Kandungan gugur disebabkan kecuaian pakar perbidanan | Seorang wanita menerima pampasan lumayan selepas mahkamah menganugerahi pampasan kerana kecuaian pakar perbidanan menyebabkan kandungannya gugur akibat ditimpa botol air mineral. Joanna Budzikowska, 28, mendapatkan rawatan pakar selepas mendapati bayinya tidak bergerak-gerak apabila dia secara tidak sengaja menjatuhkan sebotol air mineral di perutnya pada 31 Ogos 2011. Bidan pelatih yang memeriksa Joanna di Hospital St Michael’s, Bristol, merekodkan kandungannya selamat dan aktif. Bagaimanapun dua minggu kemudian Joanna mengalami sakit perut sebelum dimaklumkan bayi itu sudah meninggal dunia.
Mahkamah Tinggi London dimaklumkan bayi itu mungkin dapat diselamatkan jika tindakan awal diambil untuk merawatnya. Sehubungan itu, Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan yang menyediakan khidmat perbidanan di hospital berkenaan mengakui bertanggungjawab atas kejadian itu bersetuju membayar sejumlah pampasan yang tidak didedahkan namun dianggar berjumlah £100,000 (RM528,000).
Peguam Joanna, Andrew Bowman berkata anak guamnya mengalami trauma akibat kejadian itu malah terpaksa melalui kesakitan selama 20 jam untuk melahirkan anaknya yang sudah mati. Malah, katanya, wanita itu masih menerima rawatan psikologi disebabkan kejadian itu. “Pampasan dipersetujui di Mahkamah Tinggi menggambarkan keperitan dilalui mangsa akibat kejadian itu, selain dapat digunakan untuk rawatan psikologi yang masih diberi kepadanya,” katanya. - Agensi
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment