ANTARA babak-babak menarik yang dipaparkan dalam filem sulung arahan Edry, Magika. |
RAMAI yang menantikan karya arahan sulung Edry, adik bongsu dalam trio KRU. Barisan pelakon filem ini sememangnya mantap tetapi Edry tidak bergantung pada nama-nama besar itu semata-mata. Ini sebuah filem yang pintar dari sudut pembikinannya.
Pelakon yang dipilih menepati setiap karakter dalam cerita-cerita rakyat.
Antara watak yang muncul ialah Badang (Mawi), Bawang Putih (Amani), Bawang Merah (Aleya), Hang Jebat (Lan Pet Pet), Hang Tuah (Saiful Apek), Nenek Kebayan (Ziana Zain) dan Puteri Gunung Ledang (Ning Baizura).
Watak popular lain ialah Pak Pandir (Aznil), Mak Andeh (Raja Azura), Orang Minyak (Nabil), Mahsuri (Vanida Imran), Puteri Santubong (Marsha), Lembing Awang Pulang Ke Dayang (Norman Hakim), Nujum Pak Belalang (Zaibo), Penunggu Gua (M. Nasir) dan Puteri Bunian (Maya Karin).
Kepada yang sudah biasa dengan nama Badang, Bawang Putih Bawang Merah atau Pak Pandir pasti mahu melihat bagaimana Edry menghidupkan watak-watak itu di layar perak.
Juga bagaimana setiap pelakon menvisualkan watak yang dekat dengan jiwa rakyat itu.
Buat generasi baru, inilah masanya untuk membuka mata bahawa kita juga ada watak-watak mitos yang hebat dan tersendiri.
"Saya sendiri mempunyai anak-anak yang masih kecil dan mereka tidak tahu kisah mitos seperti Badang sebaliknya lebih mengenali Cinderella.
"Saya rasa ini pendekatan terbaik untuk seisi keluarga berhibur di samping mengajar anak-anak tentang cerita mitos orang Melayu," ujar Edry.
Secara umumnya, Magika adalah sebuah filem yang menghiburkan. Elemen fantasi yang diambil oleh Edry ini tepat dengan imaginasi dan kebolehannya bereksplorasi.
Kisah bermula apabila Diana Danielle yang membawa watak Ayu mencari Malik lakonan Fimie, yang tersesat di hutan.
Ketika merayau-rayau, Ayu berjumpa dengan banyak karakter terkenal termasuk Badang lakonan Mawi. Tidak salah jika dikatakan bintang Akademi Fantasia itu cemerlang dalam filem ini.
Edry juga menonjolkan lagu-lagu yang dibuat khas untuk Magika. Ujar Edry, setiap lagu itu digubah kerana ingin memberi identiti tersendiri untuk filem sulung arahannya ini.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment