IKATAN pertunangan yang berlangsung pada Jun lalu antara pengacara popular Jimmy Shanley dan Nursuhaila Eliani Datuk Suhaimy akan berakhir pada 1 Oktober ini.
Ini kerana, kedua-duanya akan melerai ikatan tersebut kepada ikatan pernikahan yang akan dilangsungkan pada tarikh tersebut.
Majlis akad nikah akan diadakan di rumah pengantin perempuan di Sunway Rahman Putra, Sungai Buloh, Selangor. Majlis tersebut dijadualkan berlangsung pada sebelah petang.
Jimmy atau nama sebenarnya Azmy @ Jimmy Shanley Norjahan Saleh telah mula mengedarkan kad undangan perkahwinannya yang penuh eksklusif dengan padanan warna hijau dan kain baldu berwarna biru.
Dalam kad tersebut turut memuatkan gambar pasangan itu yang dirakamkan pada April lalu di dalam studio.
Kini tak sampai seminggu lagi, pasangan itu akan disatukan. Tidak dinafikan debaran Jimmy semakin memuncak walaupun persiapan perkahwinan diserahkan kepada perunding perkahwinan Bahar Azman.
Jimmy yang merupakan anak yatim piatu dan bongsu daripada lapan beradik itu akan memberikan sembilan dulang hantaran kepada Suhaila manakala wanita itu akan membalas 11 dulang hantaran kepadanya.
Antara hantaran yang diberikan oleh Jimmy kepada Suhaila termasuklah wang hantaran berjumlah RM186 dan mas kahwin berjumlah RM31,000.
“Jumlah mas kahwin dan wang hantaran itu merupakan simbolik kepada tarikh lahir pengantin perempuan yang ditetapkan oleh keluarganya. Setakat ini tinggal dua hantaran yang belum dibeli dan saya memilih untuk membelinya pada hari minggu ini.
“Saya lebih rasa gementar untuk menghadapi majlis akad nikah itu nanti kerana bakal menggalas tanggungjawab yang besar untuk menjaga isteri saya nanti,” kata Jimmy.
Menurut pengacara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) dan Trek Selebriti ini, seramai 900 orang tetamu yang dijemput ke majlis resepsinya dan Suhaila pada 2 Oktober ini di Grand Ballroom, Pusat
Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pukul 7.30 malam.
Antara rakan artis yang telah mengesahkan kehadiran mereka adalah Lisa Surihani, Linda Onn dan tenaga pengajar AF.
Jimmy dan anak kepada pengasas produk kecantikan Natasya itu akan mengenakan dua persalinan semasa upacara bersanding dan memotong kek.
Jimmy bagaimanapun mahu merahsiakan tema yang akan dihiasi dalam majlis resepsi itu. Yang pasti, bunga segar akan digunakan dalam majlis tertutup itu.
Sementara pada 16 Oktober ini, sebuah lagi majlis resepsi di sebelah pengantin lelaki akan dilangsungkan di Batu Gajah, Perak.
Sebelum ini, Jimmy pernah memaklumkan yang dia akan membuat majlis resepsi berkonsepkan dalam taman di tempat percutian bersejarah, Kelly Castle, Batu Gajah.
Katanya, kos setiap majlis perkahwinan mereka ditanggung sendiri oleh pengantin dan tiada penajaan yang diterima.
Selepas berumah tangga nanti, Jimmy dan pasangannya akan tinggal di rumah yang dibeli sendiri oleh Jimmy di kawasan Lembah Klang.
Selain mengacara, Jimmy juga bekerja sebagai Pengarah Jualan menguruskan Natasya Resort di Cameron Highlands, Pahang.Jimmy juga bercita-cita untuk bangunkan Kelly Castle sebagai sebuah resort terkemuka.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment