Sunday, June 1, 2014

Warga emas ditemui maut dalam keadaan mengerikan dipercayai terjun dari tingkat 24 sebuah kondominium di Jalan Ipoh


Warga emas ditemui maut dalam keadaan mengerikan dipercayai terjun dari tingkat 24 sebuah kondominium di Jalan Ipoh | Seorang warga emas ditemui maut dalam keadaan mengerikan dipercayai terjun dari tingkat 24 sebuah kondominium di Jalan Ipoh di sini, hari ini. Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintenden Othman Abu Bakar berkata dalam kejadian pukul 10.31 pagi itu, mangsa, 76, ditemui terdampar di bahagian bawah kondominium dengan sebelah kakinya terputus kerana tersangkut di tingkat tiga iaitu tempat parkir bangunan berkenaan. "Pemeriksaan awal mendapati mangsa sakit tua dan dipercayai mengalami gangguan fikiran. Bagaimanapun, kita belum mengenal pasti punca dia terjun dari bangunan itu," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat. Sementara itu, menurut isteri mangsa yang enggan dikenali, kehilangan warga emas berkenaan disedari keluarganya pada kira-kira 10.15 pagi apabila mangsa tiada di dalam rumah. "Ketika kejadian, saya sedang membasuh pakaian dan apabila sedar dia hilang, anak saya berusaha mencari dan menemuinya terjatuh di bawah bangunan ini," katanya. Dalam kejadian berasingan, seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat tiga ke aras bawah di sebuah pusat membeli-belah di sini.

Ketua Polis Daerah Brickfield, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata Nurul Emielda Nadia Sallehuddin meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian belakang kepala. Beliau berkata polis menerima panggilan pada 2.20 petang dan pihak ambulans yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia. "Hasil temu bual dengan bapa mangsa, semasa kejadian, beliau berada dengan anaknya kemudian terlepas pandang dan mendapati anaknya telah jatuh ke aras bawah," katanya dalam satu kenyataan. Seorang saksi yang tidak mahu dikenali berkata kejadian berlaku apabila mangsa memegang susur tangan eskalator di aras tiga yang menyebabkan dia ditarik susur itu sebelum terjatuh. Jenazah mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.-BH



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!