MEMBANTU menguruskan mayat yang tidak dituntut oleh ahli keluarga merupakan satu kepuasan kepada Tay.
KETIKA keranda yang membawa mayat Lim Kin Guan dikeluarkan dari kereta, seorang pegawai krematorium yang kebingungan bertanya kepada pengurus mayat Roland Tan: "Di mana keluarga lelaki ini?"
"Kami ahli keluarganya," jawab Tay sambil membuat isyarat pada majlis pengebumian lelaki berusia 92 tahun itu yang meninggal dunia di rumah kebajikan.
Dua kakitangan dan seorang sami Buddha tekun melakukan upacara pengebumian yang berlangsung pada waktu tengah hari pertengahan Mei lalu.
Tay, 63, merupakan pengurus mayat yang bermisikan kebajikan, tugasnya menguruskan mayat yang tidak dituntut seperti warga emas yang disisihkan keluarga, pekerja asing sehinggalah kepada penjenayah.
"Saya menganggap apa yang saya lakukan sangat bermakna. Di dalam bidang ini saya dapat membantu golongan yang melarat dan miskin," kata Tay.
Jika sebahagian besar masyarakat menumpukan idea kerja-kerja kebajikan dengan sumbangan kewangan dan sokongan untuk kehidupan, Tay pula memastikan nasib golongan itu sentiasa terbela selepas mereka meninggal dunia.
Kebiasaannya upacara pengebumian di Singapura menelan kos yang agak tinggi iaitu sekitar S$5,000 (RM11,700) untuk proses mengawet, sebuah keranda, penjagaan selama tiga hari dan pengangkutan dari krematorium ke tapak perkuburan.
"Saya membantu tanpa mengira agama dan warganegara. Selagi terdapat kehidupan di dunia ini saya akan membantu mereka," kata Tay yang mengaku dirinya tidak mempercayai Tuhan.
Lelaki gempal, berwajah bersih yang memiliki syarikat Direct Singapore Funeral Services itu telah menguruskan pengebumian lebih 100 mayat secara percuma sejak melibatkan diri dalam perniagaan itu kira-kira dua dekad lalu.
LEBIH 100 mayat telah diuruskan oleh Direct Singapore Funeral Services secara percuma.
Kad pengenalan diri milik waris-waris tersusun rapi di satu sudut meja di pejabatnya.
"Saya telah menyaksikan pelbagai kes melibatkan mereka yang miskin, hidup melarat, kesempitan wang, suami yang meninggal dunia sehingga anak dan isterinya terbiar....ia membuatkan saya begitu sedih," tambahnya.
Ada antara mayat yang diuruskannya itu merupakan mangsa pembunuhan kejam dan bunuh diri, menyebabkan Tay adakalanya dianggap sebagai selebriti.
Salah satu kes yang agak popular ialah Kallang body parts murder yang dilaporkan oleh media Singapura pada Jun 2005.
Wanita berusia 22 tahun itu, Liu Hong Mei dilaporkan hilang sebelum mayatnya yang dipotong-potong kepada tujuh bahagian dan ditemui di lima tempat yang berbeza termasuk di Sungai Kallang.
Falsafah hidup
Tay yang menguruskan pengebumian itu melalui kesukaran untuk menyambung semua bahagian yang terpisah berikutan ada bahagian kaki mangsa yang masih hilang dan berada di peringkat yang berbeza.
"Saya dan isteri menjahit semula bahagian yang terpisah bagi memastikan ia kelihatan cantik dan sempurna seperti manusia biasa di samping memakaikannya dengan pakaian," katanya yang memberitahu ia merupakan kes paling ngeri pernah dikendalikan.
Tay juga pernah menguruskan pengebumian mayat Nguyen Tuong Van, warga Australia keturunan Vietnam yang digantung di kota Singa kerana penyalahgunaan dadah pada tahun 2005.
"Saya tidak peduli tentang jenayah yang dilakukannya. Apa yang saya tahu ibunya berada di sini dan dia tidak mempunyai wang," kata Tay.
TAY menunjukkan pelbagai bekas simpanan abu mayat yang dijual di kedainya.
Falsafah hidupnya termasuk memberi kaunseling dan mengumpulkan dana bagi membantu nasib ahli-ahli keluarga mangsa yang meninggal dunia.
Terdapat satu kes di mana seorang lelaki rakyat negara itu bertindak membunuh diri dengan melompat di hadapan sebuah kereta api disebabkan terbeban dengan hutang dan tidak mampu membayar kos perubatan isteri dan anak-anaknya yang sakit.
Lelaki itu kemudiannya membuat satu sidang akhbar bagi menarik simpati orang ramai dalam tempoh lima hari sahaja dia mampu mengumpulkan S$500,000 (RM1.172 juta).
Balu mangsa menawarkannya sebanyak S$100,000 (RM234,434) sebagai tanda penghargaan tetapi dia telah menyumbangkan sejumlah wang itu ke rumah-rumah kebajikan.
"Keikhlasan hati sangat penting apabila anda melakukan semua ini, ia sangat bermakna dan terdapat karma untuk saya," kata Tay memetik konsep agama Hindu tentang perbuatan itu.
Salah satu upacara pengebumian luar biasa yang dilakukannya ialah Ah Meng, seekor orang utan Sumatera dari Zoo Singapura yang menjadi pencetus industri perlancongan di negara itu.
Bangkai Ah Meng ditanam di bahagian utama zoo itu yang berlatarbelakang panorama indah tasik buatan manusia.
"Ah Meng ialah ikon Singapura, " kata Tay. "Singapura begitu berbangga dengan haiwan itu."
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment