AIDILFITRI yang lalu disambut buat pertama kalinya Fazira Wan Chek (Erra Fazira), 36, sebagai seorang ibu. Namun, ketika itu puteri kesayangan primadona filem Melayu ini, Engku Aleesya Engku Emran baru berusia enam bulan.
Masa berlalu pantas, sedar tidak sedar kini Aleesya sudah pun menginjak satu tahun lapan bulan. Bukan hanya ligat berjalan dan berlari serta semakin banyak mulut, tetapi juga ada keinginan untuk bergaya persis sang ibu yang penuh glamor.
"Saya berasa sangat teruja kerana tahun ini Aleesya sudah boleh berjalan dan ini bermakna, saya boleh menggayakan Aleesya dengan pakaian tradisional kita.
"Mungkin Aleesya tidak faham apa-apa mengenai persiapan dan sambutan Syawal, tetapi yang lucunya, dia sendiri teruja dan ketawa kegembiraan apabila baju kurung tersarung di badannya.
"Apatah lagi dilihat sedondon dengan ibunya," kata Erra diikuti tawa yang menjelaskan betapa hidupnya kini cukup bermakna sejak hadirnya insan bernama Aleesya itu.
Akui Erra, dia bertuah kerana Aleesya sangat aktif dan tidak suka duduk diam. Dia hanya berhenti sejenak jika televisyen menyiarkan kartun kesukaannya.
"Dia sangat suka 'mengemas' rumah hingga kadangkala pening juga melihat habis berterabur barang permainannya. Aleesya juga anak manja dan ringan tulang.
"Lucu melihat dia mengutip dan membuang sampah dalam bakul sampah. Jika ada air tertumpah di lantai, dia akan ambil tisu dan mengelap. Kalau tidak pun, dia akan menarik tangan saya barangkali minta saya lapkan. Hendak beritahu air tertumpah maklumlah belum pandai cakap," katanya.
Aleesya adalah lambang cinta Erra dan suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin, 35, yang berjawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) saluran berita, Bernama TV.
Pasangan sepadan ini mendirikan rumah tangga pada 25 Oktober 2007 dan memilih Restoran Puteri, Taman Tun Dr. Ismail, sebagai tempat melangsungkan hari bersejarah itu.
Mengenai perancangan anak kedua, Erra secara ringkas berkata, perkara itu akan difikirkan selepas Aleesya berusia dua tahun kerana dia mahu anaknya itu mendapat belaian dan kasih sayang sewajarnya.
Mengenai Aidilfitri, tahun ini Erra sekeluarga menyambutnya secara sederhana kerana kesibukan menjalani proses latihan teater serta memenuhi tempahan hamper raya yang sangat menggalakkan.
"Harus saya akui kepuasan untuk menyambut lebaran tidak seperti tahun-tahun yang lalu, tetapi sekurang-kurangnya saya gembira persiapan untuk anak serta kuih-muih dapat diurus dengan sempurna," katanya beraya di Kuala Lumpur dan Terengganu.
Sepanjang Ramadan lalu, Erra juga sibuk dengan latihan menjayakan teater muzikal Tun Mahathir yang akan dipentaskan di Istana Budaya pada 24 September hingga 4 Oktober nanti.
Kata Erra, latihan sudah bermula sejak dua bulan lalu dan mengakui, semakin lama semakin tinggi keyakinan diri. Pun begitu, Erra pasti setinggi mana keyakinan yang ada, ketika pementasan itu tiba kelak, pasti debaran 'melampau' akan berlaku. Ini berdasarkan pengalamannya membuat teater Selendang Umi, lebih 10 tahun lalu.
Diberi penghormatan membawakan watak isteri kepada Perdana Menteri Malaysia Ke-4 itu, siapa lagi kalau bukan Tun Dr Siti Hasmah, Erra mengaku dirinya cukup bertuah kerana sempat bertentang mata serta mendapatkan beberapa tip untuk diaplikasikan dalam pementasan itu nanti.
"Masih jelas di ingatan saya, Tun Siti Hasmah berulang kali menyatakan dia seorang yang sangat ringkas dan tidak keterlaluan dalam gaya dan pemakaian. Di sini saya dapat rasakan, dia amat peka soal ketrampilan yang hendak dizahirkan di pentas.
"Antara lainnya, dia seorang yang sangat aktif bersukan, berpersatuan dan mudah berkawan dengan sesiapa saja berbanding suaminya, Tun Dr Mahathir. Percaya atau tidak, beliau juga mengakui agak tomboi pada usia mudanya. Sukar untuk kita bayangkan, tapi itulah kenyataan daripada Tun Dr Hasmah sendiri," katanya.
Sebaik selesai pementasan teater Muzikal Tun Mahathir, Erra terbabit pula dengan satu projek besar iaitu program realiti yang memerlukan komitmen yang tinggi daripadanya.
Sementara menantikan ia berakhir, bermakna kesibukan Erra akan memakan masa hingga hujung tahun. Sesudah berakhirnya program itu, Erra dikhabarkan kembali sibuk dengan pembikinan album yang menampilkan kematangannya sebagai penyanyi sama ada dari segi vokal dan konsep album.
"Kalau diikutkan, album sepatutnya sudah pun siap proses rakaman, tetapi disebabkan dari satu projek ke projek lain, album saya terus tertangguh.
"Insya-Allah, hajat di hati ingin sekali menyudahkan rakaman album. Harap-harap ia akan terlaksana selain memenuhi sasaran saya untuk melancarkan album itu pada tahun baru dengan semangat baru.
"Ramai komposer terbabit dari Malaysia dan Indonesia. Memandangkan sudah lama saya tidak melahirkan album, saya sangat berharap album ini dapat mengubati kerinduan saya menemui peminat," katanya.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment