Monday, July 26, 2010

Selepas Seratus Hari Meninggal Dunia, Mereka Masih Menanti Kepulangan Achik


BERAT mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya, pemergian Abdillah Murad Md. Shari atau Achik pada 19 April lalu masih lagi dirasai oleh isterinya H.M. Rose Zaitul Suriani Wati Maarof atau Tasha.
Hari ini genap seratus hari Allahyarham Achik pergi meninggalkan kita.
Achik meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan maut di KM14.7 Lebuhraya Kajang-Seremban ketika dalam perjalanan pulang selepas menjadi hos rancangan Gah 1 di RTM.


Kehilangan tempat bergantung pastinya meninggalkan kesan dalam hidup Tasha yang terpaksa membesarkan anak-anak mereka Putri Salfiah,2, dan Putri Nursumaiyyah,10 bulan, seorang diri.
Jelas lagi kedengaran perbualan janji terakhir Allahyarham sebelum mereka bercerai mati untuk membawa anak-anak mereka menghabiskan masa bersama, namun Allah lebih mengetahui segalanya.
"Walaupun sudah seratus hari namun bagi saya tiada apa yang berubah, saya masih rasakan dia ada, begitu juga anak-anak. Janjinya untuk membawa kami keluar masih lagi jelas tergiang di telinga saya.


"Begitu juga anak-anak yang masih menunggu ayahnya. Setiap hari Salfiah pasti akan bertanyakan tentang ayahnya, saya hanya tunjukkan video terakhir Arwah ketika di Gah 1 bagi pengubat rindu mereka," ujarnya yang tiga kali seminggu menziarahi pusara Arwah.
Bukan tidak menerima takdir yang tertulis tetapi dia masih belum bersedia melupakan segala kenangan manis yang masih terpahat kukuh diingatannya.
Allahyarham Achik merupakan seorang suami yang sangat bertanggungjawab dan sentiasa meletakkan keluarga sebagai keutamaannya walaupun dia sibuk bekerja.
"Saya redha dengan pemergian dia, tapi saya sedar saya terlalu bergantung kepada dia. Ketika dia masih hidup semua perkara dia nak buat. Termasuk kerja rumah dan jaga anak. Dia tidak boleh nampak saya susah pasti dia datang buat untuk saya.
"Perkara-perkara itu yang membuatkan saya sangat terasa kehilangan arwah sehingga sekarang. Semua sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) dia saya masih simpan," ujarnya dengan nada yang sayu.


Tambahnya lagi, kebanyakan barang-barang peninggalan Achik sudah disimpan di satu bilik simpanan khas. Koleksi pakaian pula kebanyakkan sudah diberikan kepada adik beradik mereka.
"Baju Achik saya sudah beri kepada adik beradik dan sanak saudara sebab sayang pula jika disimpan begitu. Cuma tinggal beberapa helai buat kenangan saya ketika merinduinya. Manakala barangan lain disimpan di rumah emak saya," katanya.
Menurut Tasha kesedihan hatinya lebih terasa setiap kali bertemu rakan baiknya Mohd Salihin Shah yang turut terlibat dalam kemalangan itu. Mohd Salihan bagaimanapun terselamat.
"Saya teringat arwah apabila melihat Salihin, sebab mereka kawan baik. Apa yang Salihin suka terutamanya makanan sama dengan Achik. Selalu mereka akan keluar untuk kemana-mana berdua.
"Dia pernah datang rumah untuk melawat kami dan seperti biasa dia akan minta saya buat nasi goreng cili api tetapi saya tidak mampu untuk membuatnya kerana makanan itu juga makanan kegemaran Achik setiap pagi.


"Saya tahu dia juga merasai kehilangan besar Achik, malah dia yang menyaksikan kejadian tersebut," ujarnya.
Mula Bekerja
Kehidupan harus diteruskan, tugas mencari rezeki untuk menampung kehidupan keluarga kini terletak dibahu Tasha. Dia merancang untuk bekerja selepas Hari Raya Aidilfitri ini.
"Buat masa ini saya gunakan duit simpanan yang arwah tinggalkan, namun saya juga perlu bekerja untuk menampung kehidupan anak-anak. Insyaallah selepas raya ini saya akan mula cari pekerjaan yang sesuai.
"Masalah utama ialah anak-anak, sejak pemergian arwah kami tidak pernah berenggang sebab saya tidak pernah hantar mereka ke pusat penjagaan sebelum ini," katanya.
Menurut Tasha, mahu atau tidak segala yang ditakdirkan harus dijalani juga biarpun perit untuk ditempuhi seorang diri.
Peningalan dua cahaya mata memberinya semangat untuk terus berjuang dengan rasa cinta yang ditinggalkan Allahyarham Achik.

P/S - Semoga tabah..

2 Penyokong CHELSEA:

Sherry on July 26, 2010 at 9:28 AM said...

Sayu je tengok muke anak anak Arwah Achik. huu.

ps : suka lah blog neyhh ! gossip girl xoxo sangat ! heeee...;D. Keep it up ! ;).

Lulu Caldina on July 27, 2010 at 11:09 PM said...

mudah-mudahan mereka tabah...

TQ...ngee..

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!