Showing posts with label Kisah Benar. Show all posts
Showing posts with label Kisah Benar. Show all posts

Saturday, April 13, 2019

Lelaki bunuh diri selepas tidak mampu bayar bil elektrik



Lelaki bunuh diri selepas tidak mampu bayar bil elektrik | SEORANG lelaki bertindak membunuh diri selepas tidak mampu untuk membayar bil elektrik. Menurut pendengaran inkues di Mahkamah Koroner Derby dan Derbyshire di United Kingdom, dia meninggalkan nota bunuh diri berbaur sindiran 'berterima kasih' kepada ketua agensi yang memberi bantuan kepada golongan berpendapatan rendah. Brian Sycamore, 62, mengalami masalah untuk mendapat bantuan berkenaan. Adiknya, Henry Sycamore memberitahu inkuest pada Khamis bahawa kesukaran itu menjadi pencetus utama abangnya membunuh diri.

Menurut laporan Derbyshire Live, Brian ditemui mati dengan sejumlah pil yang banyak di meja tepi katil mangsa pada 30 September 2017. Pada pendengaran inkues itu juga, seorang anggota polis meninggalkan nota di dalam telefon Brian yang tidak berkunci. - Mirror UK




.

Tuesday, April 2, 2019

Gara-gara tidak mahu 5 anak hanyut dalam kemewahan seorang jutawan ikrar derma 70% dari hartanya


Gara-gara tidak mahu 5 anak hanyut dalam kemewahan seorang jutawan ikrar derma 70% dari hartanya | JUTAWAN yang mengusahakan perniagaan telefon Phones4u, John Caudwell meluahkan hasrat untuk mendermakan 70 peratus kekayaannya setelah dia meninggal dunia kelak. Harta yang dikumpul bapa kepada lima anak itu dianggarkan bernilai lebih £1.5 bilion (RM7.99 bilion). Jelas Caudwell, kesemua anaknya akan diagihkan lebihan 30 peratus harta yang ditinggalkannya. "Saya tak nak anak-anak hidup susah, tetapi untuk meninggalkan mereka dengan keseluruhan harta, ia tidak dapat mengimbangi perbezaan yang kaya dengan miskin.

"Jika mereka ada duit berbilion, apa kata sedekahkan beberapa ratus juta kepada kanak-kanak? Mereka masih kaya dan boleh menjalani kehidupan. "Saya tak rasa kalau tinggalkan anak-anak dengan kekayaan melampau akan memberi kebaikan kepada mereka," katanya lagi. Berusia 66 tahun, anak sulungnya, Rebekah berusia 39 tahun diikuti Libby, 31, Rufus, 23, Scarlett, 17 dan Jacobi, 15. Malah, dia turut memiliki banyak aset hartanah termasuklah di London dan Monaco. - Mirror.




.

Wednesday, March 6, 2019

Pasangan dibenar dapatkan sperma anak lelaki yang disah mati otak demi keturunan berkembang



Pasangan dibenar dapatkan sperma anak lelaki yang disah mati otak demi keturunan berkembang | IBU bapa kepada seorang pemuda yang cedera parah akibat kemalangan ketika bermain ski dibenarkan untuk mendapatkan sperma anak lelaki mereka bagi mengembangkan keturunan keluarga berkenaan. Kadet Tentera Amerika Syarikat, Peter Zhu disahkan mati otak empat hari selepas terlibat dalam kemalangan di West Point yang telah mencederakan tulang belakangnya dan mengakibatkan pengaliran oksigen ke otak tersekat. Pada Jumaat lalu, Monica dan Yongmin Zhu memfailkan petisyen di mahkamah untuk mendapatkan sperma anak mereka sebelum organnya didermakan. "Peter begitu mengharapkan untuk mempunyai anak sendiri malahan pernah menyatakan untuk membesarkan lima anak.

"Jadi kami memohon untuk mendapatkan sebahagian kecil daripada diri Peter supaya dapat membawa kegembiraan kepada semua terlibat," demikian sebahagian kandungan petisyen itu. Keluarga itu memaklumkan kepada mahkamah mengenai Peter yang juga anak lelaki tunggal dan jika gagal mendapatkan spermanya ia bermakna keturunan mereka tidak akan berkembang dan nama keluarga itu akan berkubur. Susulan itu, hakim menerima permohonan keluarga Zhu dan mengarahkan Pusat Perubatan Westchester untuk mendapatkan sperma berkenaan. Prosiding kes ini akan bersidang semula pada 21 Mac ini.-metro.co.uk





.

Tuesday, March 5, 2019

Lihat apa yang haiwan ini lakukan selepas lelaki yang selalu bersamanya meninggal dunia



Lihat apa yang haiwan ini lakukan selepas lelaki yang selalu bersamanya meninggal dunia  | SEEKOR unta yang sering digunakan untuk tujuan rondaan enggan makan setelah anggota polis yang selalu bersama dengannya meninggal dunia. Anggota itu, Shivraj Gadhvi meninggal dunia sewaktu sedang bertugas di Pingleshwar, tidak jauh dari sempadan Pakistan. Selain penduduk kampung di kawasan itu yang bersedih dengan pemergian Gadhvi, unta itu juga seolah-olah turut berduka. Menurut pihak polis, anggota berusia 56 tahun itu sempat memberi makan kepada unta itu sebelum dia meninggal akibat serangan jantung.

"Dia pergi ke kawasan bertugas dalam 9.30 pagi, dia bagi unta itu makan. Tak lama selepas itu dia rebah," ujar seorang individu dalam angkatan itu. Menurut mereka, unta berkenaa seolah-olah hilang selera, enggan minum dan makan setelah Gadhvi meninggal dunia. - Daily Mail.





.

Saturday, February 23, 2019

Kanak-kanak jadi viral selepas sudah melancong ke 24 negara walaupun belum berusia 3 tahun



Kanak-kanak jadi viral selepas sudah melancong ke 24 negara walaupun belum berusia 3 tahun | SEORANG kanak-kanak lelaki sudah melancong ke lima benua dan 24 negara pada usia kurang tiga tahun. Alina dan Andrei Ceclan dari Cluj, Napoca, Romania berkata mereka mula menggembara ke seluruh dunia bersama anak lelaki mereka berusia dua tahun setengah pada Jun tahun lalu. Kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Eric mengatasi kebanyakan orang dewasa dengan melawat beberapa kawasan tarikan pelancong termasuk kuil Machu Pichu di Thailand dan Ruang Udara Kennedy di Florida. Dia juga mengabadikan beberapa gambar kenangan berlatarbelakangkan pantai berpasir merah muda di Bonaire, Kepulauan Caribbean dan candi Chichen Itza di Mexico. Alina dan Andrei masing-masing merupakan bekas pengurus kewangan dan doktor gigi berkata mereka mahu melancong bersama Eric kerana mereka sudah meluangkan terlalu banyak masa dengan orang lain.

"Kami suka melancong dan cuba melawat beberapa tempat baharu setiap kali pergi bercuti. "Mempunyai anak bukan satu sebab untuk mengubah gaya hidup kami. Kami hanya mahu menyesuaikan perancangan pengembaraan kami. "Kami bermula dengan percutian pendek apabila dia dilahirkan dan kemudian 'road trip' selama tiga minggu di Itali selepas dia berusia enam bulan. "Kami mempunyai pengalaman manis melancong bersama-sama yang menggalakkan kami untuk terus berbuat demikian. "Kami bosan dengan rutin sama dan benci dengan hakikat dia menghabiskan lebih banyak masa dengan orang lain berbanding kami," kata Alina. Tiga beranak itu berjaya memenuhi rancangan mereka dengan mendapatkan tiket murah atau tempat penginapan percuma dengan membuat ulasan.


Mereka juga menggunakan pengangkutan awam dan makan dimana sahaja. Terbaru, keluarga itu berada di Singapura dan merancang untuk terus melancong sehingga Eric mula bersekolah. Alina berkata dia mahu menggalakkan ibu bapa supaya melancong bersama anak-anak tanpa mengira usia mereka. "Terdapat banyak salah faham yang sukar atau berbahaya kerana mereka tidak akan ingat apa-apa. "Anda tidak memahami kesan positif melancong kepada anak kecil dan seluruh keluarga sehinggalah anda melihatnya sendiri," kata Alina. - Mirror.co.uk




.

Thursday, February 21, 2019

Penduduk bantah dan gesa mayat non-Muslim yang ditanam di tanah perkuburan Islam segera dipindahkan


Penduduk bantah dan gesa mayat non-Muslim yang ditanam di tanah perkuburan Islam segera dipindahkan  | SEJUMLAH penduduk Desa Ngares Kidul, Mojokerto, Indonesia membantah mayat penganut agama Kristian disemadikan di tanah perkuburan Islam di tempat mereka. Bagaimanapun, setelah perbincangan diadakan, pihak keluarga akhirnya bersetuju untuk mayat dipindahkan ke lokasi lain. Koodinator Gusdurian Mojokerto, Imam Maliki yang mengawal kes ini menjelaskan proses pengebumian itu sebenarnya telah pun selesai dilakukan pada Jumaat, sehari selepas wanita berkenaan meninggal dunia. Sebelum dikebumikan, timbul isu apabila penduduk setempat tidak bersetuju dengan lokasi pengebumiannya. Namun, setelah melakukan perbincangan yang melibatkan pihak keluarga dan pihak berkaitan, akhirnya mayat dikebumikan di kampung tersebut.

Terdapat syarat tertentu yang ditetapkan termasuklah tiada ritual agama Kristian dan tanda salib tidak dibenarkan ada di tanah perkuburan. Keluarga si mati adalah satu-satunya penganut agama Kristian di kampung tersebut. Pihak keluarga menerima syarat itu kerana mereka tidak mempunyai pilihan lain dan mahu mayat segera dikebumikan. Bagaimanapun, dua hari setelah pengebumian, timbul bantahan sekali lagi dengan surat, dipercayai dari penduduk kampung tidak bersetuju dengan keputusan yang disepakati kerana mendakwa tanah perkuburan tersebut hanya untuk orang Islam. Satu lagi alasan yang diberikan, kubur umat Islam tidak boleh dicampur dengan penganut agama lain. "Tanah itu tanah wakaf untuk orang Muslim, itu yang menjadi alasan bantahan. Mereka yang membuat bantahan tahu ia untuk orang Muslim," kata Imam Maliki memetik CNNIndonesia.com Khamis.

Penggiat Jaringan Islam Antidiskriminasi (JIAD) Aan Anshori dalam posting di Facebooknya berkata anak si mati, Novi, lebih banyak diam kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan. Sebagai sebahagain penduduk setempat, Novi berpendapat keluarganya berhak mendapatkan layanan pengebumian yang sama, walaupun berbeza agama. Penggerak Gusdurian Mojokerto, Kukun Triyoga pada malam Rabu berkata perbincangan kali kedua telah diadakan dan telah menemui titik temu. "Permasalahan semuanya sudah jelas, pihak keluarga sudah setuju," kata Kukun melalui telefon. Kukun yang turut serta dalam pertemuan itu berkata semua pihak sepakat untuk kubur itu dipindahkan ke kawasan tanah perkuburan bukan Islam.

Tetapi, disebabkan tanah perkuburan untuk orang bukan Islam belum tersedia di kampung tersebut, ia belum dapat dipindahkan. Pemindahan akan dilakukan selepas pihak berkenaan di kampung itu menyediakan kawasan untuk pengebumian orang bukan Islam. "Kami sebenarnya mahu kubur Bu Nunuk di sini. Kami menuntut kemudahan untuk orang bukan Islam di Desa Ngares Kidul," kata Kukun. Menurutnya, tempoh enam bulan diminta dalam usaha menyediakan kawasan untuk tujuan tersebut. Setelah tersedia, kubur akan dipindahkan. -CNN Baca lebih lanjut di https://www.mstar.com.my/global/dunia/2019/02/21/campur-kristian-kubur-islam/#6Qq78Uz8rK5zLqux.99

Wednesday, February 13, 2019

Pelajar lelaki ditahan kerana menyamar wanita untuk ganti calon lain duduki peperiksaan permohonan kolej





Pelajar lelaki ditahan kerana menyamar wanita untuk ganti calon lain duduki peperiksaan permohonan kolej | SEORANG pelajar lelaki Universiti Mayor de San Miguel di Cochabamba, Bolivia ditahan kerana menyamar sebagai wanita untuk menduduki peperiksaan permohonan kolej. Bryan G berusia 19 tahun sebenarnya merupakan pelajar jurusan sistem kejuruteraan di universiti itu, tetapi dia cuba untuk menduduki peperiksaan kelayakan di kolejnya, mewakili seorang calon wanita. Dia memakai rambut palsu, mekap dan berpakaian seperti wanita, bagi mengelakkan perbuatannya dihidu. Malangnya, dia duduk di baris hadapan di dalam dewan peperiksaan dan kesemua pensyarah dan pembantu dapat melihatnya.


Tambahan pula, wajahnya begitu ketara berbanding calon lain menyebabkan dia menjadi perhatian. Bryan disoal oleh seorang penolong peperiksaan semasa mahu menerima kertas peperiksaan. Dia menjawab namanya adalah Jocelin C, tetapi pegawai itu memberitahu dia bukanlah calon berkenaan. Ditanya mengenai cubaannya menipu pihak universiti, Bryan memberitahu dia sebenarnya dihubungi oleh seorang saudara kepada calon wanita dan ditawarkan wang untuk menduduki peperiksaan itu bagi pihaknya kerana calon tersebut di luar kawasan.


Dia menerima tawaran tersebut, dan diberikan kad permohonan universiti malah ditempah untuk menghadiri sesi merias wajah agar penampilannya lebih dipercayai. "Saya tidak mahu melakukan perkara yang tidak baik. Saya tidak ada kerja, sebab itulah saya terima," kata Bryan. Bagaimanapun menurut laporan El Deber, dia kemudian mengubah keterangannya dengan memberitahu bahawa dia melakukannya kerana cinta, bagi membantu teman wanitanya. - odditycentral




























.

Wednesday, January 30, 2019

Pasangan bijak Matematik jadi kaya-raya selepas kesan 'rahsia' menang loteri dengan mudah



Pasangan bijak Matematik jadi kaya-raya selepas kesan 'rahsia' menang loteri dengan mudah | PASANGAN bersara berjaya menang loteri sejumlah AS$26 juta hanya dengan menggunakan aritmetik mudah. Jerry dan Marge Selbee memiliki sebuah kedai serbaneka di Evart, Michigan sebelum mereka bersara dan menjadi kaya-raya dengan menang beberapa kali loteri tempatan dalam tempoh enam tahun selepas itu. Skim mereka bermula pada tahun 2003 ketika Jerry, lulusan ijazah sarjana muda Matematik dari sebuah kolej, melihat satu risalah tentang loteri baharu bernama Winfall dan menyedari rahsia bagaimana untuk menang. Permainan ini memaparkan ciri 'roll down', yang bermaksud jika tidak ada yang menang hadiah jackpot AS$5 juta, wang itu akan tersebar di antara pemegang tiket yang mempunyai padanan lima, empat, atau tiga nombor.

Pegawai loteri akan mengumumkannya apabila berlaku situasi seperti ini, jadi Jerry akan membeli beribu-ribu keping tiket kerana mengetahui dia akan mendapat sejumlah padanan, menurut CBS.Ringkasnya, Jerry menjelaskan jika dia membeli tiket bernilai AS$1,1000, dia sekurang-kurangnya akan mendapat satu kemenangan 'empat nombor' yang mana dia akan dibayar AS$1,000. Dia juga akan mendapat sekitar 18 atau 19 kemenangan untuk 'tiga nombor', yang dibayar sebanyak AS$50 untuk sekeping tiket dengan jumlah keseluruhan AS$1,900. Ketika dia mencuba rancangannya ini untuk kali pertama, dia membeli tiket Winfall bernilai A$3,600 dan memenangi AS$6,300. Berikutnya, dia membeli tiket bernilai AS$8,000 dan hampir menggandakan pelaburannya.

 Jerry memberitahu isterinya tentang kemenangan itu dan pasangan ini mula bermain dengan nilai beratus-ratus ribu dolar.Akhirnya, Jerry menubuhkan sebuah syarikat yang dikenali sebagai GS Investment Strategies dan menjemput rakan dan keluarganya untuk membeli saham dengan harga AS$500 setiap satu. Permainan Winfall kemudian ditutup di Michigan kerana 'kekurangan jualan' jadi pasangan itu mula bermain di Massachusetts di mana permainan itu masih ditawarkan. GS Investment Strategies meningkat kepada 25 orang ahli dan dalam tempoh enam tahun seterusnya, mereka memenangi sejumlah besar wang selama berminggu-minggu.Pasangan itu berkata mereka akan duduk di sebuah hotel dan membuat penyusunan tiket selama 10 jam sehari, 10 hari berturut-turut, bermain lebih dari AS$600,000 untuk setiap percubaan. Mereka melakukannya selama tujuh kali setahun.

"Ia sebenarnya hanya asas aritmetik. Ia memberi anda kepuasan untuk berjaya dalam sesuatu yang berfaedah bukan sahaja kepada kami secara peribadi tetapi kepada rakan-rakan dan keluarga kami," kata Jerry.  "Satu-satunya perkara yang saya dapati ia benar-benar luar biasa adalah, seolah-olah tiada siapa betul-betul faham tentangnya." Pada tahun 2011, Boston Globe mendapat risikan bahawa seseorang mungkin menipu permainan Winfall dan kemudian mendapati pasangan ini serta sekumpulan ahli matematik dari Institut Teknologi Massachusetts (MIT) telah memonopoli kemenangan. MIT yang membuat pertaruhan lebih dari AS$17 juta, memperoleh lebih dari AS$3.5 juta keuntungan, sebelum bendahari Massachusetts menutup permainan dan memulakan siasatan.

Mereka bagaimanapun mendapati bahawa peluang-peluang kemenangan tidak terjejas dengan pertaruhan volum tinggi, oleh itu pasangan itu dianggap tidak melakukan jenayah. Sepanjang bermain, syarikat itu memperoleh sejumlah AS$26 juta, termasuk keuntungan AS$8 juta. Pasangan itu berkata, wang itu digunakan untuk mengubah suai rumah dan membayar yuran pendidikan enam anak, 14 cucu dan 10 cicit. Mereka baru-baru ini menjual cerita luar biasa mereka kepada pengeluar filem yang merancang untuk menghasilkan sebuah filem mengenai kehidupan mereka. -MetroUK





.

Thursday, January 24, 2019

Wanita 'temui' jodoh dengan selimut sendiri selepas dakwa dapat pelukan hebat daripada 'bakal suami'


Wanita 'temui' jodoh dengan selimut sendiri selepas dakwa dapat pelukan hebat daripada 'bakal suami' | SEORANG wanita merancang untuk berkahwin dengan selimutnya kerana dia mendakwa ia adalah 'hubungan paling intim dan boleh dipercayai' yang pernah dimilikinya. Pascale Sellick, 49, akan menganjurkan majlis perkahwinan mewah dengan bantuan seorang perancang perkahwinan untuk meraikan cintanya di tempat tidur. Artis itu menghantar jemputan terbuka kepada sesiapa yang ingin meraikannya. Dia berkata: "Selimut saya adalah hubungan terpanjang, paling kuat, paling intim dan boleh dipercayai yang pernah saya alami kerana ia selalu ada untuk saya dan memberikan saya pelukan hebat.

 "Saya suka selimut saya, jadi saya ingin menjemput orang untuk menyaksikan perkahwinan saya dengan peneman paling setia dan selesa dalam hidup saya. "Majlis itu akan ada muzik, ketawa dan hiburan." Pascale akan mengenakan gaun malam, gaun pengantin dan selipar untuk meraikan hari besarnya. Tetapi, dia enggan mendedahkan pakaian 'suaminya' kerana ingin menjadikan ia satu kejutan. Acara itu akan diadakan pada 10 Februari di Rougemont Gardens di Exeter, Devon diikuti dengan parti perkahwinan percuma di The Glorious Art House di Fore Street. - Mirror UK




.

Sunday, January 20, 2019

Remaja telefon polis tuduh bapa mencuri selepas telefon bimbitnya dirampas



Remaja telefon polis tuduh bapa mencuri selepas telefon bimbitnya dirampas | SEORANG remaja bertindak menghubungi polis selepas bapanya merampas telefon bimbitnya. "Bapa saya ambil harta saya, iaitu telefon berharga AS$800 (RM3,290) yang bukan miliknya, dia tidak membelinya," kata gadis dari Ohio yang berusia 16 tahun itu kepada talian kecemasan 911. Pegawai dari Jabatan Polis Euclid Selatan memberi respons dengan pergi ke tempat kejadian dan situasi di situ dirakam dengan kamera"Saya ambil telefonnya sebab dia seorang remaja. Saya tak mahu dia memilikinya," kata bapa gadis itu, Robertson kepada polis. "Saya tak dapat periksa telefon itu sebab ia dikunci, jadi saya mengambilnya.".Polis memihak kepada bapanya dan memberitahu gadis itu bahawa 'mempunyai telefon bimbit di bawah usia 18 tahun adalah keistimewaan dan bukan 'hak' seperti yang dianggap.

 Polis juga memberitahu remaja tersebut supaya mengikut peraturan yang ditetapkan oleh bapanya jika dia berharap untuk mendapatkan semula telefonnya. Bapanya telah berjanji jika anak perempuannya mengubah sikap dia akan memberikan telefon itu semula kepadanya. Polis tidak meneruskan kes itu. "Jabatan kami tidak akan meneruskan kes 'kecurian' seperti ini. Sukar untuk mencari mahkamah di negara ini yang akan mengambil kes ini," kata Lt. James Wilson dari Jabatan Polis Euclid Selatan dalam satu kenyataan. -Inside Edition





.

Friday, January 18, 2019

Lelaki tak sedar melamar teman wanita ketika terlalu mengantuk akibat ubat tidur



Lelaki tak sedar melamar teman wanita ketika terlalu mengantuk akibat ubat tidur | MUNGKIN kerana terlalu mengantuk selepas mengambil pil tidur, seorang lelaki secara tidak sengaja telah melamar teman wanitanya. New York Post melaporkan, lelaki yang enggan dikenali itu telah membuat pengakuan itu. Katanya, masalah sukar untuk tidur menyebabkan lelaki itu mengambil 40 miligram ubat tidur, melebihi dos yang ditetapkan."Saya ada letak cincin pertunangan dalam laci...apabila bangun saya dapati cincin itu ada pada jari si dia.

"Sudah tentu saya terkejut kerana tidak ingat sama sekali apa yang telah berlaku," katanya. Malahan, lelaki itu juga mengemas kini status Facebooknya kepada 'bertunang' dan ketika itu dia masih dalam pengaruh ubat berkenaan, Ambien. "Sebenarnya saya tidak bercadang untuk bertunang dengan teman wanita saya untuk sekurang-kurangnya setahun setengah lagi dan berhasrat untuk membeli cincin yang lebih baik tetapi kerana kesan ubat tidur itu, ia seolah-olah mempercepatkan perancangan itu," katanya.-Heraldsun.com



Tuesday, January 15, 2019

Zoo dikecam selepas seekor harimau spesies 'rare' dilihat kurus kering dan terpaksa makan tanah



Zoo dikecam selepas seekor harimau spesies 'rare' dilihat kurus kering dan terpaksa makan tanah | SEEKOR harimau Benggala putih yang jarang ditemui dirakam menjilat dan makan tanah di kandangnya di sebuah zoo di China. Video yang tersebar di laman media sosial China, Weibo itu telah dirakam oleh seorang pengunjung yang terkejut melihat kejadian itu. Pengunjung berkenaan yang hanya dikenali sebagai Wang berkata harimau putih itu yang tergolong dalam spesies haiwan terancam, dilihat kurus dan tidak cukup makan. Dilaporkan tiada makanan diletakkan di atas tanah, tetapi harimau itu terus menjilat tanah sebelum mula mengunyahnya.Video itu diambil semasa lawatan Wang ke Zoo Wuhan di China tengah baru-baru ini.

"Haiwan itu sangat kurus macam papan dan sangat lapar sehingga terpaksa makan tanah," tulisnya dalam posting yang dimuat naik.Dia juga menyeru pihak berkuasa memberi perhatian dan tindakan harus diambil terhadap zoo terbabit. Wang juga mengutuk layanan buruk kakitangan zoo terhadap binatang itu. Walau bagaimanapun, pihak zoo menafikan dakwaan bahawa pihaknya tidak memberi makan harimau itu, menyatakan bahawa haiwan itu sihat. Akaun Weibo rasmi zoo itu juga mengulas posting Wang, menyatakan bahawa harimau berkenaan baru saja diberi makan seekor ayam sebelum video tersebut dirakam. Ia juga menyatakan bahawa haiwan itu kemungkinan besar hanya makan serbuk di atas tanah.

Jelas mereka, harimau itu berusia tujuh tahun dan beratnya adalah kira-kira 118kg. Menurut World Wide Fund for Nature, berat purata bagi harimau Bengal dewasa adalah 249kg. Jurucakap zoo itu memberitahu Beijing Youth Daily bahawa mereka mempunyai bekalan makanan yang cukup untuk harimau itu tetapi 'kerana ia tidak banyak bergerak dan makan terlalu banyak, ia akan menjadi terlalu gemuk. Jika seseorang itu gemuk, dia akan jatuh sakit. Samalah juga dengan haiwan," kata wakil jurucakap zoo itu. Harimau putih Bengal sangat jarang ditemui di alam hidupan liar dan disenaraikan sebagai terancam oleh World Wildlife Fund. -IBT





.

Thursday, January 10, 2019

Budak 10 tahun bunuh diri dan tinggalkan sekeping nota yang sangat menyayat hati



Budak 10 tahun bunuh diri dan tinggalkan sekeping nota yang sangat menyayat hati | SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun ditemui mati bersama dengan sekeping nota menyayat hati, selepas didakwa membunuh diri untuk membuatkan ibunya sebagai 'wanita paling gembira di dunia'. Pasukan kecemasan menerima panggilan mendakwa seorang budak perempuan menggantung dirinya pada pukul 10.18 malam 6 Januari lalu. Kejadian itu berlaku semasa berlangsung satu festival di mana setiap orang memberikan hadiah antara satu sama lain. Nota tragik itu mendakwa dia memberikan 'hadiah terbaik' dengan membunuh dirinya sendiri. Dia dilihat menyalahkan dirinya sendiri selepas bapanya meninggalkan dua beranak itu, dan mempercayai dia telah 'menyakitkan' dan 'merosakkan' kehidupan ibunya.

Antara ayat di dalam surat itu yang menyentuh emosi menyebut: "Saya mahu ibu saya supaya bertenang, tidak banyak bekerja, hadiah terbaik yang saya minta adalah kegembiraannya. "Saya berharap suatu hari nanti anda akan mengingati saya dan di langit akhirnya, anda memeluk saya. "Seperti yang anda sering katakan pada saya yang anda berharap saya tidak pernah dilahirkan. "Saya sangat sayang ibu," menurut nota tersebut. Pihak berkuasa di Aguascalientes, Mexico, mengesahkan punca kematian disebabkan menggantung diri. Jiran-jiran memberitahu bahawa budak perempuan tidak pernah dilihat sedih atau mempunyai masalah. Pihak berkuasa di Mexico menyiasat kes kematian itu dan laporan tempatan mendakwa polis sedang meneliti untuk mendakwa ibu kanak-kanak berkenaan. - Mirror Online



.

Tuesday, January 8, 2019

Selama 21 tahun seorang lelaki baru tahu 3 anaknya bukan anak kandung



Selama 21 tahun seorang lelaki baru tahu 3 anaknya bukan anak kandung | SEORANG bapa tidak tahu bahawa selama ini dirinya bukan bapa kandung kepada tiga anaknya. Richard Mason, 55, terkejut apabila mendapat tahu selama tempoh 21 tahun, dia ditipu oleh isterinya dan anak-anaknya mempunyai bapa kandung lain. Dia telah membuat ujian DNA tiga tahun lalu selepas doktor memberitahu dia menghidap fibrosis sista (gangguan genetik), yang menyebabkan dia tidak subur sepanjang hayat. Bekas isterinya, Mrs Mason mengaku mempunyai hubungan dengan lelaki lain melalui teks. "Walau apa pun yang kamu fikir saya sangat simpati kerana membuatkan kamu mengalami pergolakan emosi," tulisnya. Mason yang merupakan pengasas bersama MoneySupermarket.com berasa tidak puas hati dirinya ditipu dan memutuskan untuk memfailkan saman atas dakwaan penipuan.

Dia bersetuju menerima £250,000 daripada bekas isterinya hasil penyelesaian luar mahkamah yang mana jumlah itu adalah sebahagian daripada ganti rugi £4 juta yang dituntut dalam perjanjian perceraian pada 2006.Dia memberitahu The Mail pada Ahad: "Anda tak tahu apa yang sebenarnya dan apa yang tidak - seolah-olah saya tinggal di The Matrix. Ada yang kata pada anda, "Apa yang awak tahu dan semua yang awak fikirkan kukuh dan benar adalah tidak betul dan tak pernah wujud. Anda bukan seorang bapa, anda tak mampu dapat zuriat, nama anda tak dapat diwarisi."

Mason, dari Rhos, Wales Utara, tidak lagi berjumpa dengan dua anaknya yang berhenti menghubunginya. Dia mempunyai anak kembar lelaki, berumur 19 tahun, dan seorang lagi anak lelaki, 23, yang tidak memberikan sampel untuk ujian DNA. Mason menambah: "Saya masih melihat apa yang dilakukan oleh mereka di Facebook dan perasaan itu sangat menyayat hati. Saya hilang semuanya," katanya. Mrs Mason tidak diminta untuk menamakan bapa biologi anaknya semasa prosiding mahkamah dan dia tidak mendedahkan sama ada lelaki itu tahu dia adalah bapa kepada anak-anaknya. Mason bagaimanapun telah menemui cinta baharu, Emma, dan wanita itu sudah menjadi isterinya. -MetroUK




.

Wanita berubah menjadi menakutkan selepas cintanya ditolak lelaki jutawan



Wanita berubah menjadi menakutkan selepas cintanya ditolak lelaki jutawan | SEORANG wanita yang cintanya tak berbalas oleh lelaki yang ditemuinya di laman web janji temu jutawan ditahan. Wanita itu didakwa memburu lelaki berkenaan dan menghantar 159,000 mesej teks yang tidak diingini. Jacquelyn Ades, dari Florida, juga didakwa mengugut ketua eksekutif syarikat penjagaan kulit itu dengan memberitahunya: "Saya akan buat sushi dengan buah pinggang kamu dan buat chopstik dengan tulang tangan kamu." Pakar kecantikan berusia 31 tahun itu sedang menunggu perbicaraan atas tuduhan 'mengintip' dan perlanggaran jenayah di Arizona, Amerika Syarikat. Dalam satu siri mesej teks yang mencetuskan gangguan, dia didakwa membuat ancaman seperti 'Oh apa yang akan saya buat dengan darah kamu! Saya nak mandi di dalamnya' dan banyak lagi. Ades ditangkap pada Mei selepas muncul di tempat kerja lelaki itu dan mengaku dia adalah isterinya.

Sebulan sebelum dia ditangkap ketika sedang mandi di rumah lelaki tersebut semasa dia berada di luar negara. Mereka hanya pernah bertemu hanya sekali sahaja pada janji temu pertama, lapor Daily Mail, tetapi lelaki itu yang hanya dikenal pasti sebagai CEO sebuah syarikat di kawasan Scottsdale tidak berminat untuk meneruskan hubungan dengannya. Bagaimanapun Ades tetap menghantar beribu-ribu mesej dan kadang-kadang sehingga 500 mesej sehari. Dia ditangkap pada Mei 2018 atas tuduhan mengintip dan menceroboh. Polis pada masa itu percaya dia telah menghantar sebanyak 65,000 mesej selama 10 bulan. Tetapi siasatan selanjutnya mendapati jumlah mesej yang dihantar adalah lebih dari dua kali ganda. Ades berkata dia bertemu lelaki itu melalui Luxy, sebuah perkhidmatan janji temu untuk ramai jutawan. Ahli perniagaan itu menghubungi polis pada Julai 2017 apabila dia melihat kereta wanita berkenaan diletakkan di luar rumahnya di Paradise Valley.

Dia didakwa terus menghantar mesej ugutan dan pada April tahun lepas memutuskan untuk mandi di rumah mangsa. Lelaki itu dikatakan melihatnya melalui video pengawasan rumah semasa dia berada di luar negara dan menghubungi polis, yang menemuinya di dalam tab mandi. Wanita itu juga didakwa juga menyimpan pisau di tempat duduk penumpang dalam keretanya.Menjelaskan apa yang dibuat di rumah lelaki itu, dia dilaporkan memberitahu polis: "Saya rasa saya membuat keseluruhan senario yang ada dalam kepala saya yang menyatakan saya tinggal di sini, jadi saya datang ke sini dan berpura-pura ia berlaku." Apabila ditanya lebih lanjut untuk menjelaskan apa yang dimaksudkannya, dia mula merujuk persamaan saintifik. Susulan kejadian itu, dia didakwa terus menghantar mesej: "Kamu buat apa sahaja yang perlu kamu buat, tapi jangan pernah cuba tinggalkan saya. Saya akan bunuh kamu. Saya tak mahu jadi pembunuh."

Selepas ditahan pada Mei, dia memberi jaminan kepada polis bahawa dia tidak berniat untuk mencederakan lelaki itu dan ia adalah sesuatu yang terlintas di kepalanya ketika dia menghantar teks-teks tersebut, yang dianggap lucu. Dia memberitahu polis bahawa dia faham lelaki itu tidak mahu bersamanya dan tahu mesejnya itu tidak normal. "Tak kisahlah kalau itu yang dia rasa. "Seseorang yang lain harus mencintainya, dia ada segalanya untuk dicintai, dia sangat comel, saya tak percaya dia takut dengan saya." Rekod polis menyenaraikan Ades menunjukkan tanda-tanda penyakit mental. Dia kini ditahan di Penjara Maricopa County menjelang perbicaraan yang dijadualkan pada Februari. -Mirror




.

Thursday, January 3, 2019

Polis buat kesilapan memalukan gara-gara aplikasi Google Maps



Polis buat kesilapan memalukan gara-gara aplikasi Google Maps | ORANG ramai kini menggunakan aplikasi mudah alih untuk navigasi jalan, tetapi kesilapan pada aplikasi Google Maps menyebabkan satu pasukan polis 'terlepas' lokasi mayat selama 18 bulan. Polis dekat Brisbane, Australia mencari mayat Darrell Simon, yang dilihat kali terakhir pada November 2014. Polis bergantung kepada Google Maps bagi mengetahui perimeter kediaman Simon, tetapi data tersebut memberi maklumat yang salah. Ini bermakna mayat berkenaan tidak dijumpai di Laidley Creek sehingga Mei 2016. Kematian Darrell diklasifikasikan sebagai bunuh diri. Koroner kini memutuskan bahawa mayat itu dapat ditemui lebih awal, sekiranya polis menggunakan peta yang lebih tepat. Satu laporan oleh koroner negeri Queensland, John Lock, yang pertama kali dilaporkan oleh BBC, menjelaskan:

"Kenyataan mengenai pencarian dilakukan hanya separuh daripada kediaman amat dikesali dan tidak sepatutnya berlaku." Tambah John, kelewatan mencari mayat Darrell telah menambah kesedihan yang dirasai oleh keluarganya dan rakan-rakannya, terutama bapanya. Susulan siasatan itu, John mencadangkan agar polis mengelakkan penggunaan Google Maps pada masa akan datang. Sebaliknya, beliau mencadangkan polis harus bergantung pada sistem penentu kedudukan global (GPS) dan data pemetaan yang berkualiti tinggi. - Mirror Online




.

Wednesday, January 2, 2019

Wanita terlibat kemalangan, koma dan masih belum ketahui anak maut akibat kemalangan dua minggu lalu



Wanita terlibat kemalangan, koma dan masih belum ketahui anak maut akibat kemalangan dua minggu lalu | SEORANG ibu yang koma selepas terlibat kemalangan kereta sejak lebih dua minggu lalu masih tidak mengetahui anak perempuannya sudah tiada. Maddison Spyve, 18, maut serta-merta di tempat kejadian selepas kereta dinaikinya bersama ibu, Tammy dirempuh sebuah lori, 12 hari sebelum sambutan Krismas. Sejak itu, Tammy dirawat di unit rawatan rapi (ICU) kerana kecederaan serius termasuk mengalami keretakan tulang. Abang Maddison, Jayden Allwood, menemai ibunya di Hospital Cairns, Australia tetapi terpaksa pulang ke rumahnya di New South Wales untuk bersama dengan keluarganya sempena Krismas. Doktor ada memberitahu ibunya mengenai kemalangan itu tetapi Allwood, 27, tidak fikir Tammy mengingati segalanya.Allwood memberitahu Yahoo7 bahawa adiknya adalah segala-galanya buat ibu mereka.

"Kami tidak boleh bercakap dengan ibu buat masa ini kerana keadaannya yang masih koma," katanya. Jayden berkata adiknya amat berbakat dalam muzik dan baharu sahaja menamatkan pengajiannya di sebuah sekolah tinggi. Sebuah kempen mengumpul dana bagi membiayai majlis pengebumian Maddison telah diwujudkan dan berjaya mengumpul lebih $11,840 sehingga hari ini. Allwood berkata kempen itu diadakan bagi menimbulkan kesedaran orang ramai mengenai lokasi kemalangan yang meragut nyawa adiknya yang dianggap sebagai kawasan panas. "Tiada lagi keluarga perlu melalui mimpi ngeri kehilangan orang tersayang di laluan merbahaya itu," katanya. - Metro.co.uk




.

Thursday, December 27, 2018

Budak selamat dari musibah tsunami selepas gitar Seventeen dijadikan pelampung



Budak selamat dari musibah tsunami selepas gitar Seventeen dijadikan pelampung | GITAR milik kumpulan pop rock terkemuka Indonesia, 'Seventeen' antara barang yang digunakan oleh mangsa tsunami, Akhmad Khowarizmi atau Azmi, 10, untuk menyelamatkan diri dari gelombang tsunami yang melanda pantai Carita. Menerusi portal Liputan 6, Azmi bersama keluarganya menyaksikan persembahan kumpulan itu di kawasan pelancongan tersebut. Menurut datuknya, Ashari, 64, keluarga itu berada di hadapan pentas dan tidak sempat melarikan diri. –– ADVERTISEMENT –– "Apabila tsunami melanda, mereka tidak sempat lari hingga mengakibatkan anak, menantu, kedua cucu dihanyutkan air," katanya.

Jelasnya, cucunya terselamat kerana dia mengapai gitar milik kumpulan terbabit untuk dijadikan pelampung. "Apabila dihanyutkan gelombang, cucu saya sempat mengapai gitar itu untuk membuatkan dia terapung."Cucu perempuan, Farzana Arfa Fahira atau Arfa, 7, juga terselamat kerana dilindungi oleh permaidani pentas," katanya. Begitu juga dengan menantunya, Akhmad Diyak, berjaya menjadikan dahan pokok sebagai pelampung. Namun anak perempuan tunggalnya terkorban, Ninil Ukhita Anggra Wardani dan ditemui pada 23 Disember di sekitar Tanjung Lesung.

Meskipun sedih kehilangan anaknya, Ashari perlu cekal agar cucunya juga kuat untuk meneruskan sisa hidup tanpa ibunya. "Apbila mereka bersama saya, mereka tenang, tetapi ketika mereka bersendirian, kadang-kadang mereka menangis. Biasanya cucu akan memeluk ibu mereka ketika pulang dari kerja tetapi kini tidak lagi," katanya. Pemergian Ninil, 38, yang terkorban dalam tsunami Selat Sunda meninggalkan seribu kesedihan mendalam buat keluarga itu. Ninil selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kalirejo, Bangil, Pasuruan pada malam 24 Disember lalu. - Liputan6





.

Pasangan hanya perlukan beberapa jam pertemuan kali pertama dan kemudian ambil keputusan untuk berkahwin



Pasangan hanya perlukan beberapa jam pertemuan kali pertama dan kemudian ambil keputusan untuk berkahwin | HANYA beberapa jam bertemu buat pertama kali di sebuah lapangan terbang di United Kingdom (UK), dua individu yang tidak mengenali antara satu sama pada mulanya, mengambil keputusan untuk berkahwin di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS), pada Hari Krismas. Sarah Edwards, 34, dan Paul Edwards, 36, mengenali menerusi satu aplikasi mudah alih, dan beberapa hari kemudian mereka mendapat idea 'gila' untuk berkahwin. Sarah berkata, dia dan Paul sudah seperti sahabat baik dan mereka telah berbincang untuk mempunyai anak, meskipun hanya mengenali antara satu sama lain kurang dua minggu. Bagaimanapun, dia tidak mengetahui apakah reaksi keluarga mereka kerana masih belum memberitahu mengenai perkahwinan tersebut.

Menurut Sarah, ramai rakannya meminggirkannya tetapi dia tidak mempedulikannya dan yakin perkahwinan itu berjalan dengan baik. Sarah dan Paul bertemu secara dalam talian pada 15 Disember lalu, dan berbalas mesej buat pertama kali, 22 Disember lalu. Pasangan itu berbual sekali lagi pada 23 Disember dan memutuskan untuk berkahwin meskipun tidak pernah bersemuka. Namun kedua-duanya meneruskan rancangan dan menempah lokasi majlis perkahwinan di Hotel dan Kasino Bellagio. Mereka bertemu buat pertama kali di Lapangan Terbang Gatwick di London pada malam sebelum Hari Krismas, bagi menaiki penerbangan ke Las Vegas untuk berkahwin. - Mirror Online





.

Warga emas dijemput Ilahi kurang 2 jam sebelum mendarat hajat tunai umrah tidak kesampaian



Warga emas dijemput Ilahi kurang 2 jam sebelum mendarat hajat tunai umrah tidak kesampaian | HASRAT lapan sekeluarga dari Sabak Bernam, Selangor untuk mengerjakan umrah bersama tidak kesampaian apabila seorang daripada mereka dijemput Ilahi ketika dalam pesawat ke Madinah. Wanita warga emas berkenaan, Khatijah Soleh yang menghidap penyakit diabetis dan darah tinggi itu menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira pukul 2 pagi (waktu Malaysia) ketika pesawat melintasi ruang udara Doha. Hanya beberapa minit sebaik pesawat berlepas, nenek berusia 63 tahun ini mula menghadapi masalah kesihatan akibat kekurangan gula.

Difahamkan, dia tidak mendapat suntikan insulin untuk penyakit diabetis kerana telah meletakkan bekalan ubat berkenaan dalam bagasi yang ditempatkan di ruang kargo pesawat.Keluarga berkenaan bertanggapan sebarang cecair termasuk ubat-ubatan tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam pesawat. Sebaik dimaklumkan oleh ahli keluarga mengenai keadaan warga emas itu, kru pesawat MH8232 bertindak pantas membantunya. Pada awalnya, wanita berkenaan menunjukkan maklum balas baik, bagaimanapun kesihatannya kembali merosot beberapa minit kemudian. Susulan itu pengumuman dibuat untuk mendapatkan pertolongan doktor dalam kalangan penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu.

Beberapa doktor dalam kalangan jemaah Indonesia tampil membantu dengan pelbagai cara termasuk memberi bantuan oksigen. Bagaimanapun, selepas kira-kira enam jam, warga emas itu yang semakin lemah akhirnya meninggal dunia. Beliau menghembuskan nafas terakhir di hadapan suami, anak, menantu dan cucunya yang bersama untuk mengerjakan ibadah umrah bersama Zahafiz Travel & Tour Sdn Bhd. Sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Muhammad Abdul Aziz, jenazah akan dibawa ke hospital di Madinah sebelum dikebumikan.-Mstar




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!