Susulan kes kejadian cubaan culik dan rompak pelajar Malaysia di Universiti Padjajaran, Bandung | Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia terus memantau perkembangan siasatan kejadian cubaan culik dan rompak membabitkan seorang pelajar perempuan Malaysia di Universiti Padjajaran (Unpad) di Bandung, Jawa Barat, Jumaat lalu. Pejabat Kedutaan Besar di sini turut bekerjasama dengan pihak pengurusan universiti tersebut serta pihak polis bagi memastikan jaminan keadilan diperoleh pelajar Malaysia itu. Sebaik sahaja menerima laporan kes yang melibatkan pelajar tersebut Sabtu lalu, para pegawai Kedutaan Besar Malaysia bergegas ke Bandung untuk mendapatkan laporan daripada pihak berkuasa serta membantu pelajar terbabit dan keluarganya yang datang dari Malaysia.
Pada masa sama, satu pertemuan antara Duta Besar Malaysia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dengan pihak pengurusan Unpad sedang diatur dalam waktu terdekat bagi mendapatkan jaminan mengenai keselamatan pelajar-pelajar Malaysia yang sedang menuntut di universiti itu. Pertemuan itu kelak bagi memastikan keselamatan pelajar-pelajar Malaysia yang lain terjamin. Kita mahu pihak universiti memberi perhatian kepada aspek keselamatan kerana lebih 700 pelajar Malaysia sedang mengikut pengajian di universiti itu pada masa ini," kata pejabat Kedutaan Besar Malaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini. Ketika ini, pelajar tersebut sudah dibawa pulang oleh keluarganya ke tanah air dan pihak kedutaan akan terus berhubung dengan pihak berkuasa bagi mendapatkan laporan siasatan kes jenayah itu.
Sementara itu, polis daerah Jawa Barat akan mengadakan siasatan terperinci kes yang melibatkan pelajar Malaysia itu. Ketua Polis Jawa Barat, Mochamad Iriawan yang kesal dengan kejadian tidak bertanggungjawab itu menegaskan, pihaknya akan terus menjejaki suspek terbabit. Menurut beliau, kejadian yang menimpa pelajar Malaysia itu merupakan tindakan yang melampau dan tidak berperikemanusiaan apa lagi yang menjadi mangsa merupakan warganegara asing yang sedang menuntut ilmu di daerah berkenaan.
"Ini keterlaluan. Memalukan nama Jawa Barat. Kalau kejadian ini (jenayah) terus berlaku mahasiswa (asing) tidak mahu ke sini lagi," tegas Mochamad kepada wartawan di Bandung hari ini. Dalam kejadian Jumaat lalu, seorang pelajar Malaysia dilaporkan ditemui dalam keadaan tidak sedar diri di kawasan Cikole Lembang, Bandung, Jawa Barat. Berdasarkan laporan media tempatan, pelajar berkenaan diserang suspek ketika hendak mengeluarkan wang dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di kawasan kampusnya. Mochamad juga memberi jaminan, kes ini akan menjadi perhatian utama pasukan siasatan polis bagi memastikan suspek dibawa ke muka pengadilan. - Utusan
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment