Wednesday, February 5, 2014

Cerita dan gambar terkini penyanyi Mawi



Cerita dan gambar terkini penyanyi Mawi | Lima tahun melayari bahtera rumah tangga bersama Nora’ Asikin Rahmat atau Ekin, 34, nyata membahagiakan Mawi. Apatah lagi, hasil perkongsian hidup itu mereka kini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Cahaya Malaika yang kini berusia dua tahun. Masih aktif dalam nyanyian yang diceburi sembilan tahun lalu, Mawi atau Asmawi Ani, 32, mengakui namanya sudah tidak sehebat dulu. Namun, penyanyi yang pernah mencetuskan fenomena ‘tsumawi’ itu akui lebih selesa 'low profile' sekarang. Mawi ketika ditemui berkata, semua yang pernah dilaluinya dulu memberi banyak pengalaman, malah dia jika boleh tidak mahu lagi melalui kehidupan seperti itu yang nyata amat menyesakkan dada. “Sekarang saya lebih tenang. Tidak lagi terlalu menjadi tumpuan masyarakat macam dulu. Saya sedar populariti sangat penting bagi seseorang artis, namun cukuplah dengan apa yang pernah saya alami itu.

“Kini, populariti bukan lagi keutamaan saya. Sekadar peminat masih kenal dan ingat siapa Mawi, itu sudah memadai. Jadi, saya tidak pernah kesal dengan apa yang dilalui dulu dan sekarang kerana pengalaman mematangkan diri. “Apa yang pasti, kini saya bahagia dalam kehidupan berkeluarga. Anak semakin membesar dan saya pula bersama Ekin sekarang sibuk dengan urusan perniagaan produk kesihatan kami di bawah label sendiri, UnieQuein,” katanya. Menurut Mawi, perniagaan diceburi adalah satu daripada pelaburan sebagai jaminan masa depannya dan keluarga. Katanya, dia sudah tidak lagi laris seperti dulu dan perniagaan adalah cabang rezeki paling sesuai diusahakan. “Ditambah lagi, Ekin juga memang minat berniaga. Jadi, kami berdua saling bekerjasama melontarkan idea apa yang terbaik untuk terus mengukuhkan perniagaan dibina. Kini, nampaknya segala usaha kami membuahkan hasil. “Agak selesa jugalah sekarang. Namun, apa yang pasti dalam perniagaan ini tidak boleh leka. Justeru, usaha perlu ditingkatkan pada setiap masa,” katanya mengakui ada juga berasa rindu pada kenangan zaman popular dulu.

Mengulas mengenai langkahnya untuk mengulangi populariti lalu, Mawi berkata, sekarang dia sudah gembira jika dapat muncul dengan single. Kata Mawi, sekurang-kurangnya dengan single itu maka peminat tahu dia masih aktif. “Keadaan pasaran muzik yang tidak menentu sekarang membuatkan saya perlu berhati-hati. Jadi, langkah yang saya ambil adalah merakamkan lagu berunsur kerohanian seperti Al Haq bergandingan bersama Datuk AC Mizal. “Syukur ke hadrat Ilahi kerana Al Haq cukup diterima baik pendengar muzik tempatan. Justeru, maklum balas menggalakkan diterima itu membuatkan saya bersemangat untuk mendapatkan lagu lebih baik untuk dirakamkan,” katanya.


Belum terfikir tambah anak 

Teruja berkongsi pengalamannya sebagai bapa, Mawi berkata, kehidupannya sudah lengkap.
Kehadiran anak walaupun seorang sudah cukup membahagiakan. Kini, Cahaya Malaika adalah permata penting dalam hidup Mawi dan Ekin. Melihatkan perkembangan pembesaran Cahaya yang bersikap periang, manja dan aktif membuatkan Mawi dan isteri tidak lagi berasa kekosongan. Katanya, banyak perubahan berlaku dalam hidup mereka suami isteri selepas kehadiran Cahaya. “Sekarang, saya dan Ekin semakin bersemangat mencari rezeki demi keselesaan Cahaya. Apatah lagi, Cahaya ini kanak-kanak yang cergas dan tak boleh duduk diam. Ada saja benda yang dibuat dan dia juga ramah. “Cahaya pun senang nak jaga sebab dia tak banyak ragam. Bagaimanapun, dia cepat cemburu sekiranya saya dan Ekin cuba memberi perhatian pada kanak-kanak lain. Barangkali, sudah terbiasa seorang, jadi dia tak selesa. “Apapun, buat masa ini hanya Cahaya yang menjadi fokus dan keutamaan kami. Dialah cinta hati saya dan Ekin. Kalau berjauhan pun, tak boleh lama-lama kerana saya akan merinduinya,” katanya tidak mahu tergesa-gesa menambah zuriat.

Menurut Mawi, anaknya masih kecil untuk ada adik. Jadi, biar sekarang Cahaya berasakan kasih sayang sepenuhnya daripada mereka berdua. Katanya, apabila tiba masa sesuai dan perniagaan semakin stabil, baru boleh difikirkan. Mengulas pembabitannya pada majlis anugerah, Mawi berkata, dia sentiasa bersedia memberi kerjasama untuk menghiburkan penonton dan tidak kisah sama ada nama dicalon atau tidak. “Saya tetap gembira dan teruja sekiranya nama masih dicalonkan. Bagaimanapun, semua itu bergantung kepada peminat kerana mereka yang berhak membuat pilihan. Lagi pun sekarang ini ramai artis baru berbakat yang muncul. “Oleh itu, biar peminat saja menentukan apa yang mereka suka. Sebagai artis, saya perlu melakukan kerja dengan memberikan hiburan terbaik untuk mereka. Pada saya, menang dan kalah juga adalah adat bertanding,” katanya. Menurut bintang yang pernah dihambat kontroversi ini lagi, peminat sekarang sudah lebih bersikap terbuka. -HM




.

3 Penyokong CHELSEA:

maszull on February 5, 2014 at 3:29 PM said...

assalamualaikum lulu...sekejap jer masa dah berlalu...anak mawi pun dah besar skg ni...;)

Unknown on February 5, 2014 at 4:46 PM said...

anak dia pun comel

Liniey Nor on February 5, 2014 at 6:27 PM said...

eh biar betik..dh besau dh ank dy

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!