Wanita itu dibunuh kerana memilih jodoh sendiri dianggap menjatuhkan maruah keluarga | Seorang wanita berusia 25 tahun dibaling dengan batu sehingga mati kerana dia berkahwin dengan kekasihnya, kata polis. Menurut seorang pegawai kanan polis, Umer Cheema, wanita itu, Farzana Iqbal pada mulanya tiba di luar sebuah Mahkamah Tinggi di sini. Bagaimanapun, sekumpulan lelaki membaling batu ke arahnya menyebabkan dia meninggal dunia. Umer berkata, bapa, dua orang abang dan bekas tunangnya antara yang menyerang Farzana. Polis berkata, Farzana cedera parah di kepala dan diumumkan meninggal dunia di sebuah hospital. "Semua suspek kecuali bapanya melarikan diri. Dia mengaku membunuh anak perempuannya," kata Cheema.
Menurutnya, pembunuhan itu dilakukan disebabkan maruah keluarga. Kebanyakan keluarga Pakistan berpendapat seorang wanita yang berkahwin dengan pilihan sendiri menjatuhkan maruah keluarga. Farzana bertunang dengan sepupunya tetapi berkahwin dengan lelaki lain, jelas Cheema. Keluarganya telah membuat aduan di sebuah mahkamah dengan mendakwa anaknya itu diculik. Cheema berkata, Farzana perlu datang ke mahkamah untuk berhujah bahawa dia telah berkahwin dengan kerelaannya sendiri. Kumpulan hak asasi Pakistan, Yayasan Aurat menyatakan, kira-kira 1,000 wanita Pakistan dibunuh pada setiap tahun oleh keluarga mereka kerana maruah. - Reuters
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment