Kakitangan Poslaju terbunuh dalam satu kemalangan tragis | Dua kakitangan Pos Malaysia maut dalam keadaan tragis apabila lori Poslaju yang dinaiki mereka terbakar selepas merempuh sebuah treler di Kilometer 251.9, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, dekat sini hari ini. Dalam kemalangan kira-kira pukul 4.15 pagi itu, Mohd. Sharimi Mohd. Saad, 30, yang merupakan pemandu lori Poslaju berkenaan dan kelindannya, Hasmadi Safar, 37, terbunuh di tempat kejadian. Lebih mengerikan, mayat Mohd. Sharimi rentung 100 peratus berikutan mangsa tersepit dalam lori tersebut, manakala mayat Hasmadi yang berjaya dikeluarkan terbakar hampir 50 peratus. Menurut jurucakap polis, kejadian berlaku apabila sebuah treler membawa muatan plastik melanggar sebuah lori yang membawa muatan baja di lebuh raya berkenaan dari arah selatan menuju ke utara.
"Pelanggaran itu mengakibatkan lori treler tersebut terbabas ke arah bertentangan sebelum terbalik dan dirempuh pula oleh lori Poslaju yang dalam perjalanan dari utara menuju ke selatan. "Lori Poslaju tersebut terbakar dan pemandu serta kelindannya maut," katanya di sini hari ini. Tambah jurucakap itu lagi, pemandu lori treler terbabit, Mohd. Faiz Mesenan, 25, hanya cedera ringan. "Namun, pemandu lori muatan baja, Razak Baba, 42, dan kelindannya Shahrom Osman, 42, cedera parah dalam kemalangan ini. "Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) dan mayat mangsa juga dibawa ke hospital sama untuk dibedah siasat," katanya.
Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Balai Seremban, Timbalan Penguasa Bomba, Mohd. Azlee Mohd. Arus memberitahu, pihaknya berjaya mengeluarkan kelindan lori Poslaju itu, namun gagal mengeluarkan pemandunya yang tersepit dalam kebakaran. "Seramai 39 anggota dari tiga balai bomba dikejarkan ke lokasi kejadian," katanya. Kejadian tersebut mengakibatkan kesesakan hampir lima kilometer berikutan laluan lebuh raya berkenaan terpaksa ditutup bagi menjalankan kerja mengalih kenderaan dan pembersihan. -Utusan
.
1 Penyokong CHELSEA:
Kasihannya dia. Tak pasal2 jadi cmtu.
Post a Comment