Thursday, September 16, 2010

Ziarah pusara Asri


TAHUN kedua kumpulan nasyid Rabbani menyambut hari lebaran tanpa ketua yang juga vokalis utamanya, Asri Ibrahim, yang kembali ke hadrat Ilahi, Ogos tahun lalu. Kenangan bersama Allahyarham yang dianggap sebagai mentor, abang dan bapa terus terpahat kukuh dalam lipatan kenangan semua anggota kumpulan itu.
Justeru, sebelum ketibaan lebaran pada 1 Syawal lalu, semua anggota kumpulan itu menziarahi pusara Allahyarham di Seksyen 21, Shah Alam. Mereka memanjatkan doa agar rohnya berada di kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh. Setahun sudah Asri meninggalkan kita semua, namun seorang daripada anggota Rabbani, Azadan Abdul Aziz, sering bermimpikannya. Hubungan mereka berdua sangat akrab dan ketika hayat Asri masih ada, banyak urusan kerja mereka lakukan bersama. Sudah tentu ketiadaan Asri sangat dirasai Azadan. Menurut Azadan, terasa begitu pantas berlalu sudah setahun Asri pergi ke alam baqa. Namun memori bersama Allahyarham masih basah dalam kotak kenangannya. "Hubungan baik dengan keluarga Allahyarham masih diteruskan sebagaimana adanya dia. Pada setiap majlis, pasti kami mengundang isteri Allahyarham, kak Jannah (Haliza Shahdan) dan anak-anaknya. Selepas ketiadaannya juga, seorang daripada anaknya, Muhammad Ilham, 11, menonjolkan bakatnya dalam bidang seni.
"Dia mewarisi bakat Allahyarham dalam bidang nyanyian dan memiliki suara yang merdu seperti abuyanya. Meneruskan legasi Rabbani andai kata tiba masa kami terpaksa berundur dari bidang seni, kami tubuhkan kumpulan nasyid Rabbani Junior yang dianggotai anak-anak kami termasuk Ilham. "Sebagai pengenalan dan memberi pendedahan kepada Rabbani Junior, bersama dengan kumpulan Rabbani (senior), kami merakamkan semula lagu Di Pondok Kecil yang pernah dirakamkan bersama Allahyarham sewaktu zaman remaja kami. Apabila ada kesesuaian waktu kerana semuanya masih bersekolah, barulah kami tampilkan mereka dalam persembahan kami," katanya.

Rabbani Junior membuat kemunculan sulung di khalayak ramai menerusi Konsert Mahabbah Gaza Rabbani yang diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam, Julai lalu kemudian pada malam sambutan Merdeka ke-53 di Hotel Singgahsana, pada Ramadan lalu.

Rabbani yang sudah 19 tahun menghiburkan pengunjung hotel itu sepanjang Ramadan, amat berbesar hati kerana khidmat mereka masih diperlukan pihak hotel untuk memeriahkan majlis berbuka puasa di sana. Masuk saja waktu Maghrib, Asri Ubaidillah, seorang lagi anggota Rabbani akan mengalunkan azan menandakan waktu berbuka. Selepas semua sudah berbuka dan bersolat Maghrib, barulah persembahan dimulakan. Disebabkan Hari Kemerdekaan tahun ini jatuh pada bulan puasa, Rabbani mengadakan sambutannya di hotel itu. Mengalunkan lagu berunsur patriotik bagi menaikkan semangat pengunjung, atur cara tambah meriah dengan kehadiran Aishah, Imam Muda Mohd Taufek Mohd Noh dan Noor Azman Shamsudin iaitu seorang daripada sukarelawan Malaysia yang ditahan ketika menghantar bantuan makanan dan ubatan ke Palestin pada penghujung Mei lalu.

Menurut Azadan, semangat cintakan negara perlu ada dalam jiwa setiap warga negara dan mencintai serta menjaga keamanan negara memang menjadi tanggungjawab kita semua.

"Jadinya, walaupun Merdeka tahun ini disambut dalam puasa, ia tetap boleh diraikan dengan meriah dan semoga Hari Kemerdekaan negara tahun ini akan lebih diberkati kerana tarikh sambutannya jatuh pada Ramadan. Bulan paling mulia di antara segala bulan," katanya.

Awal Ramadan lalu Rabbani bekerjasama dengan TH Travel & Services Sdn Bhd menganjurkan Pakej Umrah Cinta Rasul Eksklusif Bersama Rabbani dan pada penghujung tahun ini iaitu 20 Disember hingga 1 Januari 2011 kedua-dua pihak meneruskan kerjasama itu dengan menganjurkan pakej umrah yang sama.





.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!