Rita Rudaini dikatakan buat tuntutan melampau terhadap bekas suaminya, Aidil Zafuan | Pemain bola sepak kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abd. Razak memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini yang pendapatannya RM10,000 sebulan dan tuntutan nafkah anak RM5,392 oleh pelakon Rita Rudaini terhadapnya adalah melampau. Mohamad Aidil, 26, berkata, dia tidak bersetuju dengan jumlah yang diminta oleh bekas isterinya itu kerana melampaui keperluan sebenar dua anaknya dan dia telah menyediakan nafkah mengikut keperluan mereka dan kemampuannya. Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar, 37, selaku pihak plaintif menuntut RM5,392 sebulan untuk nafkah dua anaknya, Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 2, merangkumi perbelanjaan makan minum, pengasuh dan lampin pakai buang.
Mohamad Aidil yang juga pemain pasukan Johor Darul Takzim mendakwa, dia telah memperuntukkan antara RM2,000 dan RM3,000 sebulan untuk plaintif dan anak-anak serta RM4,000 setiap kali musim perayaan. "Saya tidak menentukan jumlah nafkah untuk mereka, jika ada lebih saya akan bagi lebih," katanya. Menurut beliau, selain nafkah anak-anak, dia juga perlu menanggung ibu bapa serta hutang peribadi seperti kereta dan motosikal yang digunakan untuk pergi bekerja. Mohamad Aidil yang dinamakan sebagai defendan turut menafikan dakwaan yang dia cuai serta gagal menyediakan nafkah untuk plaintif dan dua anak lelaki mereka. Menurutnya, sepanjang tempoh anak-anaknya tinggal bersama Rita sejak Januari 2012, dia memasukkan wang melalui akaun bank milik pelakon itu pada setiap bulan.
"Saya telah mengirimkan nafkah untuk anak-anak saya sejak mula tinggal berasingan dengan plaintif. "Pada awalnya saya ada mengirimkan cek berjumlah RM3,000 yang dikirim secara pos berdaftar di alamat tempat tinggal plaintif di Kota Damansara, Petaling Jaya namun cek itu tidak dituntut dan dikembalikan," katanya. Selepas mendapat nombor akaun bank Rita, Mohamad Aidil berkata, dia memasukkan duit nafkah ke dalam akaun tersebut. Berhubung tuntutan plaintif berkaitan 18 kotak susu yang didakwa digunakan oleh dua anak lelakinya, Mohamad Aidil tidak bersetuju dengan perkara tersebut. "Saya percaya jumlah itu tidak logik kerana anak-anak saya sudah pandai makan dan tidak hanya bergantung kepada susu semata-mata. "Saya juga percaya jumlah RM792 untuk susu sahaja adalah di luar keperluan anak-anak saya dan kos itu tidak selari dengan resit yang dilampirkan plaintif," ujarnya.
Selain itu, Mohamad Aidil mendakwa, Rita sering menafikan haknya sebagai bapa untuk melawat dan berjumpa dengan anak-anaknya. Mohamad Aidil berkata demikian menerusi afidavit bertulisnya yang dikemukakan dalam perbicaraan kes tuntutan nafkah dua anaknya yang didengar di hadapan Hakim Syarie Abd. Halim Abu Samah. Afidavit itu diserahkan kepada mahkamah oleh peguam syarie, Roshdan Sujak Rafie yang mewakili pemain bola sepak itu. Mohamad Aidil turut mengemukakan resit-resit pembayaran nafkah menerusi bank kepada mahkamah untuk ditandakan sebagai bukti.
Selain memberi wang, menurut defendan, dia telah membuka akaun Bijak Malaysia dan akaun Tabung Haji bagi kedua-dua anaknya itu. Defendan juga memberitahu, dia turut menyediakan insurans untuk anak-anaknya serta keperluan asas seperti susu dan lampin pakai buang jika berkesempatan berjumpa mereka. Mohamad Aidil hadir ke mahkamah ditemani adik kembarnya, Zaquan Adha manakala Rita yang diwakili peguam syarie Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain hadir bersama tiga rakannya. Mahkamah menetapkan 16 Januari tahun depan untuk Mohd. Zaidi menyoal balas keterangan defendan. -Utusan
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment