunya.
"Dalam masa lima minit, Yuanyuan terbaring berlumuran darah di atas tanah di luar bangunan," kata nenek itu. Kanak-kanak itu dilaporkan mengalami pendarahan paru-paru dan retak tempurung kepala. Keadaannya stabil dan diletakkan di bawah pemerhatian dalam unit rawatan rapi di sebuah hospital. Polis berkata kes itu masih disiasat. Sungguhpun menerima 58,000 yuan (US$9,464) daripada keluarga pelajar perempuan itu, ibu mangsa berkata pada Rabu dia akan memfailkan saman terhadap keluarga pelajar berkenaan. - BERNAMA
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment