JAWI siasat insiden memalukan berkaitan gadis bertudung dipeluk dan dicium dalam konsert K-Pop | Amat memalukan umat Islam. Itu respon Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang kesal dengan insiden gadis Melayu bertudung dicium serta dipeluk ahli kumpulan K-Pop B1A4 dalam konsert di KL Live Center Kuala Lumpur, Sabtu lalu sehingga menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia. Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha berkata penganjur harus bertanggungjawab dan tidak boleh lepas tangan dengan apa yang berlaku dan mempersoalkan tindakan penganjur yang tidak merujuk pihaknya mengenai penganjuran konsert berkenaan.
“Perlakuan obses dan tidak senonoh di hadapan umum ini sememangnya dijangka apabila konsert yang dianjurkan tidak menimbangkan kelebihan manfaat berbanding keburukan. “Sebab itulah Islam melarang penganjuran hiburan yang boleh melalaikan kerana kesan daripada kelalaian itu lebih besar keburukannya,” katanya dalam satu kenyataan. Beliau mengingatkan generasi muda agar tidak menunjukkan sikap yang melampau sampai sanggup membiarkan diri diperlakukan apa saja oleh artis yang disanjung. “Tiada istilah kebebasan dan hak peribadi dalam melakukan perkara yang bertentangan dengan syarak dan boleh menjelikkan pandangan masyarakat umum.
“Sebaliknya perlu ada rasa malu dalam diri dan pemakaian bersyariat sebagai benteng mencegah rasa malu,” katanya lagi. Sementara itu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sedang membuka kertas siasatan mengenai insiden terbabit dan akan memanggil penganjur serta gadis-gadis terbabit untuk memberi keterangan dalam masa terdekat. Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata penganjur seharusnya lebih bertanggungjawab menjelaskan kepada pihak terbabit supaya menjaga batas dan menghormati tatasusila di negara ini. "Selain itu saya juga menasihatkan rakyat Malaysia, khususnya anak muda supaya tidak terlalu teruja dengan konsert sebegini. "Jangan disebabkan minat yang terlampau tinggi sehingga boleh menjejaskan maruah diri," katanya ketika dihubungi hari ini.
Difahamkan Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) akan turut dipanggil untuk memberi penjelasan. Penganjur konsert berkenaan pula mendakwa peminat yang diundang ke atas pentas dalam konsert itu melakukan aksi dengan anggota kumpulan berkenaan tanpa paksaan. Dalam kenyataan di laman Facebook, syarikat berkenaan TGM Events yang berpangkalan di Amerika Syarikat turut menjelaskan peminat terbabit dipilih secara rawak dan tidak diketahui sesiapa.
"Ketika ditanya sama ada mereka boleh atau tidak melakukan aktiviti meniru aksi babak drama itu, mereka tidak membantah," katanya. TGM Events tampil membuat kenyataan berikutan penyebaran beberapa gambar dan video memaparkan beberapa gadis Melayu bertudung dicium serta dipeluk anggota B1A4 menjadi bahan sensasi dan kritikan orang ramai di Internet sejak semalam. Menurut kenyataan itu, sebagai syarikat yang diterajui wanita, mereka tidak akan membenarkan sebarang pencabulan serta gangguan seksual berlaku. Dalam pada itu, mereka turut meluahkan kekecewaan terhadap segelintir media yang didakwa melanggar etika kewartawanan dengan menggunakan terminologi tidak sepatutnya dalam laporan mereka. -Metro
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment